NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bila Mereka Menumpang Ebit Liew

Saya tidak mahu menyentuh berkenaan apa yang Ebit Liew lakukan. Cara salah atau betul, anda semua boleh tentukan. Silap saya tulis, orang tak faham, akan jadi isu. Lebih lagi jika sudah tulis betul-betul, tapi buat-buat tak faham, yang ni lagi teruk. Kena pula jika mereka seiya sekata nak menyerang. Jadi senangnya begini, apa yang baik dari beliau, moga diterima Allah dan yang silap, akan diampunkan Allah.

Yang lebih menarik minat saya ialah beberapa perkara yang ditimbulkan warga maya berkenaan isu zakat dan sebagainya. Ada yang sampai membuat video bagi menyatakan kemarahan mereka. Lengkap dengan makian kepada Pejabat Zakat, tetapi mereka mendakwa mahu mendaulatkan Islam. Entahlah. Saya sekadar mengulangi apa yang telah saya belajar untuk memberikan sedikit penjelasan berkenaan hal ini.

Bilamana ada pihak yang membandingkan antara zakat dan sedekah, di sinilah mulanya kisah yang mereka telah terkeliru. Ebit Liew, setahu saya, bukan amil zakat atau wakil Pejabat Zakat. Jadi apa yang datang daripada beliau mungkin juga ada duit zakat yang orang minta diserahkan kepada mereka yang memerlukan ataupun duit itu hanyalah duit derma orang ramai bagi projek beliau ini. Mungkin juga duitnya sendiri.
Melihat betapa mudahnya Ebit Liew membantu, persoalan mula timbul, ke manakah perginya duit zakat yang dibayar kepada kerajaan itu? Kenapa bila mahu menerima zakat, cepat, mudah dan ringkas. Tetapi apabila mahu mengagihkan lambat, penuh dengan prosedur, naik turun pejabat, gereja lebih mudah memberi bantuan. Anda semua mesti pernah melihat komen-komen sedemikiankan?

Menunaikan zakat adalah kewajipan dan digalakkan cepat kerana jika lambat, ia dikira berdosa kepada pembayarnya bila sudah cukup nisab dan haul. Ibnu Abbas pernah mendahulukan zakat sebelum hasil sebenar dikira, takut terlupa. Zakat juga dimudahkan terimaannya kerana jika tersalah mengeluarkan lebih sekalipun, ia adalah pahala kepada kita, dikira sebagai sedekah. Adapun bagi pengeluarannya, ia berdosa jika tidak diberikan kepada lapan asnaf yang telah termaktub hak mereka dalam surah at-Taubah itu.

Jadi pengeluarannya, mesti melalui proses yang agak ketat, sebab tidak mahu duit zakat jatuh kepada orang yang salah. Berdosa juga kepada mereka yang membahagikannya jika tidak berwaspada dalam agihan. Pada kebanyakan masa, penerima zakat adalah mereka penerima tetap yang sudah dikenalpasti senarainya melalui agensi. 

Yang biasa menjadi masalah ialah golongan miskin yang baharu ditemui. Mereka ini perlu disahkan dahulu rekod mereka. Cukup ke sejam dua jika tiada rekod? Paling kurang dua tiga hari. Yang selalu terima zakat, sudah tahu aturannya. Yang belum pernah terima jika tidak sabar akan menularkan kesusahan aturan itu. Kadangkala bukan mereka yang marah, orang lain yang bukan penerima terlebih mengada-ngada.

Apalagi mereka ini ditemui dahulu oleh warga maya yang tidak sabar-sabar segera memainkan video atau menulis kisah sedih kerana terketip-ketip mahu berkongsi betapa 'jahatnya' Pejabat Zakat kerana membiarkan ‘orang miskin’ yang baharu mereka temui itu tanpa dibantu. Mereka telan semua cerita sedih si ‘miskin’ tadi. Sekejap sahaja, maka tersebarlah cerita kejahatan Pejabat Zakat itu. Dan apabila disiasat rupanya ‘orang miskin’ itu adalah penipu, pandai bermain kata. Ada juga yang telah menerima bantuan.

Banyak kes seperti ini terjadi dan, pemula cerita itu diam membungkam, konon tiada apa-apa yang berlaku, tanpa rasa malu kepada Allah, telah memfitnah kakitangan tidak melakukan kerja mereka. Ada permohonan maaf? Pada ghalibnya, tiada. Tanpa saya ingin membela Pejabat Zakat, mereka juga pasti ada melakukan kesilapan. Disebut juga oleh ulamak, akhir zaman, Baitul Mal tidak berfungsi dengan baik. Tetapi kelihatannya pada waktu ini, cerita tidak menyalurkan itu, lebih banyak fitnah daripada kebenaran.

Oleh itu, semua orang yang belajar ilmu feqah, pasti faham kenapa begitu mudah Ebit Liew memberikan sumbangan. Ya, ia kerana tiada keperluan beliau memeriksa taraf seseorang itu adakah asnaf atau tidak. Jika bukan asnaf, ia sedekah. Dan jika asnaf, ia boleh jadi zakat dengan disertai niat, dan boleh jadi juga sedekah. Sekali lagi diingatkan, Ebit Liew bukan amil zakat. Dan duit di tangan beliau, bukan duit zakat secara keseluruhan. 

Beliau bebas dan cepat bersedekah berbanding Pejabat Zakat. Beliau boleh bagi kepada janda-janda, anak-anak yatim (semua mereka ini bukan asnaf zakat), boleh mengumumkan sesiapa yang mahu, boleh datang mengambil barang, komputer, rumah sewa, mereka semua yang inginkan barang-barang itu, dipercayai sepenuhnya tanpa ragu dan soalan. Beliau yang pilih, ikut suka beliau. Jadi senang kerjanya. Pejabat Zakat pula ada organisasi, prosedur, audit kerana duit itu bukan duit mereka, tak boleh sesuka hati memberi.

Hal kedua yang saya kasihan ialah keghairahan penyokong Pan yang menumpang Ebit Liew beramai-ramai. Pan dengan gembiranya melihat usaha Ebit Liew ini sebagai satu tamparan hebat kepada siapa lagi kalau bukan PAS. Sedangkan Ebit Liew tidak pernah mendaftar sebagai ahli parti mereka. Ada gambar yang menunjukkan Ebit Liew begitu gembira bersua muka dengan Presiden PAS. Kami cukup berharap agar dapat disiarkan satu foto kemesraan antara Ebit dengan Presiden Pan, mungkin sedang makan roti ‘John’ ke?

Sudah dimaklumi, Pan tiada ulamak yang mampu memacu usaha dakwah di negara ini. Mereka hanya menumpang. Politik menumpang DAP, dakwah menumpang Ebit Liew, tumpang nama almarhum TGNA untuk lawan Presiden PAS dan banyak lagi. Jadi apa yang Ebit Liew lakukan ini, amatlah menggembirakan hati mereka. Dapatlah mengubat jiwa yang lara. Komen-komen mereka dalam isu ini, jelas menzahirkan kepuasan hati mereka, biarpun sekadar penumpang kepada isu orang, yang bukanlah satu isu pun.

Saya malas nak mengulangi apa yang telah PAS lakukan untuk berdakwah ke pelusuk bukan sahaja Malaysia, malah seluruh dunia. Sebab itu Pan mahu serang PAS melalui Ebit Liew. Layan jer lah....

Mohd Nasir Abdullah
4 Februari 2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo