NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tindakan Ahmad Jazlan langgar disiplin parti, kata Kamarul

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub boleh dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana melanggar disiplin parti.

Pengulas politik, Dr. Kamarul Zaman Yusof berkata, tindakan Ahmad Jazlan yang menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas melanggar Perkara 20.5 Perlembagaan UMNO.

Perkara itu memperuntukkan setiap peringkat parti hendaklah melaporkan kepada Lembaga Disiplin mengenai kegiatan mana-mana ahli yang didapati melanggar disiplin parti untuk tindakan selanjutnya.

“Pelanggaran disiplin parti berlaku apabila Datuk Ahmad Jazlan Yaakub selaku Ahli Parlimen Machang mengumumkan penarikan sokongan beliau terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Pengumuman Datuk Ahmad Jazlan Yaakub ini juga bercanggah dengan Perkara 20.8 Perlembagaan UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette.Dr. Kamarul Zaman Yusuff

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahmad Jazlan yang menarik balik sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Dengan pengumuman itu, sokongan terhadap kerajaan PN menyusut kepada 110 Ahli Parlimen sahaja.

Ulas Kamarul Zaman, Perkara 20.8 Perlembagaan UMNO pula menyebut bahawa semua ahli UMNO hendaklah cintakan parti dan patuh kepada Perlembagaan ini dan Tataetika Ahli, mengikut perintah-perintah parti, menjalankan dasar-dasar parti, serta patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti.


Perintah, dasar dan keputusan UMNO telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 26 Oktober 2020, yang mana semua Ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus mendokong Kerajaan PN.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 6 Januari 2021 juga berkata bahawa usul-usul utama yang dibangkitkan oleh Bahagian-bahagian UMNO menyentuh soal dasar dan pendekatan asas yang akan mempunyai kesan besar kepada masa hadapan parti dan negara serta hanya akan dibahas dan diputuskan di dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari depan,” jelas beliau lagi.

Justeru itu, Kamarul Zaman berkata, tindakan Ahmad Jazlan itu bukan sahaja membelakangi tetapi juga mendahului keputusan parti.

“Ia lebih teruk kerana selaku Pengerusi UMNO Negeri beliau sepatutnya terkedepan di dalam mematuhi Perlembagaan UMNO tetapi beliau telah menunjukkan contoh yang buruk kepada pemimpin UMNO lain,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Sumber: https://malaysiagazette.com/2021/01/09/tindakan-ahmad-jazlan-langgar-disiplin-parti-kata-kamarul/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo