Pantau Harga, Patuhi SOP.

1. Kehidupan ekonomi (economic life) adalah suatu keutamaan yang perlu dilindungi, malah termasuk dalam asas-asas yang boleh digunakan oleh YDPA bagi membuat suatu pengisytiharan Darurat, di samping alasan keselamatan negara dan ketenteraman awam yang sentiasa dilindungi.

2. Sepanjang tempoh PKP, kita sering dipantau untuk mematuhi SOP bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Namun perlu dipantau juga kenaikan harga barangan dengan penguatkuasaan lebih tegas setiap hari.

3. Secara umumnya, pengguna dapat merasakan perubahan harga secara bulanan (month-to-month) pada bulan Januari tahun ini berbanding Disember tahun lalu, dan kini mula merasakan perubahan harga secara mingguan (week-to-week) sejak PKP2.0 dilaksanakan bermula 13 Januari.

4. Situasi kenaikan harga (inflasi) boleh berlaku apabila rantaian ekonomi tergendala, mengakibatkan proses penawaran dan permintaan dalam pasaran terjejas, di samping wujudnya elemen manipulasi dan monopoli yang perlu ditangani.

5. Kenaikan harga yang tidak terkawal bukan sahaja menghakis 'kuasa beli' rakyat yang sudah pun terhakis, malah boleh terus menghakis nilai 'kehidupan ekonomi' yang semakin menyusut akibat penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP.

6. Inilah objektif ekonomi yang perlu menjadi fokus Kerajaan, iaitu (i) merancakkan pertumbuhan ekonomi, (ii) mengurangkan pengangguran dan (iii) menstabilkan harga di pasaran.

7. Selain aktiviti penguatkuasaan, pengguna boleh dilibatkan sama untuk memantau kenaikan harga dengan mempermudahkan akses untuk membuat aduan (cth. aplikasi MySejahtera, Ez ADU KPDNHEP), supaya hak pengguna sentiasa terjamin dalam tempoh sukar ini.

8. Justeru Kerajaan perlu lebih bertegas dalam memantau kenaikan harga barangan setiap hari, sama tegasnya dalam memantau SOP sepanjang tempoh PKP ini.

Syahir Sulaiman
27 Januari 2021
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post