NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rentas negeri tidak lagi dibenarkan di seluruh negara


PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan di seluruh negara bermula Rabu ini.

Beliau berkata, bagi kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP), pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan.

“Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada 12.01 tengah malam, Rabu ini.

“Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad dalam 10km radius sahaja,” katanya dalam perutusan khas.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit berdekatan, hanya dua anggota isi rumah dibenarkan keluar dan berada dalam kenderaan sama.

Katanya, individu yang melanggar arahan itu boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

“Sepanjang pelaksanaan PKP kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan ‘take away’ manakala bagi kawasan PKPB dan PKPP, kedua-duanya
dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP ditetapkan.

“Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi,” katanya.

Muhyiddin berkata, pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital, farmasi dan bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga.

Calon SPM

Beliau berkata, walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan SPM bagi sesi 2020 dan 2021.

“Mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat. Pihak Kementerian Pelajaran (KPM) akan memperincikan SOP ini,” katanya.


Katanya, bagi aktiviti keagamaan, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP dengan jumlah maksimum lima orang.

Perdana menteri berkata, bagi negeri dikenakan PKPP dan PKPB, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum ditetapkan dalam SOP.

“Pihak berkuasa agama negeri disaran memberi penetapan bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadira dibenarkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini.

Katanya, bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60 hingga 70% atau 20 hingga 23 juta populasi Malaysia perlu diberikan vaksin Covid-19.

“Buat masa ini, kerajaan telah pun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin Covid-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40% liputan populasi.

“Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80% jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya.

Sumber : https://mykmu.net/2021/01/11/rentas-negeri-tidak-lagi-dibenarkan-di-seluruh-negara/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo