NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Turun Berat Badan 2 kg Seminggu Tidak Sihat - Pakar Kesihatan


KUALA LUMPUR: Orang ramai yang berhasrat menurunkan berat badan dinasihat mengamalkan pemakanan seimbang dan tidak terburu-buru untuk melihat perubahan ketara dalam tempoh singkat.

Pegawai pemakanan sukan Program FitMalaysia X, Noor Kamsina Aziz berkata kadar penurunan berat badan yang ideal adalah antara 500 gram (g) hingga 1 kilogram (kg) sahaja dalam tempoh seminggu.

Jelasnya, jika kadar penurunan berat badan berlaku secara mendadak sehingga 2kg setiap minggu, ia dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan dan menurunkan kadar metabolisme badan.
"Pada peringkat awal, kalau turun sehingga 2kg itu normal, mungkin berat air. Tapi kalau setiap minggu turun sampai 2kg, itu terlebih, tidak sihat. Nampak badan semakin kurus tapi dari segi kesihatan, tidak sihat dan tidak cergas.

"Selalunya ia akan membahayakan kesihatan sehingga mengganggu metabolisme, selain boleh melambatkan proses pemulihan (otot) selepas senaman dan sudah pasti badan akan lebih cepat penat sekali gus mengganggu emosi dan mental individu berkenaan.

"Apa yang penting kita seronok tengok kemajuan berlaku pada badan dan kesihatan kita, bukan paksa diri untuk tengok angka berat yang semakin menurun," katanya kepada Bernama selepas Majlis Penyampaian Anugerah Peserta Terbaik Program FitMalaysia X siri Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hari ini.

Noor Kamsina menjelaskan bagi memastikan badan dalam keadaan bertenaga walaupun terpaksa mengurangkan kuantiti makanan dan melakukan senaman, mereka perlu memastikan pengambilan kalori adalah mencukupi mengikut keperluan badan masing-masing bagi membolehkan defisit kalori berlaku.

Katanya, pengambilan kalori seimbang adalah melalui makronutrien iaitu makanan yang membantu tubuh badan dan membentuk tenaga, terdiri daripada tiga bahagian utama makanan iaitu lemak, protein dan karbohidrat.
Sementara itu, peserta terbaik program berkenaan, Koperal Mohd Fariuddin Ismail berjaya menurunkan berat badan sebanyak 14kg dalam masa lapan minggu.

Beliau yang sebelum ini memiliki berat badan 114kg, mengakui masih belum berpuas hati dengan berat badan terkininya 100kg dan berhasrat untuk meneruskan apa yang dipelajari dalam program berkenaan untuk mencapai berat badan ideal 80kg.

Katanya, cabaran utama dalam proses penurunan berat badan adalah mengubah tabiat pemakanan, namun beliau bertekad untuk membuat perubahan itu bagi mencapai misinya dan kehendak dalam perkhidmatan.

- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo