Responsive Ad Slot

Desak Sidang Khas Dun : Annuar Musa Bidas Ahmad Maslan

 

Ahli parlimen Ketereh Annuar Musa mendakwa Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengantar surat kepada ahli parlimen parti itu untuk menyatakan persetujuan dengan gesaan agar satu sidang parlimen khas diadakan berhubung proklamasi darurat.

Perkara itu didedahkan bekas Setiausaha Agung BN, Annuar Musa yang mahukan Ahmad merujuk pakar berkaitan terlebih dulu sebelum meminta ahli Parlimen Umno menyatakan persetujuan.

"SUA Umno menulis kepada MP dan memberi masa kurang dari 24 jam untuk menyatakan persetujuan menggesa YDP Agong memanggil sidang parlimen, kononnya di bawah perkara 150(3) Perlembangaan  Persekutuan.

"Elok SUA Umno itu rujuk constitutional expert (pakar perlembagaan) supaya kelihatan lebih cerdik hal undang-undang," ciap Annuar di Twitternya, pagi ini.

Annuar turut memuat naik surat maklum balasnya kepada Setiausaha Agung Umno itu.

Dalam surat balasnya kepada Ahmad, Annuar, yang juga bekas setiausaha agung BN, menyifatkan langkah itu sebagai "usaha jelas" untuk bersekongkol dengan pembangkang dan "menghina keputusan parti" serta "menderhaka kepada Agong".

"Dukacita dinyatakan bahawa surat YB Dato Sri (Ahmad) tersebut adalah satu kesilapan besar dalam mentafsirkan perkara berkaitan Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 150 (3) yang dirujuk, bermaksud untuk mengesahkan apa-apa undang-udang yang dibuat secara pengistiharan (promulgation) semasa darurat, iaitu undang-undang/ordinan yang dibuat tanpa persidangan Parlimen.

"Ia bermaksud perlu dibentang setelah darurat tamat, tetapi bukan di panggil untuk bincang keabsahan proklamasi darurat yang telah diisytihar mengikut perlembagaan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"YB Dato Sri seharusnya faham, setelah proklamasi di buat di bawah perkara 150 PerlembagaanPersekutuan, parlimen tidak lagi bersidang. Parliamen hanya boleh bersidang selepas tamat tempuh darurat (1hb Ogos 2021)," tulis Annuar.

Justeru, Annuar menggesa agar Ahmad menarik balik surat berkenaan.

Surat yang dihantar Ahmad itu dikatakan bertarikh 18 Jan meminta persetujuan ahli Parlimen Umno agar menggesa supaya sidang khas Parlimen diadakan.

Perkembangan itu hadir selepas pada 14 Januari lalu, Anwar menggesa wakil rakyat pembangkang menghantar warkah rayuan kepada Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan parlimen bersidang secepat mungkin.

Pakatan Harapan (PH) berpendapat darurat tidak perlu, antaranya kerana ia didakwa memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri untuk “melakukan apa saja” selain didakwa menjejaskan proses semak dan imbang dalam negara.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz berkata dia akan turut menulis surat kepada Agong untuk meminta agar darurat yang berkuat kuasa ketika ini dipertimbangkan semula.

Jelas Nazri, ini kerana dia berpendapat darurat yang dilaksanakan ketika ini menutup suara ahli parlimen.

"Saya akan tulis (surat) kepada Agong, menyokong supaya difikirkan semula perancangan darurat ini yang memang menutup suara ahli parlimen dan tidak perlu pun sebenarnya," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo