NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda Ikatan Bantah Pendaftaran MUDA, Dakwa Nama Hampir Sama

Shahir Adnan, Ketua Pemuda Ikatan
Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) hari membuat bantahan terhadap pendaftaran parti Muda, pimpinan bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata ini selepas mendapati nama parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tersebut hampir sama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang telah ditubuhkan semenjak 2012.

"Pada pendapat saya pengasas parti Muda perlu lebih kreatif didalam mencari nama yang sesuai untuk parti mereka.

"Perlukah penggunaan nama Ikatan di dalam parti anda? Sudah hampir 8 tahun nama Ikatan sinonim dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia. Kenapa perlu nama yang sama?

“Tidakkah Muda yang diwarwarkan sebagai penggerak anak muda itu tidak kreatif dan menjadi copycat serta tiada identiti sendiri?” soalnya dalam satu kenyataan dan berkata parti itu telah membuat bantahan secara rasmi kepada Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berkenaan isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Shahir yang juga timbalan pengerusi Ikatan Kelantan berkata dia berharap pengasas Muda lebih bertanggungjawab dan tidak semberono dalam membuat keputusan politik.

"Tukarlah nama parti anda kepada nama lain. Alliance boleh diubah daripada Ikatan kepada Pakatan kerana Muda dilihat dibelakangi oleh figura Pakatan Harapan (PH) seperti Tommy Thomas dan Ambiga yang kini mahu menyaman ROS," katanya.

Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) telah ditubuhkan pada 7 Jun 2012 oleh Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Parti itu seterusnya diluluskan ROS pada 5 Jun 2015 setelah mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran untuk mendapatkan kelulusan.

Sementara itu, mengulas tindakan Muda menyaman ROS atas kelewatan mendaftarkan partinya, Shahir menasihatkan Syed Saddiq bersabar.

Katanya, ROS sebelum ini juga mengambil masa hampir tiga tahun untuk meluluskan permohonan penubuhan partinya.

"Pada pandangan saya masa yang lama bagi mendapatkan kelulusan bagi sesebuah parti politik adalah suatu perkara yang tidak asing lagi.

"Sudah tentu ROS perlu menjalankan tugas mereka iaitu memastikan parti yang diluluskan adalah satu-satu parti yang mempunyai ideologi dan objektif yang ingin dibawa dan diperjuangkan.

"Rasa saya jika ini telah disediakan kepada ROS sudah tentu ROS tidak mempunyai masalah untuk meluluskan," katanya.

Tambahnya, Ikatan juga berpandangan bahawa jika ada parti yang mendapat kelulusan kurang dari tiga tahun, itu adalah satu keistimewaan bagi mereka.

"Oleh itu, nasihat saya kepada saudara Syed Saddiq, carilah ideologi bagi parti anda, utarakanlah objektif parti anda dan apakah yang sebenar-benarnya anda perjuangkan, mungkin dengan itu ROS akan pertimbangkan kelulusan parti anda.

"Pentingnya bagi satu-satu organisasi itu mempunyai hala tuju yang jelas bagi mencapai objektif mereka. Kelulusan ROS bukan hanya untuk mendapatkan akaun bank seperti yang dicanang segelintir ahli Muda," tambahnya.

Muda sebelum ini melantik bekas peguam negara Tommy Thomas dan bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan untuk menangani isu pendaftaran parti pimpinan Syed Saddiq.

Parti itu kini mempertimbangkan tindakan undang-undang pada ROS kerana masih tidak meluluskan pendaftaran mereka yang dimohon tiga bulan lalu.

Muda memberikan tempoh tujuh hari untuk kerajaan meluluskan pendaftaran parti mereka atau berdepan tindakan undang-undang.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo