NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Di Sini Kata Sayang, Dengan Sana Main Mata



KHABARNYA siang tadi ada tujuh lapan orang dikatakan ahli PAS telah menyerahkan memo bantahan kepada PAS Pusat di Pejabat Agung Jalan Raja Laut. Antaranya ialah membantah kerjasama PAS dan BERSATU melalui Perikatan Nasional (PN). Kononnya mewakili suara akar umbi PAS. Namun saya pelik kalau akar umbi diwakili oleh hanya tujuh atau lapan orang. 

Jika pun betul akar umbi, mungkin akar dan umbi dari pokok lain. Dari pokok mana saya sudah dapat jangka namun tak perlulah saya sebut di sini. Kerana apa pun keadaan saya masih sangat sayangkan perdamaian.

Tangan ghaib di belakang 8 orang itu sudah saya jangka. Mereka dah buat kerja sejak beberapa bulan yang lalu. Bersungguh benar mereka yakinkan saya bahawa kalau mahu menyelamatkan Muafakat Nasional (MN), PAS perlu buat keputusan putus dengan BERSATU. Namun saya bukan masih anak hingusan. Sedikit sebanyak saya dapat baca kelibat politik mereka. 

Bukan MN itu yang mereka fikirkan tapi individu tertentu yang nak diselamatkan. Dalam masa mereka yakinkan bahawa PAS perlu tolak BERSATU tapi dalam masa yang sama mereka dekatkan individu tertentu dalam Umno dengan PH dan Anwar. Apakah dengan mengijabkabulkan individu Umno itu dengan Anwar dan PH, MN akan jadi kuat?

Saya ada sembang dengan beberapa orang pimpinan PAS bahawa waspada dengan satu gerakan yang bergerak atas nama sayangkan MN tapi dalam masa yang sama sedang bermain mata dengan Anwar dan PH. Namun salah seorang dari mereka yang agak rapat dengan Individu itu menafikan bacaan politik saya. Namun ternyatakan 2 minggu kemudian telahan saya adalah tepat.

Hari ini empunya tangan ghaib itu menggerakkan bantahan kepada PAS Pusat. Mengapa nak risau dengan PN antara PAS dan BERSATU? PAS tak pernah abaikan MN. Bahkan PAS bertekad akan terus mengukuhkan MN. Dalam sebuah pertemuan yang berlaku secara kebetulan pihak tersebut menyebut depan saya bahawa PAS telah mengkhianati Umno, kerana menubuhkan PN bersama BERSATU. 

Saya tegaskan tuduhan itu tidak betul. Kerana antara PAS dan Umno walaupun bersama dalam MN namun tiada siapa yang mengikat siapa. Yang ada cuma kesepakatan bahawa PAS atau Umno tidak boleh mengadakan hubungan dengan PH atau mana-mana pimpinan PH. 

Kalau nak dikatakan PAS khianat kerana bekerjasama dengan BERSATU itu tidak betul. Kerana waktu PAS menghulurkan salam persahabatan dengan BERSATU, waktu itu BERSATU sudah keluar dari PH. Yang betul-betul khianat ialah bersekongkol dengan Anwar, kerana Anwar masih PH.

Umno tidak rugi apa-apa pun jika PAS dengan BERSATU kekal dalam PN. Hubungan PAS dan Umno tetap kukuh sebagaimana yang dipiagamkan sejak setahun lebih yang lalu. Lagipun pimpinan Umno dah mempelawa BERSATU bersama dalam MN, dan BERSATU juga sudah bersetuju. Lalu mengapa setelah sejauh itu kita melangkah ke arah penyatuan Muslim untuk sebuah agenda yang besar ini, tiba-tiba ada pihak mendesak PAS putuskan hubungan dengan BERSATU dan PN. 

Saya percaya di belakang kumpulan pendesak itu bukan hanya ada tangan hitam namun pasti juga ada tangan putih yang sama-sama bertujuan hitam. Ingat negara ini akan berubah menjadi hitam kembali jika PH dan DAP berkuasa. 

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo