Responsive Ad Slot

Inisiatif 5 Telco Bantu Golongan B40, Calon SPM dan STPM

KUALA LUMPUR: Isi rumah kumpulan B40, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bakal menikmati kemudahan Internet dengan pelbagai inisiatif yang disediakan beberapa syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut kenyataan MCMC, inisiatif yang akan dilaksanakan lima telco iaitu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Telekom Malaysia (TM) pada suku pertama tahun depan itu merangkumi pelaksanaan Pakej Data Khas kepada calon-calon SPM dan STPM hingga tamat peperiksaan pada ak-hir April 2021.

"Di bawah Pakej Data Khas ini, lima telco ini akan menawarkan kemudahan pas data prabayar pada harga RM20 untuk 15GB (gigabait) bagi tempoh 30 hari bermula 6 Jan 2021," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, program Learning From Home (LFH) yang dilaksanakan syarikat YTL juga telah dilanjutkan hingga peperiksaan SPM dan STPM berakhir.

"Selain itu, telco iaitu Celcom, Digi, Maxis, TM dan YTL akan melanjutkan kelas dalam talian secara percuma iaitu Celcom bagi program Tuisyen Rakyat, Digi bagi program Jom Tuisyen, Maxis bagi program e-Kelas, TM bagi program I-Learn Ace manakala YTL bagi program LFH iaitu kad sim percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan dan telefon percuma untuk pelajar daripada keluarga B40," kata MCMC.

Pelajar daripada keluarga golongan B40 juga boleh memohon untuk mendapatkan telefon bimbit secara percuma.
Inisiatif ini turut merangkumi pemberian capaian Wi-fi percuma di kawasan umum di 130 Program Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara hingga akhir April 2021 yang akan dilaksanakan Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, TM dan TIME.

Selain itu, waktu operasi Pusat Internet Komuniti kini dilanjutkan dari 9 pagi hingga 9 malam bagi memberikan peluang kepada calon SPM dan STPM serta pelajar daripada golongan B40 memanfaatkan kemudahan untuk sesi pembelajaran dan urusan seharian mereka.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo