Responsive Ad Slot

Sumbangan Vaksin Oleh UAE Masih Bersifat Khabar Angin

Kementerian Kesihatan (KKM) nampaknya tidak tahu berkenaan sumbangan 500,000 vaksin dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk ujian klinikal di Malaysia seperti dilaporkan.

Ditanya berkenaan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dia ada "mendengar" tentangnya tetapi menyifatkannya sebagai "khabar angin".

Ini kerana setakat ini tiada dokumen berkenaan calon vaksin itu yang dihantar ke Bahagian Regulotari Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai.

"Kami ada mendengar tentang sumbangan kira-kira 500,000 vaksin kepada negara kita.

"Apa yang lebih penting, ia perlua melalui (proses) pendaftaran NPRA. Sebaik selepas pendaftaran, baru kita benarkan vaksin digunakan di negara ini," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan kerajaan UAE berhasrat memberikan 500,000 dos vaksin bagi tujuan ujian klinikal fasa ketiga di Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika ini dalam kunjungan khas ke UAE atas undangan Putera Mahkota negara itu, Mohamed Zayed Al Nahyan, dilaporkan untuk membincangkan perkara itu.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata vaksin itu "kemungkinan besar" dari China tetapi tidak dapat mengesahkan berkenaan pengeluarnya.

"Ini sebabnya kita menunggu seluruh dokumen...Setakat ini ia khabar angin, bukan pengesahan.

"Tiada apa yang dihantar kepada NPRA setakat ini," katanya lagi, sambil menekankan apa-apa vaksin perlu melalui penilaian NPRA tanpa mengira caranya diperolehi.

"Walaupun diperolehi dari UAE dan CHina...ia perlu melantik syarikat untuk memudahkan pendaftaran di negara kita. Selepas didaftarkan, NPRA akan memantau dalam soal keselamatan dan keberkesanannya," katanya lagi.

UAE tidak membangunkan vaksin secara sendiri tetapi pada masa ini menjalankan ujian keberkesanan terhadap dua calon vaksin Covid-19.

Salah satunya dibangunkan Gamaleya Research Institute di Russia manakala satu lagi merupakan kerjasama antara Sinopharm dan Wuhan Institute of Biological Products.

Malaysia pada masa ini menjalankan ujian untuk satu vaksin yang menggunakan vaksin eksperimental daripada Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS).

Ujian dilakukan di lapan hospital kerajaan dan akan melibatkan 3,000 peserta.

Lazimnya, ubat yang digunakan dalam ujian klinikal disediakan penaja ujian tersebut - biasanya syarikat farmaseutikal yang menghasilkannya.

Empat bulan untuk menilai vaksin Pfizer

Sementara itu, Noor Hisham mengesahkan KKM menerima permohonan daripada syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer pada 15 Dis untuk mendaftar vaksinnya dengan NPRA.

Dia menjangka agensi akan mengambil masa empat bulan untuk menilai permohonan itu.

"Kami menjangka komunikasi dengan syarikat akan bermula akhir bulan ini. NPRA juga mengenal pasti 11 pakar perubatan dalam bidang berkaitan untuk meneliti dokumen yang dihantar kepada kementerian.

"Kita mungkin akan ambil masa kira-kira 90 hingga 120 hari, tetapi kita akan mengutamakan soal keselamatan dan keberkesanan vaksin," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo