Pusat Internet Komuniti pilihan terbaik bantu keperluan PdPR




IPOH: Pusat Internet Komuniti (PIK) Malaysia, alternatif bukan sahaja kepada ibu bapa yang tidak mampu menyediakan gajet atau peranti untuk anak mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), malah ia juga mempunyai akses internet yang kuat.

Tinjauan Bernama di PIK Kampung Tersusun Batu 8 di Tambun, di sini semalam mendapati, inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu ternyata, menjadi tumpuan pelajar, yang memerlukan kemudahan komputer dan internet.

Pengurusnya, Mazzita Abdul Razak berkata, lebih menarik pusat internet itu yang beroperasi bermula 9 pagi hingga 6 petang setiap hari sejak 2013, turut menyediakan kemudahan pinjaman komputer riba untuk kegunaan pelajar sekolah di rumah.

"PIK ini sememangnya menjadi tumpuan pelajar sekolah, lebih-lebih lagi sejak pelaksanaan PdPR tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kurang mendapat kunjungan, kerana ibu bapa bimbang keselamatan anak mereka.



"Mereka lebih memilih supaya anak mereka belajar di rumah, namun pelajar boleh meminjam komputer riba dari pusat internet ini untuk digunakan di rumah," katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata, sebanyak 200 komputer riba terdapat di PIK itu dan lebih 100 masih tersedia untuk dipinjamkan kepada mereka yang memerlukan kerana selebihnya telah dipinjam oleh pelajar dan pihak sekolah.

Menurutnya, selain pinjaman komputer riba, sebanyak 20 unit komputer turut disediakan untuk kemudahan pengguna di PIK itu, selain penyediaan bilik mesyuarat untuk sesuatu organisasi atau syarikat mengadakan sesi 'Zoom Meeting'.

Katanya, orang ramai yang berminat mendapatkan semua kemudahan disediakan kerajaan itu boleh mengunjungi pusat internet itu atau menghubunginya di talian 010-3153073 untuk maklumat lanjut dan sebarang janji temu.

Pelajar Tingkatan Empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kinta, Che Hafizal Farish, yang tinggal di kampung berkenaan, berkata beliau mengunjungi PIK itu setiap hari, bagi mengikuti PdPR dan membuat rujukan internet.

Che Hafizal berkata, kewujudan pusat internet itu memberi banyak manfaat kepada pelajar supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran, terutamanya selepas penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan banyak sesi persekolahan secara bersemuka ditutup.

Sementara itu, seorang penduduk, Rehan Ezanee Ahmad Tajuddin, 36, berkata beliau turut mendapatkan pinjaman sebuah komputer riba dari pusat internet berkenaan, untuk kegunaan dua anaknya masing-masing dalam Tahun Tiga dan Tingkatan Satu, untuk tujuan PdPR.

Beliau berkata, walaupun kedua-dua anaknya Muhammad Ammar Zihnee Shamsudin, 9, dan Nur Alya Ezanee Shamsudin, 13, mempunyai telefon pintar, penggunaan komputer riba lebih memudahkan mereka menyiapkan kerja sekolah yang diberikan guru, menerusi aplikasi Whatsapp.

"Kami perlu menggunakan capaian internet sendiri pada komputer riba ini dengan data sendiri, namun ia berguna dan memudahkan anak termasuk untuk mencetak nota dan kerja sekolah, berbanding menggunakan telefon pintar kerana skrin yang agak kecil," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed ketika dihubungi berkata, terdapat 66 PIK di Perak yang beroperasi bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang.

"Saya menyeru, mereka yang mempunyai masalah untuk menjalankan PdPR kerana kekangan peranti mahupun talian internet, supaya memanfaatkan fasiliti yang disediakan di PIK berhampiran mereka,"

katanya. – BERNAMA
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post