NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Setiausaha Belanjawan Belgium Secara Tak Sengaja Dedah Harga Vakin

BRUSSELS: Seorang menteri Belgium secara tidak sengaja mendedahkan rahsia komersial sensitif berkaitan harga yang dipersetujui Kesatuan Eropah (EU) untuk vaksin COVID-19.

Setiausaha Belanjawan Belgium, Eva De Bleeker, memuat naik senarai harga itu dalam ciapan Twitter beliau, berserta harga bagi setiap vaksin yang mahu dibeli negaranya daripada EU.

Ciapan Twitter itu kemudian dipadamkan, namun ia sempat ditangkap layar pihak lain dan kini menjadi pengetahuan umum di alam maya.
Pihak yang mendokong akses kepada perubatan gembira dengan ketelusan itu, sebaliknya bagi pihak syarikat farmaseutikal seperti Pfizer, merungut mengenai pelanggaran kerahsiaan maklumat.

Senarai harga itu mendedahkan harga vaksin Oxford/AstraZeneca sebagai paling murah dan vaksin keluaran Moderna adalah yang paling mahal, namun ia memang sudah diketahui.

Bagaimanapun, maklumat itu memberi kelebihan kepada negara lain yang mungkin masih dalam proses berunding untuk mendapatkan vaksin itu.

Berdasarkan maklumat itu, EU membeli setiap dos vaksin Oxford/AstraZeneca pada harga €1.78 (RM8.81); Johnson & Johnson (AS$8.50 atau RM34.35) dan Sanofi/GSK (€7.56 atau RM37.45)

Vaksin keluaran Pfizer/BioNTech dijual pada harga €12 (RM59.43); CureVac (€10 atau RM49.52) dan Moderna (AS$18 atau RM72.73).

Setiap negara di dunia mahu melaksanakan program inokulasi besar-besaran mencegah COVID-19.

Pada masa sama, terdapat usaha mewujudkan program bagi memastikan setiap negara mendapat akses mencukupi untuk memberi vaksin kepada golongan berisiko.

Bagaimanapun, harga ubat dan vaksin sentiasa menjadi rahsia komersial yang dikawal rapi kerana menurut syarikat farmaseutikal, ia turut dipengaruhi oleh faktor logistik dan kos lain.

Seorang jurucakap Suruhanjaya Eropah berkata pihaknya tidak boleh mengulas mengenainya kerana segala berkaitan vaksin dan harganya dilindungi klausa kerahsiaan.

"Ini bagi kepentingan masyarakat dan proses rundingan yang sedang berjalan," katanya pada satu sidang media.

Belgium membeli lebih 33 juta dos vaksin COVID-19 dengan harga keseluruhan €279 juta (RM1.38 bilion).

Sementara itu, United Kingdom (UK) , yang tidak menyertai skim pembelian vaksin EU, membeli 357 juta dos vaksin COVID-19 pelbagai syarikat.

Ini termasuk 40 juta dos vaksin Pfizer/BioNTech, yang diluluskan penggunaannya di UK sebelum negara lain dan 100 juta dos vaksin AstraZeneca. - AGENSI

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo