NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Yakini kemampuan KWSP urus wang untuk persaraan

oleh: Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Umum mengetahui bahawa simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah untuk simpanan hari tua.

Namun, berdasarkan pengamatan, simpanan KWSP ini kerap kali digunakan sebagai suatu bentuk instrumen untuk menstabilkan keadaan ekonomi ketika negara menghadapi risiko kelembapan atau kemelesetan ekonomi.

Sebagai contoh, apabila negara menghadapi kemelut ekonomi akibat situasi bubble atau gelembung dalam sektor teknologi pada 2001, kadar caruman KWSP bahagian pekerja diturunkan daripada 11 peratus kepada sembilan peratus.

Begitu juga pada Jun 2003 hingga Mei 2004 apabila caruman ahli KWSP dikurangkan dua peratus bagi menghadapi situasi tidak menentu yang dibawa oleh wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan juga peperangan di Iraq.

Antara Januari 2009 hingga Disember 2010 pula, kadar caruman dikurangkan sekali lagi daripada 11 peratus kepada lapan peratus. Ini bagi memberi lebihan pendapatan kepada pencarum ketika menghadapi kemelesetan ekonomi disebabkan Krisis Sub Prima pada 2008 dan 2009.

Caruman juga dikurangkan dari 11 peratus kepada lapan peratus antara Mac 2016 hingga Disember 2017 berikutan kejatuhan harga minyak dunia, di samping situasi seperti Brexit di United Kingdom yang mengganggu gugat ekonomi negara.

Kini, caruman dikurangkan sekali lagi untuk April hingga Disember iaitu daripada 11 peratus kepada tujuh peratus. Sepatutnya ia dinaikkan pada tahun hadapan.

Namun, pihak kerajaan membuat keputusan untuk menyambung lagi potongan berkenaan dari 11 peratus kepada sembilan peratus bagi tempoh 12 bulan pada 2021.

Jika dihitung, sudah enam kali caruman bahagian pekerja diturunkan.

Namun, 'dosnya' sudah dinaikkan melalui pengenalan pengeluaran bagi menghadapi kemelut pandemik COVID-19 iaitu skim i-Lestari dan i-sinar yang membabitkan skim pengeluaran dari akaun 2 dan 1.

'Dos' yang lebih ini sudah tentu merujuk kepada tahap keseriusan ekonomi seseorang itu yang terkesan akibat daripada penularan wabak COVID-19 kini.

Skim pengeluaran ini seharusnya dapat meringankan bebanan kewangan mereka yang terjejas sementara mereka berusaha untuk mencari pekerjaan yang lain, serta memulakan perniagaan yang baharu dan sebagainya.

Hakikatnya, pengeluaran wang KWSP ini adalah suatu pertimbangan yang agak sukar. Dari satu segi, keperluan semasa adalah penting bagi memastikan kelangsungan hidup demi mencapai kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

Pada masa sama, keperluan perbelanjaan ketika mencapai usia persaraan juga penting, terutama bagi mereka yang bekerja dengan pihak swasta yang mana mereka ini tidak menerima sebarang pencen seperti sahabat yang bekerja di sektor awam.

Kita sedia maklum bahawa harga barangan dan perkhidmatan sememangnya meningkat secara konsisten. Berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) daripada 1985 hingga 2019, kadar inflasi meningkat sebanyak 2.5 peratus setahun.

Ini bermakna kalau seseorang itu mempunyai RM100 pada awal tahun, nilainya akan terhakis oleh inflasi disebabkan kenaikan harga barang. Duit itu akan bernilai RM97.50 sekiranya wang itu tidak dilaburkan.

Pengurusan KWSP sememangnya terdiri daripada golongan profesional dan berpengalaman dalam mengendali dan mentadbir pelaburan ahli KWSP.

Barisan pengurus dana serta penyelidikan pelaburan akan memastikan pelaburan yang dilakukan dengan penuh beretika serta mengambil kira setiap faktor risiko pelaburan bagi memastikan nilai pelaburan akan terus bertambah.

Ini termasuk bagi memastikan pulangan pelaburan sentiasa melebihi kadar inflasi. Setiap pelaburan itu pula perlu mengikuti apa yang dikatakan Peruntukan Aset Strategik (SAA) bagi tujuan untuk mencapai pulangan pelaburan yang optimum.

Wang caruman yang diterima akan dilaburkan mengikut SAA yang terdapat beberapa kelas aset yang dilaburkan seperti sekuriti Kerajaan Malaysia, pasaran wang, ekuiti, bon korporat dan sukuk serta pelaburan alternatif dan hartanah.

Oleh itu, aktiviti pelaburan ini adalah satu perkara yang rumit disebabkan ketidaktentuan pasaran yang sentiasa memberi cabaran besar bagi pihak KWSP untuk memberikan pulangan kompetitif kepada ahlinya.

Sememangnya, KWSP ini berbeza daripada pihak bank dari sudut pengurusan aset dan liabilitinya. Pihak bank perlu mematuhi keperluan kecairannya kerana pengeluaran deposit sememangnya berlaku dengan kekerapan yang tinggi.

Sementara pengeluaran wang KWSP pula tidak berlaku seperti pendeposit di bank kerana pencarum tertakluk kepada skim pengeluaran yang ditetapkan.

KWSP sentiasa mempunyai kecairan yang tinggi kerana mereka juga mempunyai pendedahan di dalam pelaburan yang mempunyai kecairan yang tinggi seperti deposit di bank serta pelaburan di dalam pasaran wang.

Oleh itu, bagi pencarum, mereka seharusnya perlu menaruh keyakinan yang tinggi terhadap KWSP dalam menguruskan wang bagi tujuan simpanan hari persaraan.

Apa yang penting bagi pencarum, adalah untuk menjaga kewangan mereka dengan baik dan memastikan mempunyai tahap literasi kewangan yang tinggi.

Ini bagi memastikan pencarum sentiasa membuat simpanan dan pelaburan serta bijak dalam mengawal perbelanjaan harian mereka. Juga tidak kurang pentingnya supaya tidak mudah tertipu dengan sebarang skim cepat kaya serta mengelakkan kadar keberhutangan yang tinggi.

Apa yang kita mahu adalah pengakhiran yang baik untuk semua serta suasana yang aman apabila mencapai usia persaraan kelak.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo