NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Miss Malaysia Plus World, Pemuda PAS Berdakwah Di Meja Rundingan !

Semalam pemuda PAS, diketuai oleh Ustaz Akram Ikrami, Lajnah Dakwah DPPM telah bertemu dengan penganjur Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 di Zenith Hotel Putrajaya bagi mendengar secara teliti daripada pihak penganjur berkenaan intipati program ini. 

Secara objektifnya pihak penganjur ingin mengambil inisiatif untuk memperkasa institusi wanita khususnya wanita yang bersaiz besar dan dizalimi di luar sana. 

DPPM telah mendengar dengan penuh teliti dan mengambil maklum berkenaan tujuan penganjuran program ini. DPPM menceritakan bahawa PAS melalui Dewan Muslimat PAS juga turut memperjuangkan hak-hak dan kedudukan Istimewa wanita seperti yang telah diperuntukkan di dalam Islam.
Melalui dialog pada hari ini DPPM menyampaikan beberapa saranan kepada pihak penganjur agar program tersebut tidak tergelincir daripada matlamat asalnya.

1. Nama Program Dan Kaedah Promosi Program.

Pada pendapat DPPM, poster dan nama program yang telah disiarkan kepada massa/orang awam adalah tidak melambangkan matlamat asal program ini diadakan dan bertentangan dengan etika serta budaya rakyat Malaysia yang majoritinya adalah Islam.

Malah program dalam kategori Ratu Cantik pada hakikatnya telah difatwakan haram oleh Mufti Wilayah pada 8 Februrari 1996 di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 dan setiap muslim yang menyalahi fatwa ini boleh diambil tindakan.

“Adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik”.

2. Program Ini Mesti Ditambahbaik Dari Sudut Perlaksanaan Dan Penganjur Mestilah Merujuk Kepada JAKIM Dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.

Menginsafi akan tujuan asal pihak penganjur di dalam program ini, kami mencadangkan agar pihak penganjur merujuk kepada JAKIM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat bagi memastikan program ini dibangunkan dengan nilai-nilai Islam, mematuhi etika Islam dan selari dengan agenda Kerajaan dalam usaha-usaha memperkasa wanita di Malaysia.

Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur khususnya Puan Suraya Godwinson selaku Exccutive Co-coordinator program kerana sudi bertemu dan teruja untuk berdialog dengan kami. Ini adalah salah satu daripada bentuk usaha-usaha serta komitmen DPPM untuk menyampaikan Islam dan nilai-nilai keindahan hidup bersyariat kepada semua pihak di luar sana.

Kami berharap agar lebih ramai pihak-pihak diluar sana sudi untuk berdialog dan bertemu dengan DPPM agar negara kita dapat membangun dengan makmur dan sejahtera.

Sekian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo