NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pegawai Imigresen Didakwa Di Hospital, Terima Rasuah RM3000.


Seorang pegawai Jabatan Imigresen didakwa di sebuah hospital swasta, di Shah Alam atas pertuduhan memperoleh suapan RM3,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas siasatan yang dijalankannya.

Zulkifly Zapar, 46, Timbalan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pencegahan Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi di hospital itu, di sini.

Prosiding selama 30 minit itu bermula 11 pagi di sebuah bilik khas berikutan Zulkifly dimasukkan ke hospital berkenaan kerana mengalami darah tinggi dan sakit jantung.

Tertuduh yang berkerusi roda didakwa memperoleh secara rasuah bagi dirinya sebagai ejen Jabatan Imigresen Malaysia, suatu suapan berjumlah RM3,000 daripada seorang lelaki melalui pihak ketiga, seorang wanita sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas siasatan yang dijalankannya.



Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Persiaran Perdana, Presint 3, Putrajaya, pada 21 Nov 2019.

Difahamkan kertas siasatan itu berhubung cap keselamatan palsu.

Zulkifly didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Noor Hafizan Zakaria menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak dibantah peguam M. Rishee yang mewakili tertuduh.

Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport ke mahkamah sehingga kes selesai.

“Tertuduh juga perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM setiap bulan dan dilarang untuk mengganggu saksi-saksi pendakwaan sama ada berjumpa atau dalam bentuk maya seperti laman sosial dan sebagainya,” katanya.

Mahkamah menetapkan 21 Jan 2021 untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, ketika prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, adik perempuan tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa abangnya tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Siti Noor Hafizan memohon supaya pertuduhan terhadap tertuduh dijalankan di hospital itu dan memberitahu bahawa pegawai penyiasat telah memaklumkan mengenai perkara tersebut kepada pihak hospital.

“Tarikh lepas (11 Dis) tertuduh tidak hadir, sepatutnya dia datang,” katanya.

Siti Noor Hafizan berkata pertuduhan sepatutnya dibacakan terhadap tertuduh bagaimanapun dia tidak hadir hari ini.

Azura berkata: “Buat prosiding di sana (hospital). Urusan jamin nanti datang sini (mahkamah). Kes ditangguh ke hospital,”.

- Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo