NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Air : Rundingan Masih Terbuka - Sanusi


Kerajaan negeri Kedah masih membuka pintu rundingan kepada Pulau Pinang berhubung isu pembayaran caj air mentah sebelum meminta campur tangan daripada kerajaan pusat.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata sikap berkeras dan tidak terbuka dalam menghadapi sebarang isu tidak akan membawa kesan positif kepada mana-mana pihak.

"Kita kena sentiasa terbuka dan mahu berunding dan kalau dia (kerajaan Pulau Pinang) masih berkeras macam tiada tanda hendak buat rundingan, saya minta kerajaan pusat jadi fasilitator kepada usaha ini," katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Kembali Ke Sekolah di Alor Setar hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Dr P Ramasamy hari ini yang dilaporkan berkata bahawa Kerajaan Pulau Pinang tetap konsisten dengan pendirian tidak akan membayar walau satu sen kepada Kedah untuk mengambil air dari Sungai Muda.

Ramasamy berkata tidak ada tanda-tanda Pulau Pinang akan memberi sumbangan serta tidak akan ada atau perbincangan dengan kerajaan Kedah jika hak air Pulau Pinang tidak dihormati.

Muhammad Sanusi berkata tuntutan caj air mentah yang dikemukakan oleh kerajaan negeri juga adalah berasas berpandukan kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia).

"Dalam akta itu disebut mana-mana pihak yang sedut air daripada mana-mana sumber dia patut bayar, macam di Kedah kena bayar kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK)," katanya.

Beliau berkata sehingga kini masih belum ada sebarang maklum balas bertulis daripada kerajaan Pulau Pinang berhubung isu berkenaan.

"Tapi sebelum ini pernah dapat respon positif daripada Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow) untuk mengadakan rundingan," katanya.

Kerajaan Kedah sebelum ini menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun.

Tuntutan bayaran itu sudah dibuat kepada PBAPP sejak 2010 namun tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkenaan.

- Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo