Responsive Ad Slot

Anwar, Umno dan Harapan

Anwar pernah ketika mudanya dipenjara. Kekuatan beliau menggerakkan massa, dikagumi dan menjadi perhatian politikus senior yang sedang mengintai pengganti bagi gerakan masing-masing. Zaman dahulu, biasanya ketika menjadi pemimpin pelajar, mereka yang dikenakan hukuman, akan mendapat perhatian. Dan kebanyakkan mereka selepas daripada itu, akan menyertai dan menjadi orang penting kerajaan.

Antaranya yang lain ialah, Ahmad Shabery Cheek, Ismail Sabri Yaakob. Anwar selepas dibebaskan, kemudiannya menjadi mesra kepada PAS dan dilihat sebagai figura yang bakal menyinar jika bersama PAS dengan kehebatan yang beliau miliki. Ramai yang menyanjungi beliau, sehinggalah beliau secara tiba-tiba pada tahun 1982, secara sah telah menjadi ahli Umno.
Bermula dari tarikh itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Dalam masa yang singkat, tangga jawatan beliau daki. Menjadi Ketua Pemuda Umno, kemudiannya mencuba jawatan Naib Presiden Umno, sehinggalah menumbangkan Tun Ghaffar Baba untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden Umno. Dalam kerajaan pula, menjadi Menteri Pertanian, Belia dan Sukan, Pendidikan dan juga Kewangan.
Umno meyakini mereka berpaut kepada karisma Anwar untuk menggantikan Tun suatu hari nanti. Kebergantungan ini lebih jelas dengan imej Anwar sebagai seorang yang dilihat alim. Dengan pukauan beberapa perkataan yang jarang didengar sewaktu beliau berucap, menambahkan lagi keindahan bahasa, membuatkan ramai yang terpesona. Waktu itu, pernah Mat Sabu berkata, ‘Kalau Anwar naik jadi PM, mampuih kita. Hari ni angkat sumpah, Jumaat pi baca khutbah kat Masjid Negara, habih kita’.
Semua tahu apa yang terjadi pada tahun 1998. Beliau dipecat. Kata beliau, beliau tidak keluar Umno. Masih ramai ahli Umno bergantung dengan beliau. Kesannya banyak kerusi yang diperolehi pembangkang pada tahun 1999, walaupun beliau masih berada dalam penjara. Setelah kalah tahun 2004, mungkin beliau sedar yang apapun, beliau mesti meminta bantuan Umno, jika mahu mencapai impiannya.
Beliau akhirnya dibebaskan. Dalam Umno, masih ramai yang beliau boleh harapkan untuk membantu beliau. Kemudian, beliau terpaksa meminta pertolongan Ahli Parlimen Umno untuk menjatuhkan kerajaan pada 16 September 2008. Tetapi tiada yang melayan beliau. Sepi tarikh 16 September tanpa peralihan kuasa sebagaimana yang dijanjikan beliau. Pada waktu ini, beliau kelemahan beliau terserlah.
Selepas beliau dipenjarakan kali kedua, beliau bersetuju bagi PH untuk bersama dengan Tun Mahathir, bekas Presiden Umno yang menjadi musuh nombor 1 beliau dahulu, arahan dari dalam penjara. Tun yang kononnya membenci Umno, kemudiannya dijadikan Anwar dahan tempat PH bergantung. Dengan dirinya masih di belakang tirai besi, mahu tidak mahu, PH setuju mengangkat Tun menjadi PM.
Bukan Tun sahaja, tetapi beberapa lagi bekas pimpinan Umno bersama beliau. Semuanya berjalan baik, seperti yang mereka rancangkan, mereka menang. Sekurang-kurangnya sehingga setahun setengah, sebelum sekali lagi Tun membuat hal dengan beliau yang mana Tun dakwa, Anwar yang sering mendesak beliau melalui orang-orangnya agar meletakkan jawatan. Mereka kembali berkelahi dan Tun menang lagi.
Bagi mendapatkan kembali jawatan PM, Anwar terpaksa meminta bantuan Umno lagi bagi menyokong beliau. Tetapi sayang, orang harapan beliau dalam Umno, gagal melaksanakan rencana itu kerana lebih ramai yang menolak, tidak menyokong beliau. Umno yang dahulunya beliau anggap parti yang telah merosakkan sistem keadilan, terpaksa beliau meminta beberapa kali pertolongan untuk menjadi PM.

Tidakkah ahli Umno dapat melihat yang kekuatan sebenar Anwar terletak pada Umno? Beliau hanya menumpang Umno, dari dahulu sehingga sekarang. Tanpa bantuan Umno beliau tidak dapat naik. Dan menjadi kehairanan kepada rakyat yang waras, kenapa ahli Umno perlu menyelamatkan survival politik Anwar, sedangkan betapa kerosakkan yang telah beliau lakukan sehingga Umno berpecah teruk?
Dari dahulu, dengan gahnya mendabik dada konon akan mendapat jawatan PM. Kali ini terpaksa melalui pintu belakang meminta nyawa dari pemimpin Umno yang bermasalah juga. Kenapa ianya dilakukan melalui jalan belakang dan menyembunyikan dari pengetahuan ahli Umno? Jawapannya senang. Dosa adalah sesuatu perbuatan yang salah yang memalukan si pelakunya, pasti dia tidak mahu diketahui orang.

Kalau jalan yang beliau buat ini benar, mestilah Anwar akan mengumumkan dengan gembiranya yang beliau akan bergabung dengan Umno. Tunjukkan rancangan yang beliau akan buat bersama Umno, sebagaimana PH dahulu apabila bekerjasama dengan Tun musuh lamanya. Pakatan itu menjadi kebanggaan mereka, dipersetujui ahli, dilakukan secara terang-terangan. Tun juga dengan senang hati memakaikan lencana PKR, parti yang dibencinya dahulu ke dada beliau.
Tetapi sekarang, kenapa kedua-dua Anwar dengan pimpinan Umno itu diam? Hubungan terlarangkah? Adakah ahli Umno akan menyokong beliau yang pasti bersamanya ada DAP? Masihkah ada harapan Anwar melalui Umno? Ahli Umno mesti tahu siapa yang mesti disokong. Inilah peluang terbaik untuk Umno melepaskan diri mereka dari belenggu tuduhan sebagai parti yang memusnahkan sistem keadilan di Malaysia sebagaimana yang dituduh Umno dahulu. Biarkan mahkamah mengadili mereka yang bersalah.

Mohd Nasir Abdullah
22 Januari 2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo