NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Refleksi 5 - Hikmah di sebalik Tragedi 13 Mei



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesiapa yang membaca Ayat Al-Kursi pada penghujung setiap solat fardu (iaitu selepas solat), tidak akan menegahnya daripada masuk syurga melainkan ianya meninggal dunia." - Hadis diriwayatkan oleh Imam Nasai' dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya daripada Abu Umamah.

TRAGEDI 13 Mei 1969 menyebabkan negara dikenakan perintah berkurung (undang-undang darurat). Ketika itu usia saya tujuh tahun, baharu memulakan pengajian darjah satu di sebuah sekolah Inggeris di bandar.

Hanya satu peristiwa saya ingat, apabila dikenakan 'curfew' (berkurung), kami duduklah dalam rumah. Tak boleh keluar. Mak saya berkata tempohnya di daerah kami selama seminggu.

Sejumlah trak tentera bergerak di jalan raya utama di depan rumah kami yang dipisahkan beberapa petak sawah padi. Mak saya berkata orang kampung makanlah apa yang ada di rumah.

Namun ada yang terdesak, mencuri-curi keluar rumah mencari sayuran kampung seperti pucuk ubi, pucuk pakis dan kangkung longkang. Mak saya tak terkecuali, tetapi bapa saya telah melakukan sesuatu yang menyebabkan sejumlah anggota askar lengkap bersenjata berkejar ke rumah kami.

Suatu maghrib ayah saya membakar longgokan sabut di bawah rumah. Asap bakaran sabut dapat menghalau nyamuk yang banyak. Masa itu keluarga kami tak kenal 'ubat' (lingkaran) nyamuk apatah lagi semburan atau 'vape' antiserangga seperti sekarang.

Askar-askar yang garang menyergah bapa saya; beliau diberi amaran dan diperintahkan memadamkan api itu dengan segera. Kami kecut perut, sejak hari itu, selain terpaksa bercatu dalam bab makan, kami juga perlu berperang dengan nyamuk.

Alhamdulillah, keamanan dapat dikembalikan dengan segera dan saya kembali ke sekolah. Sebagai 'budak kenit' manalah saya tahu pasal bab-bab yang hanya saya tahu bertahun-tahun kemudian seperti penyusunan semula masyarakat, memperkemas dasar pendidikan dan yang paling terkenal Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Apa yang saya ingat di sekolah kami begitu sibuk dengan Rukun Negara. Ada pertandingan untuk mendeklamasi dan mengikrarkan Rukun Negara yang bermula dengan kata-kata: "Maka kami rakyat Malaysia....dan disebut lima prinsipnya iaitu 1. Kepercayaan kepada Tuhan, 2. Kesetiaan kepada raja dan negara, 3. Keluhuran perlembagaan, 4. Kedaulatan undang-undang dan 5. Kesopanan dan kesusilaan.

Turut mendapat perhatian istimewa ialah lagu 'Muhibbah' - ada pertandingan nyanyian; saya taklah masuk pertandingan, hanya menyanyikannya beramai-ramai dalam perhimpunan.

Sekalipun 'budak kenit', saya perasan dalam buku teks kami sering ada watak budak tiga bangsa - Melayu, Cina dan India. Biasanya Melayu diwakili oleh Ali manakala Cina oleh Ah Chong manakala India oleh Muthu.

Demikian betapa hebatnya 'panahan' daripada Tragedi 13 Mei. Mulai 1970, mata pelajaran Sains dan Matematik sekali pun diajar di sekolah Inggeris sudah menggunakan bahasa Melayu manaka subjek Ilmu Alam (Geografi) dan Tawarikh (Sejarah) yang dimulakan pada darjah empat juga sudah menggunakan bahasa Melayu.

Tragedi itu juga mempercepatkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970 sebagai usaha pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Anak bangsa dipersiapkan untuk menerima pendidikan daripada peringkat paling rendah sehingga tertinggi. Saya turut menerima manfaat apabila sekolah (Kementerian Pelajaran) menyediakan bantuan buku teks.

Murid-murid Melayu juga semakin terbuka peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran. Ketika itu di kalangan kami murid-murid, digembar-gemburkan dengan kehebatan sekolah-sekolah berasrama penuh ternama. Dikhabarkan kepada kami di sekolah-sekolah ini sentiasa dapat makan sedap seperti ayam (dahulu jarang dapat makan ayam) dan diberi biasiswa pula!

Maka, menitilah di mulut-mulut kami akan sekolah glamor seperti Malay College Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dan Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR). Kami diberitahu hanya dengan mendapat 5A dalam Peperiksaan Penilaian Darjah Lima kami 'digerenti' (dijamin) dapat ke sana.

Daripada mulut orang-orang tua, saya dengar jika dapat ke sekolah-sekolah ini, peluang untuk ke 'oversea' (seberang laut) amat cerah jika cemerlang dalam pelajaran...kamu tak ingin ke England ke? tanya mereka. "Ya, untuk jadi 'engineer', doktor atau 'loyar' (lawyer).

Demikianlah, berpandukan dasar baharu selepas Tragedi 13 Mei, anak-anak Melayu (bumiputera) diperlengkapkan untuk bersama-sama mengisi kemerdekaan negara salah satu caranya melalui kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

Sekolah rendah adalah permulaannya...maka berusaha keraslah sebahagian anak-anak murid Melayu untuk cemerlang dalam pelajaran; salah satu indikatornya mendapatkan 5A dalam peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Ya, dapat 5A 'gerenti' dapat ke sekolah asrama penuh!

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo