NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenyataan MB Kelantan Jelas - Penganalisis

Setiausaha UMNO Kelantan merangkap Ketua UMNO Rantau Panjang, Akbar Salim, hari ini menyebut:

(1) “UMNO Kelantan kurang jelas sama ada PAS masih ingin meneruskan Muafakat Nasional atau sebaliknya”. 

(2) “Sekiranya PAS lebih cenderung untuk mengenepikan Muafakat Nasional yang telah disepakati, UMNO dan BN Kelantan bersiap-sedia untuk meletakkan calon di semua kawasan pilihan raya DUN dan Parlimen PRU 15.”

Asas kepada kenyataan Setiausaha UMNO Kelantan ini, yang lazimnya merupakan keputusan rasmi UMNO Kelantan, adalah “kenyataan YAB Menteri Besar Kelantan dalam Harakah Daily dan Malaysia Kini yang diterbitkan pada 2 Disember 2020, “MB Kelantan pilih perkukuh PN, tolak cadangan terikat dengan MN””.

Saya telah menyemak kedua-dua laporan Harakah Daily dan Malaysia Kini pada 2 Disember 2020 yang dimaksudkan tersebut di mana tiada tajuk sebegitu didapati. 

Sebaliknya, tajuk “MB Kelantan pilih perkukuh PN, tolak cadangan terikat dengan MN” dikeluarkan oleh Klate Daily seperti pada pautan ini: https://klatedaily.com/mb-kelantan-pilih-perkukuh-pn-tolak-cadangan-terikat-dengan-mn/

Tajuk Harakah Daily yang berkaitan adalah berbunyi “BERSATU tidak boleh diketepikan oleh PAS dan UMNO” seperti pada pautan ini: https://harakahdaily.net/index.php/2020/12/02/bersatu-tidak-boleh-diketepikan-oleh-pas-dan-umno/

Tajuk Malaysia Kini yang berkaitan pula adalah berbunyi “MB: 'Gabungan PAS, UMNO, BERSATU lebih kuat umpama seberkas lidi'” seperti pada pautan ini: https://www.malaysiakini.com/news/553398

Isi kandungan laporan-laporan Harakah Daily, Malaysia Kini dan Klate Daily tidak mengandungi sebarang kenyataan yang boleh memberikan gambaran bahawa PAS “tidak ingin meneruskan Muafakat Nasional” atau “lebih cenderung untuk mengenepikan Muafakat Nasional yang telah disepakati” seperti yang didakwa.

Sebaliknya, kenyataan yang ada hanyalah memaparkan hasrat penutur YAB Menteri Besar Kelantan supaya Muafakat Nasional diperluaskan seperti yang terangkum di dalam petikan-petikan ini:

(1) “Pergerakan parti Melayu mestilah tidak terhad hanya antara PAS dan UMNO, tetapi perlu melibatkan sama parti lain termasuk BERSATU.”

(2) “Bagi (pendapat) saya, lebih besar (gabungan) lebih baik. (Umpama) satu berkas lidi, kalau dah besar banyak guna, lebih kuat. (Jadi) Bagi saya, lebih baik kita (parti-parti Melayu UMNO, PAS, BERSATU dan lain-lain) bersama. Bukan sahaja dua parti (PAS dan UMNO).”

Kenyataan YAB Menteri Besar Kelantan ini adalah selari dengan tindakan Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional yang menyetujui dan menjemput BERSATU menyertai Muafakat Nasional secara rasmi pada 6 dan 13 Ogos lalu yang diikuti oleh jawapan rasmi BERSATU menyatakan kesediaannya berbuat demikian pada 18 Ogos lalu.

Janganlah semata-mata kerana adanya tajuk laporan dari portal entah dari mana yang mengandungi frasa-frasa “MB Kelantan”, “tolak” dan “Muafakat Nasional” maka terus sahaja disimpulkan bahawa PAS “tidak ingin meneruskan Muafakat Nasional” atau “lebih cenderung untuk mengenepikan Muafakat Nasional yang telah disepakati”.

Jika ada sekalipun apa-apa perkara kurang jelas membabitkan pimpinan parti-parti rakan elakkanlah dari membuat apa-apa kenyataan terbuka mengenainya kerana ia pasti akan membuka ruang perpecahan antara sesama parti, sebaliknya bertabayyunlah dengan parti-parti rakan atau mintalah penjelasan rasmi mengikut saluran terlebih dahulu.

Lainlah jika sudah tidak berapa mahu berkawan dan sengaja mahu cari alasan untuk berbalah.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo