NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terkini! Kakitangan dan Pesakit di Hospital Serdang Pula Dijangkiti Covid-19

Kuala Lumpur: Semua petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Serdang yang positif Covid-19 kini berada dalam keadaan stabil.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak HTAR dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang sedang giat bekerjasama menyiasat punca jangkitan dan mengenalpasti kontak rapat kes serta melakukan aktiviti saringan.

"Sehingga hari ini, terdapat 72 petugas HTAR sedang menjalani Perintah Pemerhatian dan Pengawasan di Rumah (HSO).

"Operasi pembersihan dan disinfeksi persekitaran dilakukan di HTAR dan akan diteruskan secara berkala serta situasi semasa di HTAR dalam keadaan terkawal dan perkhidmatan di hospital ini masih diteruskan seperti biasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga ingin mengesahkan terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan pesakit dan petugas kesihatan di Hospital Serdang.

"Buat masa ini ia membabitkan 29 petugas perubatan dan 28 pesakit di mana kesemua mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya.

"Siasatan pasukan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Hospital Serdang dapat mengenalpasti punca jangkitan dan tindakan kawalan telah dilaksanakan serta-merta bagi membendung penularan jangkitan ini.

"Pengurusan rawatan pesakit di Hospital Serdang masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal," katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan semua petugas kesihatan sektor kerajaan atau swasta supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

"Pematuhan kepada SOP ini perlulah sentiasa diamalkan sama ada di tempat kerja dan juga di tempat lain.

"Kepatuhan ini adalah sangat penting diamalkan khususnya bagi petugas kesihatan yang berkhidmat di zon merah kerana kebarangkalian untuk mendapat jangkitan daripada komuniti adalah tinggi.

"Pemantauan amalan norma baharu secara berkala serta penguatkuasaan di setiap fasiliti kesihatan akan meningkatkan lagi kepatuhan dalam kalangan petugas kesihatan," katanya.

Menurutnya, selain itu, orang awam juga dinasihatkan untuk mengehadkan lawatan ke hospital.

"Ini bukan saja dapat memberi ruang kepada petugas kesihatan untuk menjalankan tugas mereka, malah dapat melindungi golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik lain daripada jangkitan Covid-19.

"KKM sangat prihatin terhadap peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan ini dan akan sentiasa memantau perkembangan jangkitan kes Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan dari semasa ke semasa," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo