NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kesan 10 Tahun Selepas Arab Spring

Seorang lelaki melintas di depan tugu peringatan untuk Mohammed Bouazizi yang mencetuskan pemberontakan selepas membakar dirinya sehingga mati, 10 tahun lalu. (Gambar AP)

TUNISIA: Sepuluh tahun lalu, seorang penjual buah membakar dirinya sehingga mati di pekan Sidi Bouzid, tengah Tunisia, selepas bertengkar dengan seorang polis wanita mengenai tapak dipilih untuk membuka gerainya.

Berita perbuatan Mohammed Bouazizi itu merebak pantas dan mencetuskan protes di seluruh negara yang menumbangkan pemimpin Tunisia yang memerintah sejak berdekad lamanya sebelum turut membawa kepada pemberontakan di rantau itu, kemudian digelar “Arab Spring”.

Demonstrasi besar-besaran tercetus di Mesir dan Bahrain, kerajaan ditumbangkan malah perang saudara menyelubungi Libya, Syria serta Yaman.

Hari ini, rakyat Tunisia bebas memilih pemimpin mereka malah boleh mengkritik kerajaan secara terbuka. Namun, ramai yang merenung semula kejadian pada 2010 dengan sedikit sebanyak kekesalan.

“Ada sesuatu yang tidak kena dengan revolusi itu,” kata Attia Athmouni, pesara guru falsafah yang mengetuai pemberontakan selepas kematian Mohammed apabila berdiri di atas gerai buah lelaki malang itu untuk berucap kepada orang ramai pada malam kejadian.

Sejak beberapa minggu lalu, protes dilihat berlaku lagi di sekitar wilayah miskin Tunisia dengan orang ramai membantah pengangguran, perkhidmatan buruk, ketaksamaan serta kekurangan bekalan.

Antara masalah utama dihadapi rakyat biasa adalah kesukaran mendapat gas untuk memasak seterusnya menggariskan kesengsaraan penduduk di negara yang berdepan kekangan ekonomi. Akibatnya, selepas sedekad rakyatnya masih marahkan isu sama.

Minggu lalu, berhampiran Sidi Bouzid orang ramai menyekat jalan utama dengan meletakkan batu besar kerana mahu memaksa lori membawa tong gas ke bandar memasuki kampung mereka.

Bekalan sering tidak mencukupi di Tunisia sejak penduduk yang tinggal berhampiran kilang dimiliki kerajaan yang menghasilkan gas memaksa penutupannya beberapa minggu lalu untuk mendesak lebih peluang pekerjaan setempat.

Tiga van polis antirusuhan dikerahkan mengawal keselamatan di luar saluran utama gas memasak di Sidi Bouzid, yang dikerumuni ratusan penduduk yang memerlukan bekalan.

Seorang wanita yang beratur enam jam setengah ketika ditemui berkata, beliau sekeluarga hanya makan makanan sejuk sejak tiga hari lalu kerana tiada gas.

Demonstrasi besar-besaran dijangka berlaku hari ini iaitu ulang tahun kejadian Mohammed membakar dirinya selepas gerai buahnya dirampas apabila dia enggan beralih dari kawasan larangan berniaga.

Attia berkata, ketika itu dia sedang mengajar dan terus menyuraikan kelas sebelum mengajak pelajarnya turut memprotes sebaik berita kematian Mohammed tersebar.

Malam itu, slogan “rakyat mahukan kejatuhan rejim” mula digunakan sebagai desakan revolusi Tunisia.

Protes semakin berkembang saban minggu sehingga pada Januari 2011 ribuan orang berarak di Tunis dan Presiden Zine El-Abidine Ben Ali yang memerintah selama 23 tahun akhirnya melarikan diri ke Arab Saudi di mana beliau meninggal, tahun lalu.

Revolusi Tunisia semakin berkembang, dengan rakyat Mesir menggulingkan presiden Hosni Mubarak selepas 30 tahun memerintah. Pemberontakan turut menggemparkan Libya, Syria, Bahrain dan Yaman, malah mencetuskan perang saudara yang turut menarik pembabitan kuasa besar yang berkepentingan.

Kini, walaupun perjuangan demokrasi Tunisia berjalan lancar, ekonominya terjejas dan pemimpin politiknya masih berdepan kesukaran dengan pilihan raya diadakan tahun lalu gagal mewujudkan kerajaan stabil.

- FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo