Penghinaan Ke Atas Nabi Muhammad Saw : Sikap Double Standard Perancis


Apa yang berlaku di Perancis baru - baru ini adalah “ signal “ buat Dunia Islam bahawa sudah sampai masanya untuk Dunia Islam bersatu - padu dan mengembeling tenaga untuk kembali memartabatkan Islam dan umatnya sebagai satu agama dan umat yang terunggul di kalangan seluruh umat manusia.

Sudah sampai masanya kita, Dunia Islam bangkit menangkis stigma dan dogma bahawa Islam dan umatnya adalah pengganas, “ barbarik “ dan tidak bertamaddun. Sudah sampai masanya umat Islam bangkit menangkis sikap “ double standard “ yang diadaptasikan oleh dunia barat terhadap umat dan Dunia Islam.

Islam tidak menyokong keganasan dan tidak juga menyokong kezaliman serta penindasan, itu muktamad. Dalam masa yang sama, Islam menganjurkan kedamaian dan mencari solusi kepada setiap permasalahan yang berlaku, bukan semata - mata meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada perkara yang berlaku kerana “ mencegah adalah lebih baik dari mengubati “.

Pembunuhan yang berlaku di pinggir bandar Paris baru - baru di mana seorang guru Samuel Paty dipenggal kepalanya kerana menayangkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW atas nama kebebasan bersuara patut menjadi pengajaran kepada seluruh umat dan Dunia Islam.

Benar, perbuatan itu sama sekali tidak berperikemanusiaan dan patut dijatuhkan hukuman jika benar didapati bersalah namun bagaimana pula perbuatan guru tersebut yang menghina Nabi Muhammad SAW ? Apakah perbuatan tersebut dianggap mulia kepada Emmanuel Macron, Kerajaan Perancis dan dunia barat ?

Ketika artikel ini ditulis, telah berlaku dua lagi peristiwa yang menyayat hati di Perancis. Beberapa hari lalu, dua remaja Muslim ditikam bertubi - tubi berdekatan Menara Eiffle di Paris dan baru sebenar tadi, tiga orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan berdekatan sebuah gereja di Nice, Perancis.

Kesemua kejadian ini tidak sepatutnya berlaku malah tiada satu nyawa pun yang patut terkorban namun gara - gara kebebasan bersuara dan mudahnya menghina serta mencerca agama lain tambahan pula langsung tidak diambil tindakan, maka insiden menyayat hati tersebut telah menyebabkan dunia memandang serong terhadap umat mahupun Dunia Islam.

Sebenarnya Kerajaan Perancis sudah lama boleh mengambil tindakan ke atas editor dan malajah Charlie Hebdo iaitu sejak tahun 2005 ketika Charlie Hebdo mengeluarkan karikatur pertama mereka menghina Nabi Muhammad SAW yang diambil dari Akhbar Denmark Jyllands-Posten. 2011, Charlie Hebdo menerbitkan edisi khas “ Charia Hebdo “ ( Sharia Hebdo ) dengan karikatur Nabi Muhammad SAW di kulit hadapannya dengan kata “ 100 lashes if you don’t die in laughter “ ( 100 sebatan jika kamu tidak mati dalam ketawa ).

September 2012, Perancis terpaksa menutup lebih 20 sekolah dan kedutaannya di serata dunia setelah majalah Charlie Hebdo menghina Nabi Muhammad SAW dengan karikatur yang langsung tidak berpakaian. Akibat daripada tindakan tersebut, pejabat Charlie Hebdo beberapa kali telah dibakar, dibom malah banyak nyawa yang terkorban akibat daripada kebiadapan majalah tersebut.

Setiap kali majalah Charlie Hebdo melakukan onar dengan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW, maka berulang kali juga majalah Charlie Hebdo akan dibela atas nama kebebasan bersuara. Namun benarkah kebebasan bersuara ini meliputi semua atau hanya ke atas Islam dan umatnya semata - mata di Perancis ?

2009, Maurice Sinet seorang kolumis dan kartunis dari majalah Charlie Hebdo dipecat dari majalah tersebut kerana dikatakan komentarnya dalam majalah tersebut bersifat anti semitik atau anti Yahudi. Maurice Sinet dalam artikelnya mengatakan Jean Sarkozy, anak bekas Presiden Perancis Nicolas Sarkozy akan menukar kepada agama Yahudi supaya beliau boleh berkahwin untuk dengan Jessica Sebaoun-Darty, anak hartawan berketurunan Yahudi.

Komentarnya yang dikatakan anti semitik dalam artikel tersebut adalah “ He’ll go a long way in his life, this lad! “ menimbulkan kemarahan dan mencetuskan kontroversi ketika itu. Editor Charlie Hebdo ketika itu, Philippe Val mendesak Maurice Sinet menulis surat memohon maaf atau berdepan tindakan dipecat.

Maurice Sinet enggan memohon maaf dan mengatakan beliau sanggup memotong kemaluannya daripada meminta maaf di mana akhirnya beliau dipecat daripada majalah Charlie Hebdo. Kedua - dua pihak menfailkan tindakan undang - undang dan akhirnya pada Disember 2010, Maurice Sinet memenangi kes tersebut kerana pemecatan tidak sah oleh Charlie Hebdo.

Terdapat beberapa lagi kes anti semitik yang dikecam oleh Kerajaan Perancis dan diambil tindakan terhadap pelakunya. 2019, potret Simone Veil, wanita mangsa holocaust dan ikon kebebasan wanita telah diconteng dengan lambang swastika dan perkataan “ Juden “ yang bermaksud yahudi dalam bahasa Jerman.

September 2020, seorang lelaki kulit putih dijatuhi hukuman penjara dua bulan kerana memanggil seorang pekerja sosial ‘ dirty jews “ ( yahudi kotor ) dan melakukan tabik ala Hitler. Kedua - dua kes tersebut telah dikecam oleh Kerajaan Perancis dan satunya dijatuhkan hukuman malah terdapat banyak kes sebegini di Perancis di mana ada yang dijatuhkan hukuman namun kesemuanya mendapat kecaman Kerajaan Perancis.

Disember 2019, Kerajaan Perancis telah meluluskan undang - undang anti semitik di mana definasi anti semitik tersebut merangkumi juga anti Zionisme.

Bermakna di Perancis adalah menjadi kesalahan jika melakukan perbuatan dalam bentuk apa sekalipun jika didapati ia adalah anti semitik mahupun anti Zionisme seperti menghina atau melakukan sesuatu yang memberikan imej buruk kepada Yahudi mahupun Israel.

Bermakna jika dilakukan terhadap Islam dan pemimpin agungnya Nabi Muhammad SAW, ianya tidak menjadi kesalahan malah sememangnya akan dikategorikan sebagai hak kebebasan bersuara dan pastinya ia sama juga terhadap agama lain dan pemimpin agama mereka namun usah diusik Yahudi atau Zionis, anda pasti dihukum!

Inikah sikap Perancis dan pemimpinnya, sebuah negara yang penuh dengan ketamadunan, sejarah dan intelektual ? Bersikap berat sebelah dan “ double standard “ terhadap agama dan pemimpin agung agama lain namun melindungi Yahudi dan Zionisme hingga digubal undang - undang ? Di manakah keadilan diletakkan jika hanya melindungi segolongan pihak tetapi membiarkan yang lain ?

Begitu juga majalah Charlie Hebdo dan editornya, mereka boleh memecat Maurice Sinet kerana komentarnya yang berbentuk anti semitik walaupun akhirnya diakui itu adalah satira atau sindiran, mengapa tidak boleh memecat kartunis yang melukis karikatur menghina Nabi Muhammad SAW ? Semuanya adalah kerana sikap “ double standard “ dan kebebasan bersuara yang dikatakan adalah palsu semata - mata.

Lebih memeranjatkan ialah tindakan Kerajaan Perancis memancarkan karikatur tersebut di bangunan - bangunan Kerajaan selepas berlakunya peristiwa pembunuhan Samuel Paty baru - baru ini sebagai tanda ingatan tindakan “ hero “ guru tersebut. Tidakkah ia akan menyemarakkan lagi kemarahan umat Islam di Perancis dan serata dunia ?

Sepatutnya Kerajaan Perancis menangani permasalah ini dengan adil dan saksama. Haramkan segala jenis tindakan menghina mana - mana agama dan pemimpin agama serta ambil tindakan terhadap mana - mana pihak yang melakukan perbuatan keji tersebut. Jika boleh digubal undang - undang untuk melindungi orang Yahudi dan Zionis, mengapa tidak boleh lakukan secara menyeluruh ?

Nyata, perkara sebegini tidak hanya berlaku di Perancis malah terdapat banyak lagi penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW dalam pelbagai bentuk di serata dunia. Sedihnya, di saat berlakunya penghinaan sebegini, kita dalam keadaan gembira untuk menyambut Maulidur Rasul atau hari keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Maka adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk mempertahankan kemuliaan dan kesucian Baginda daripada dicemari dan dihina kerana ia melambangkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Namun jika di dalam hati dan diri kita langsung tidak merasa sedetik pun kesakitan dan kepedihan akibat daripada penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW, ia patut menjadi tanda tanya.

Adakah kita benar - benar beriman kepada Allah SWT dan Rasulnya ? Jika langsung tidak merasai apa - apa setelah Nabi Muhammad SAW dihina dan dikeji sebegitu rupa, wajarlah kita menilai diri kita sendiri, adakah kita benar - benar beriman dan mempunyai iman ?

Iman tidak boleh dijual beli dan Iman itu tanda seseorang itu benar - benar Islam.

Islam Memimpin Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post