Responsive Ad Slot

Utamakan perpaduan dan muafakat

0
Sejak MB Perak dijatuhkan melalui usul undi percaya, berbagai persepsi muncul di media sosial dengan berbagai versi.

Tidak setakat itu ahli-ahli parti saling menyerang antara satu sama lain. RBA atau Keyboard Warrior musuh juga aktif dengan menyelinap masuk sebagai ahli parti dalam MN atau PN menyala dan meniupkan api fitnah dan kebencian antara ahli parti- parti dalam gabungan MN dan PN.

Saya amat teruja dengan tulisan Tuan Guru Presiden PAS yang menyarankan bahawa perpaduan yang dibina mesti mengikut acuan Islam.

Demi perpaduan dan penyatuan umat Islam marilah kita mengimbau dua peristiwa penting yamg berlaku dalam lipatan sejarah umat Islam.

Pertama, penduduk pribumi Madinah iaitu kaum Auz dan Khazraj yang bertelingkah lebih dari seratus tahun dapat didamaikan oleh Rasulullah dengan acuan Islam. Mereka kemudian dikenali sebagai sahabat Ansar. Sahabat Ansar ini kemudian dipersatukan dengan golongan Muhajirin iaitu sahabat yang berhijrah ke Madinah dari Mekah semata rasa cinta dan ketaatan pada Allah dan Rasulnya. Mereka ini meninggalkan kekayaan dan harta benda mereka kerana lebih mengutamakan Allah dan Rasul berbanding habuan dunia. 

Musuh Islam bekerja keras untuk menggagalkan perpaduan yang dibina ini. Mereka memainkan jarum halus agar dua kaum besar penduduk pribumi Madinah ini kembali bersengketa, lalu Allah memperingatkan mereka dengan turunnya ayat 103 Surah Al Imran. Dalam ayat ini Allah swt memerintahkan agar umat Islam berpegang dengan tali Allah dan jangan bercerai berai.

Maka marilah kita memgambil iktibar dari peristiwa ini.

Kedua, peperangan Uhud juga boleh dijadikan pelajaran yang bermakna. Disaat tentera Islam mendapat kemenangan kecil, lalu pasukan pemanah yang tergoda dengan ghanimah atau harta rampasan perang telah meninggalkan posisi mereka untuk turun kebawah mengumpulkan harta. Mereka telah melanggar dan tidak patuh kepada arahan Rasulullah. Akhirnya Khalid Al Walid (belum Islam) mengambil kesempatan untuk melakukan serangan kedua dan berhasil membunuh 70 orang sahabat termasuk bapa saudara Rasulullah S.A.W iaitu Saidina Hamzah.

Kita hari ini baru diberi kemenangan kecil oleh Allah. Oleh itu disamping Islam dan aqidahnya yang memperkukuhkan tautan perpaduan, kepatuhan kepada pimpinan juga merupakan suatu elemen penting dalam mengekalkan perpaduan dan strategi penting dalam menghadapi musuh Islam. 

Allah telah mengajar kita bagaimana apabila pasukan pemanah tidak patuh kepada arahan ketua dan sifat tamak terhadap habuan dunia telah merosakkan saf umat Islam yang berdiri kukuh sebelum ini dan membolehkan musuh menyerang umat Islam dengan mudah.

Apa pun ujian dan cabaran yang dihadapi biarlah pimpinan diatas yang menyelesaikan kerana mereka lebih faham dan mengerti serta mempunyai nilai pandangan yang jauh.

Saya menyeru agar kita semua terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuhkan kesatuan politik umat Islam sehingga Allah mendatangkan kemenangan besar.

Kita juga harus mengambil sikap berhati- hati kerana musuh telah masuk kedalam kubu bertaqiyah (menyamar) menjadi sebahagian dari kita dan meniupkan api kebencian sesama kita melalui media sosial. Tujuan mereka hanyalah satu agar kita saling curiga mencurigai, fitnah menfitnah dan akhirnya membawa kepada perpecahan yang akan menguntungkan mereka.

Cukuplah pengalaman pahit 22 bulan kita diperintah oleh mereka.

"ISLAM MEMPERKUKUH PERPADUAN"


HJ BAKRI JAMALUDDIN ialah KETUA PENERANGAN PAS MELAKA.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo