NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kelantan Dan Perang Dunia Pertama Dalam Catatan Carveth Wells


oleh: Mohd Fadhil Ghani 

Carvert Wells adalah seorang jurutera sivil yang ditugaskan di Malaya oleh Kerajaan British sejak 1913. Pada mulanya beliau berkhidmat di kawasan hutan rimba di daerah Lipis, Pahang sebagai jurutera rel keretapi. Setelah itu beliau dihantar berkhidmat pula di Kelantan, khususnya untuk menyelia rel keretapi di Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat. Akhirnya, beliau diminta bertugas di Kedah bagi menyelenggara projek jalan raya di sana. Keseluruhan tempoh perkhidmatan Wells di Malaya ialah selama enam tahun sejak 1913.

Tempoh 1913-1916 adalah adalah satu jangka masa yang sangat penting bagi sejarah dunia, khususnya dalam sejarah negeri Kelantan. Mulai 1910, Kelantan telah menerima Penasihat British ekoran Perjanjian Bangkok 1909 dan Perjanjian Inggeris-Kelantan pada 1910. Kelantan sendiri, sebagai sebuah negeri Melayu Islam, adalah negeri yang sangat rapat dengan Mekah dan Istanbul. Para ulamak Kelantan rata-rata mempunyai hubungan ilmu dengan Sheikh Wan Ahmad al-Fathani, seorang pegawai kanan Kerajaan Othmaniyah. Sheikh Wan Ahmad yang terkenal dengan gelaran Tuan Faridah (kerana kitab Faridah al-Faraidnya) adalah Pengarah Percetakan Kerajaan Othmaniyah di Mekah.

Dalam period ini, tercetusnya Perang Dunia Pertama, 1914-1918. Antara negara utama yang terlibat dalam perang ini ialah British di pihak Bersekutu dan Othmaniyah di pihak Berikat. Negara-negara utama lain yang terlibat termasuk Perancis dan Russia di satu pihak, Jerman dan Austria-Hungary di pihak yang lain. Pergolakan politik antarabangsa itu selalunya difokuskan kepada peperangan yang berlaku di Eropah yang melibatkan dua blok kuasa politik dunia ketika itu dan mengakibatkan kematian, kehilangan dan kecederaan sekitar 40 juta orang tentera, tidak termasuk orang awam, penularan pelbagai wabak, penderitaan dan kemusnahan fizikal yang lain.

Beberapa pengkaji sejarah, termasuk teks-teks sejarah rasmi di Malaysia tidak mencatatkan penglibatan negara ini dalam perang tersebut. Walaupun kisah Kebangkitan Tok Janggut di Pasir Puteh, Kelantan dimasukkan di dalam buku sejarah di sekolah, tetapi ia dianggap satu kebangkitan atau pemberontakan yang terpencil. Ia langsung tidak dikaitkan dengan Perang Dunia Pertama yang sedang meletus ketika itu. Kelemahan utama pengajian sejarah di negara kita adalah kerana ia masih berbau penjajah, cenderung untuk menberikan konotasi positif terhadap British dan tidak mahu memberikan interpretasi yang tepat terhadap setiap kejadian sejarah berdasarkan sumber yang sebenar. Sebaliknya, sejarah dijadikan bahan untuk mengekalkan hegemoni pihak berkuasa ke atas rakyat. 

Nampaknya, catatan jurnal peribadi Carverth Wells yang diterbitkan pada 1925 dengan judul 'Six Years in The Malay Jungle' telah memberikan perspektif baru terhadap sejarah negara ini. Melalui buku ini, Wells yang berada di Kelantan sejak 1914 itu telah mendedahkan beberapa kisah termasuk kesedaran politik orang-orang Melayu di Pasir Mas ketika itu sehingga menyebabkan British mengisytiharkan darurat di bandar tersebut pada awal 1915. Berlaku juga sabotaj terhadap kepentingan British di Sungai Kelantan sebagai laluan utama dan juga kebangkitan Tok Janggut di Kelantan. Wells juga mencatatkan bahawa ketika itu, selain peranan para ulamak yang menyokong Othmaniyah, di Istana Kelantan sendiri terdapat ramai orang Jerman, Turki dan Austria yang bertugas sebagai pembantu-pembantu, yang memberikan interpretasi tentang kegiatan risikan tentera yang berlaku.

Melalui buku ini, Wells telah menceritakan pengalamannya berada di hutan yang bersempadan antara Pahang dan Kelantan bagi menyelia rel keretapi antara Kuala Lipis dan Gua Musang. Beliau merakamkan pengalamannya bersama Orang Asal seperti Semang, Senoi dan lain-lain, kehidupan tradisional Melayu, keadaan feudal masyarakat kampung di Pahang dan sebagainya. Di samping itu beliau turut mendedahkan kehidupan politik, sosial dan ekonomi di Kelantan pada dekad kedua abad ke-20 itu, iaitu 100 tahun dahulu. Buku ini merupakan rakaman 'natural history' Kelantan yang sangat penting dalam kita memahami budaya, ekonomi dan politik Kelantan. Yang paling penting, Wells menggambarkan perkembangan politik yang berlaku di Pasir Mas, Kota Bharu dan Pasir Puteh di antara 1914 hingga 1916 adalah sebahagian daripada rangkaian Perang Dunia Pertama!

Sumber: https://www.facebook.com/mohdfadli.ghani.77/posts/261309125578003

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo