Responsive Ad Slot

Siapa Anak Kecil Bermain Api Dalam UMNO?

1. Kemelut dalam UMNO semakin membengkak setelah Ahmad Maslan terlepas cakap bahawa mahkamah zalim menyebabkan Ketua-Ketua Bahagian UMNO tak puas hati. Zalim pada siapa? Najib, Zaid Hamidi dan Ahmad Maslan sendiri? Tidak menunggu lama; Khairi Jamaluddin terus membidas Ahmad Maslan sebagai berfikiran tahap goreng pisang. 

2. Percikan api mula menerangi kekaburan kemelut. Setelah disingkir sebagai Setiausaha Agung BN dan MN, Anuar Musa mendedahkan salahlaku kluster mahkamah yang menerajui UMNO. Najib Razak mempersoalkan sidang media Anuar Musa. Beliau menafikan apa yang didakwa kerjasama dengan DAP. Tetapi tidak menjawab tentang usaha berpakat dengan Anwar untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional. Tajuddin A.Rahman cuba menutup keaiban dengan menafikan dakwaan Anuar Musa. Simple sahaja jawapan Tajuddin macam P. Ramlee menipu bini nombor 2 dalam Madu 3.

3. Nampaknya kerajaan Perikatan Nasioanal pimpinan Muhyiddin Yassin cuba dipersalahkan. Konon Tommy Thomas, Lateefa Koya Kutty telah tiada tetapi kenapa kes Najib dan klusternya terus dibicara. Apakah BERSATU dan PAS perlu mencampuri urusan mahkamah? Kalau mahkamah selalu dipertikai apabila tidak kena dengan selera, di mana lagi rakyat hendak mengharapkan keadilan? Adakah mahkamah hanya untuk mengadili rakyat biasa? Manakala elit politik sejahat mana pun akan terlepas dengan kuasa yang ada?

4. Beberapa hari sebelum itu, Tajuddin A. Rahman seolah-olah mempertikaikan PAS kerana menyertai Perikatan Nasional tanpa izin UMNO. Kononnya, PAS tidak menepati janji. Fasa ke berapa dalam Piagam yang menunjukkan PAS mesti mendapat izin UMNO dalam perjalanan politiknya? Kenapa dipersalahkan PAS dalam kemelut UMNO-BERSATU? Sedangkan PAS hanya sebagai penyatu demi menjayakan perpaduan ummah. Apakah rasa tak puas hati Tajudin berpunca daripada sikap PAS yang ‘tidak mengganggu keadilan’? Kalau ini juga mentaliti tahap goreng pisang, maka ada bahaya sedang menumpang di sebalik pemuafakatan.

5. Siapakah anak kecil yang bermain api dalam UMNO; lagu yang sering dinyanyikan untuk halwa telinga bangsa? Anak kecil ini nampaknya sedang menyelamatkan dirinya, bukan UMNO-nya dan bukan bangsanya. Dari mana diambil mancisnya? Hinggakan bukan sahaja UMNO terbahana, malah penyatuan ummah yang dibina, MN dan PN terkesan sama. Siapakah akan memadam api yang dimainkan oleh anak kecil ini? Mat Hassankah? Anuar Musakah? Atau akar umbi UMNOkah? 

(Tulisan ini hanya pandangan peribadi penulis. Tidak mewakili dan berkait dengan apa-apa organisasi atau institusi.)


#NekadBersamaIslam
#BerpolitikBiarMenguntungkanIslam
#MAMPUCentre

BayangDiAir,
9/1/2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo