NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Speaker dan Timbalan Berjaya Batal Saman TunM dan 4 Lagi Pemimpin Pejuang

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan dikemukakan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, dan timbalannya untuk membatalkan saman Dr Mahathir Mohamad dan empat yang lain yang mempertikaikan kesahihan pelantikan mereka.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid berkata, mahkamah dilarang mempersoalkan urusan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, seperti dinyatakan Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Pelantikan Speaker dan timbalannya didebatkan serta diundi pada persidangan 13 Jul lalu, dengan 111 Ahli Parlimen menyokong, manakala 109 membantah.

“Pelantikan itu sebahagian daripada prosiding Dewan Rakyat,” katanya.

Kamal berkata, pertikaian mengenai pelantikan Azhar dan timbalannya, Azalina Othman Said, dimuktamadkan dengan undian Ahli Parlimen.

“Dewan Rakyat dan Dewan Negara mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk melantik dan menyingkir Speaker serta timbalannya,” tambahnya.

Mahathir dan Ahli Parlimen Mukhriz Mahathir (Jerlun), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading) mahu mahkamah mengisytiharkan pelantikan Azhar dan Alazina tidak mengikut Perlembagaan kerana menyalahi Perkara 57 Perlembagaan dan Peraturan Tetap 3, 4, 6, dan 47 Dewan Rakyat.

Selain Azhar dan Azalina, Timbalan Speaker Rashid Hasnon serta Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin, turut dinamakan sebagai defendan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo