NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Laporan Laksana Ke-34 Pelaksanaan Pakej Prihatin, Penjana dan Kita Prihatin - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini menerusi laman Facebooknya, membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-34, iaitu laporan terakhir untuk tahun 2020.

Laporan itu pertama kali dibentangkan sembilan bulan lepas pada 14 April, 2020 memberikan perincian mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (KITA PRIHATIN).

Dalam pembentangan hari ini, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM12.608 bilion subsidi upah telah diluluskan setakat 11 Dis 2020 di bawah inisiatif PENJANA "Memperkasakan Rakyat".

Setakat 30 Sept 2020, iaitu tarikh penutupan PSU 1.0, beliau berkata lebih 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat PSU di bawah PRIHATIN dan PENJANA.

Mengenai Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, Tengku Zafrul menyatakan seramai 106,443 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini setakat 11 Dis.

"Jumlah ini merangkumi 85,242 pekerja di bawah umur 40 tahun; 13,513 individu berusia antara 40 hingga 60 tahun; serta 6,420 perantis dan 1,268 orang kelainan upaya (OKU). Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit," kata beliau.

Di bawah Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran pula, Menteri Kewangan itu berkata seramai 129,144 individu telah diluluskan untuk mengambil bahagian dalam program yang disediakan setakat 11 Disember.

"LAKSANA mendapati bahawa kursus yang menerima sambutan tertinggi adalah yang melibatkan ilmu keusahawanan termasuk cara berdagang dalam talian dan bersaing di peringkat antarabangsa," ujar beliau.

Sementara itu, menyentuh mengenai objektif PENJANA "Melonjakkan Perniagaan", Tengku Zafrul berkata setakat 11 Dis, Pembiayaan PKS PENJANA telah meluluskan 5,576 permohonan dengan nilai pinjaman RM1.097 bilion daripada RM2 bilion yang diperuntukkan di bawah program ini.

Beliau menambah Sektor Pelancongan PENJANA dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 bilion khusus bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan PKS mikro dalam sektor ini yang masih terkesan dengan COVID-19 telah menerima 537 permohonan PKS dan daripada jumlah ini, 245 permohonan telah diluluskan dengan nilai pembiayaan RM49.9 juta.

Selain itu, di bawah Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS), khas untuk PKS Mikro, sejumlah RM99.2 juta telah disalurkan dan memanfaatkan 14,861 PKS Mikro.

Untuk Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), beliau berkata sehingga 11 Dis, sebanyak RM253.1 juta telah disalurkan bagi memanfaatkan 7,252 PKS Mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan.

Menyentuh tentang Pembiayaan Bantuan Bumiputera (BRF) yang diperkenalkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), ia menyaksikan bantuan dana khas RM200 juta disalurkan kepada PKS bumiputera yang terkesan oleh COVID-19.

Dengan pembiayaan antara RM100,000 dan RM1 juta bagi PKS terlibat, Tengku Zafrul berkata dana ini telah disalurkan kepada 160 PKS melibatkan jumlah RM40.8 juta setakat 11 Disember.

Mengenai objektif ketiga PENJANA iaitu 'Merangsang Ekonomi', Tengku Zafrul berkata inisiatif bagi menyokong industri pertanian dan makanan telah memanfaatkan 6,094 PKS mikro pertanian dengan nilai RM60.9 juta setakat 11 Dis.

Beliau menjelaskan daripada jumlah peruntukan sebanyak RM400 juta, RM350 juta merupakan peruntukan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.

Mengenai pengecualian cukai perkhidmatan bagi hotel untuk menyokong sektor pelancongan, beliau berkata pengecualian ini telah dilanjutkan ke atas perkhidmatan penginapan yang dikendalikan oleh pengendali premis penginapan mulai 1 Sept 2020 hingga 30 Jun 2021.

"Setakat 11 Dis, nilai pengecualian cukai yang telah dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan telah mencecah nilai RM836.6 juta.

"Antara inisiatif lain bagi menyokong sektor pelancongan merangkumi pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong, serta pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya," kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, untuk pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas sektor komoditi merangkumi industri berasaskan minyak sawit, beliau berkata nilai pengecualian duti eksport yang berjaya dimanfaatkan oleh industri negara ialah sebanyak RM373 juta setakat 11 Dis, 2020.

-- BERNAMA 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo