NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wajarkah PKPB dilanjutkan ?



KUALA LUMPUR: Pakar kesihatan awam berbeza pandangan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri yang akan berakhir 6 Disember ini, wajar dilanjutkan atau sebaliknya.

Mengambil kira kes kematian yang bertambah dan pertambahan jangkitan baharu setiap hari melebihi 1,000 kes, pakar menganggap langkah terbaik bagi mengekang penularan wabak itu adalah dengan melanjutkan lagi tempoh PKPB terutama di Lembah Klang.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, berkata tanpa PKPB usaha kerajaan untuk mengekang wabak dan memutuskan rantaian jangkitan sukar dilakukan jika dilihat kepada kes jangkitan yang dilaporkan setiap hari.

"Saya menyokong jika kerajaan melanjutkan PKPB terutama di Selangor dan Kuala Lumpur yang menyaksikan peningkatan kes secara mendadak dan wujudnya kluster baharu.

"Jika dilihat kepada laporan harian kes COVID-19, peningkatan kes tidak menentu, ada hari naik dan ada hari berkurangan. Bagaimanapun langkah tepat adalah melanjutkan PKPB sehingga kita berjaya melandaikan lengkuk jangkitan sama seperti sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Dr Hanafiah bagaimanapun berkata, penamatan PKPB di negeri seperti Pulau Pinang mungkin boleh dipertimbangkan kerana dua negeri berkenaan mencatatkan pengurangan kes berturut-turut.

Pakar Sistem Kesihatan Universiti Oxford, Dr Khor Swee Kheng, berpandangan PKPB tidak wajar dilanjutkan kerana pertambahan kes harian COVID-19 lebih tertumpu di kawasan khusus.

"Walaupun kes harian COVID-19 masih tinggi, kita boleh lihat bahawa kebanyakan kes dikesan dalam kawasan yang tersasar ataupun di dalam sebuah syarikat, kilang atau tapak pembinaan.

"Memandangkan kebanyakan kes adalah di dalam kawasan yang kecil dan spesifik, maka mungkin wajar untuk PKPB tidak dilanjutkan.

"Sebaliknya, langkah lain bolehlah dilaksanakan, seperti PKPB bersasar (TEMCO), penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih mantap dan saksama serta strategi ujian penyaringan untuk COVID-19," katanya.

Malah beliau berkata, hasil penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Nature pada 16 November lalu menunjukkan bahawa 'non-pharmaceutical interventions' (NPI) yang lebih longgar mempunyai kesan yang sama dengan NPI yang tegas.

"NPI adalah strategi kesihatan awam untuk wabak yang tidak menggunakan ubat atau vaksin. Contoh NPI adalah pelitup muka yang diwajibkan, penjarakan fizikal, PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, pula berpandangan PKPB hanya perlu dilanjutkan di kawasan secara bersasar.

Katanya, pertimbangan itu perlu dibuat memandangkan pemulihan ekonomi dan pembelajaran perlu berjalan seiring dengan kawalan serta pencegahan.

"Jika melihat bilangan kes, memang masih tinggi terutama di kawasan zon merah seperti Klang, Selangor akibat kluster tertentu. Malangnya, aktiviti kerja dan berniaga berjalan seperti biasa. Maka ini menunjukkan kawalan masih boleh dilakukan dalam keadaan demikian tetapi penurunan kes akan menjadi lambat.

"Oleh demikian, untuk kawasan tertentu dan zon merah, boleh dilakukan PKPB bersasar manakala kawasan lain, (PKPB) boleh ditamatkan dan aktiviti pengesanan dan kawalan dijalankan seperti biasa," katanya.

Sementara itu, pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata PKPB wajar dilanjutkan kerana kesedaran orang ramai dalam aspek mematuhi prosedur operasi standard (SOP), masih kurang.

"Ambil contoh di Selangor dengan jumlah kes yang tinggi kebelakangan ini, bagaimana PKPB bersasar boleh dilaksanakan? Sekarang kes sudah menular semula di Negeri Sembilan dan Perak.

"Apa yang saya lihat, pematuhan SOP masih kurang. Ada ibu bapa masih bawa anak kecil ke pusat beli-belah tanpa menghiraukan risiko dijangkiti. Sebab itu PKPB wajar disambung sehingga rantaian penularan dapat diputuskan sama sekali," katanya.

Kerajaan melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah sejak 8 November lalu sehingga 6 Disember ini.

PKPB turut dilaksanakan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu selama empat minggu.

Bagaimanapun, PKPB di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan 21 November lalu, lebih awal berbanding 6 Disember seperti diumumkan sebelum ini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo