NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

LGE Dapat Sambut Krismas, Polis Tangguh Ambil Kenyataan Tahun Hadapan

Pihak polis menangguhkan tarikh untuk mengambil keterangan daripada Lim Guan Eng berhubung dua kenyataan media yang dibuatnya pada tahun 2019.

Ini selepas Setiausaha Agung DAP itu berkata tindakan polis memanggilnya sehari sebelum sambutan Hari Natal sebagai 'hadiah Krismas' daripada kerajaan Perikatan Nasional.

Menurut Lim, pihak polis menetapkan satu tarikh baru pada tahun hadapan selepas dia dimaklumkan perkara itu oleh peguam, Gobind Singh Deo dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Sebelum ini Lim diarah hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut Pulau Pinang pada Khamis ini.

“Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dengan murah hati telah memohon maaf dalam satu pesanan teks kepada saya atas kekhilafan pegawai beliau menetapkan sesi merakam kenyataan saya pada sehari sebelum Krismas.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau atas ucapan Krismas beliau kepada saya dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Lim memberitahu dia dipanggil polis untuk memberikan keterangan Khamis ini, yang disifatkannya sebagai “hadiah Krismas” daripada PN.

Dia turut mendakwa siasatan itu bermotifkan politik terhadap pembangkang.

Untuk rekod, perbicaraan terhadap Lim yang menghadapi empat tuduhan berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang akan bermula pada Jun tahun depan.

Lim dituduh menerima suapan sehingga RM3.3 juta dan meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan projek tersebut, selain menyalahgunakan kedudukannya untuk melupuskan dua bidang tanah bernilai RM208 juta.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo