Banjir di Terengganu Makin Pulih


KEMAMAN: Keadaan banjir di Terengganu beransur pulih dengan hanya beberapa kawasan di dua lagi daerah masih terjejas iaitu Kemaman dan Dungun.

Banjir di daerah Hulu Terengganu dan Setiu pula telah pulih sepenuhnya, kata Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Beliau berkata, sehingga jam 7 malam Isnin, secara keseluruhan seramai 1,999 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 4,139 mangsa pada jam 4 petang.

Katanya, sebanyak 24 PPS masih dibuka bagi menempatkan 519 keluarga yang masih terjejas.

"Cuaca yang cerah sejak pagi tadi menyaksikan penurunan mendadak jumlah mangsa yang terjejas sejak Khamis lalu.

"Seramai 1,475 mangsa melibatkan 372 keluarga masih terjejas di Kemaman pada 7 malam berbanding 3,625 pada jam 4 petang. Sebanyak 11 PPS juga masih dibuka di daerah berkenaan.

"Di Dungun pula 13 PPS diaktifkan bagi menempatkan 524 mangsa melibatkan 372 keluarga," katanya.
Gelombang keempat banjir yang melanda Terengganu sejak Khamis lalu menyaksikan hampir 8,000 mangsa telah terjejas dengan Kemaman merekodkan bilangan mangsa tertinggi iaitu lebih 6,000 orang.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post