NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Mahu PN dan MN Bersatu Menjelang PRU-15


KUALA LUMPUR: PAS mahu memastikan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata gabungan itu perlu kerana tiada mana-mana parti yang boleh memenangi PRU secara bersendirian, justeru ia perlu bergabung dengan parti lain.

"Disebabkan itu, kita mengutamakan parti orang Melayu Islam supaya kepemimpinan Islam dapat diwujudkan dengan kuat.

"Jadi, kita mendesak MN dan PN ini untuk bersama-sama, kuatkan MN, perkasakan PN supaya kepemimpinan ini dapat bersatu dan pada masa yang sama, membabitkan masyarakat majmuk," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Minda Profesor Negara edisi Bicara Negarawan bertajuk "Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita?" yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Majlis Profesor Negara (MPN).

Program berkenaan turut disertai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose dan dikendalikan Felo MPN, Dr Muhammad Asri Mohd Ali.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang ditanya mengenai gabungan yang akan dipilih PAS antara MN dan PN dalam PRU-15 kelak, susulan kemelut politik yang berlaku antara UMNO iaitu parti yang membentuk gagasan bersama PAS dalam MN pada 2019, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menerajui kerajaan PN ketika ini.

Ditanya mengenai formula untuk mewujudkan penyatuan antara PAS, UMNO dan BERSATU, Abdul Hadi berkata, dalam piagam MN, PAS dan UMNO bersetuju untuk memperkasa kepemimpinan Melayu dan mengajak parti serta badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk menyertai MN.

"Malangnya apabila sampai masa untuk mengajak (parti lain), ada pertembungan politik antara UMNO dan BERSATU, namun Alhamdulillah, majoriti pimpinan UMNO positif, cuma bagaimana kita mahu selesaikan yang negatif ini.

"Insya-Allah, menjelang PRU-15, kita akan dapat mengatasi masalah ini," katanya.

Ditanya mengenai peranannya sebagai peneraju kepada penyatuan antara tiga parti itu, Abdul Hadi berkata, ia perlu dilakukan secara berpasukan untuk memastikan matlamat penyatuan itu berjaya.

"Alhamdulillah, dalam UMNO ada pasukan kita, dalam BERSATU ada pasukan kita, jadi kita manfaatkan pasukan ini.

"Mungkin dalam masa terdekat ini, kalau ada yang tidak boleh menjalankan tugas, kita tukar pemain itu. Terpulang kepada parti masing-masing untuk tukar pemainnya," katanya.

Selain itu, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan PAS tidak akan bekerjasama dengan DAP kerana parti itu menentang dasar Islam yang ingin dibawa PAS, walaupun ia hanya membabitkan orang Islam saja, selain pengalaman bekerjasama di bawah Pakatan Rakyat sebelum ini.

Menyentuh status Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU355), Abdul Hadi berkata, ia terpaksa ditangguhkan buat masa ini.

"Mengikut peraturan di Parlimen, satu usul yang bukan dibuat kerajaan mesti memenuhi syarat yang terlalu banyak, antaranya mesti disokong seorang Menteri Kabinet, mesti mendapat jumlah (sokongan) yang cukup, baru boleh membuat usul.

"Kita sudah berjaya bincang dengan UMNO dan UMNO setuju menyokong usul ini, tapi bila sampai peringkat mengundi, tidak cukup (undi). Jadi, terpaksa kita hentikan dan ditangguh," katanya.

- Berita Harian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo