Responsive Ad Slot

Covid-19 : PH Membisu Prabakaran Langgar SOP, Hadir Parlimen, Berbahas dan Mengundi.

KUALA LUMPUR – Beberapa bulan lepas Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran lantang mendesak Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali meletakkan jawatan sebagai menteri kerana melanggar kuarantin Covid-19.

Ketika itu Prabakaran mendesak Ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga menteri dari Pas ‘berehat’ merta bagi ‘meredakan’ kemarahan rakyat.

Tapi kini Prabakaran sendiri didakwa telah melanggar perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah Covid-19 dengan hadir ke Parlimen berbahas serta mengundi Belanjawan 2021 pada Khamis lepas.

Hakikatnya, sebelum itu, Prabakaran sendiri telah disahkan menjadi kontak rapat kepada abangnya yang positif Covid-19 dan sepatutnya mengkuarantin diri.

Tindakan itu bukan sahaja telah membahayakan nyawa wakil rakyat lain sebaliknya telah menonjolkan sifat hipokritnya. 

Malah ramai juga dalam kalangan wakil pembangkang dari DAP dan PKR begitu kuat kuat menghentam Mohd Khairuddin tetapi apabila melibatkan Prabakaran – semua mereka ‘membisu.’

Antara paling lantang mengkritik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ialah veteran DAP, Lim Kit Siang namun ketika beberapa ahli Parlimen bangkit mempersoalkan tindakan Prabakaran hadir ke Dewan Rakyat kerana melanggar SOP Covid-19, beliau dan rakan-rakannya berdiam diri.

Tetapi pelik sekali, seseorang yang begitu lantang dalam memastikan undang-undang kuarantin itu dipatuhi kini tanpa segan silu melanggarnya dan tidak pula berani tampil mengaku salah seperti Mohd Khairuddin.

Sejak semalam MalaysiaGazette difahamkan banyak laporan polis yang telah dibuat terhadap Prabakaran dan dijangka lebih banyak laporan susulan dalam beberapa hari ini.

Semalam, Bekas Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau lebih terkenal dengan panggilan Chegubard mempersoalkan kenapa pemimpin PH diam seribu bahasa dalam soal yang sama.

“Ahli Parlimen pembangkang manipulasi isu MP hadir lengkap dengan PPE malah bawah seliaan KKM untuk mengundi tapi bisu, buta dan pekak dengan pelanggaran Prabakaran ini?

“Sebelum ini ada wakil rakyat pembangkang yang ‘kantoi’ hadiri beach party ketika kita masih dalam PKP, akhirnya dia mengaku salah dan didenda. Pembangkang sebenarnya bukan hanya pandai menipu tetapi sebenarnya tidak hargai nyawa rakyat serta pengorbanan barisan hadapan,” tulisnya dalam Facebook hari ini.

‘Muslihat’ licik Prabakaran yang merasakan dirinya kebal itu didedahkan oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Dr Santhara yang meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai tindakan yang patut diambil terhadap Prabakaran.

Bagaimanapun kata Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan tindakan menghukum atau mengkompaun mana-mana individu yang melanggar perintah KKM atau Majlis Keselamatan Negara bukan di bawah kuasa beliau.

Setakat ini, Prabakaran belum mengeluarkan apa-apa kenyataan pengakuan mahupun permohonan maaf malah tidak ada seorang pun wakil pembangkang menegur ahli Parlimen muda itu. 

-MalaysiaGazette 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo