NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"ONE OFF" KWSP - Tidak Terjejas Perlu Beringat - Kredit Coretan Dari Negeri Selangor





Oleh : Shehdi Hazrik Shamsudin

Samada ia spekulasi bersifat tekanan politik ataupun satu kajian yang terperinci telah dibuat, akhirnya kerajaan membenarkan pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui program i-Sinar kepada semua pencarum yang terjejas sehingga maksimum RM10,000. Pengumuman tersebut dibuat oleh YB Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari semalam. 

Keputusan tersebut turut mengambil kira penambahan jumlah pencarum yang terkesan iaitu kira-kira 8 juta orang berbanding hanya 2 juta orang sebelum ini. Kesan daripada keputusan itu maka tambahan bajet melibatkan peruntukan belanjawan keseluruhan meningkat kepada RM70 bilion termasuk inisiatif on off RM300 kepada semua pertugas barisan hadapan Covid 19. 

Tahniah buat kerajaan Pakatan Nasional dan semua Ahli Parlimen yang menyokong sehingga belanjawan 2021 dan Rang Undang-undang Pembekalan 2021 berjaya diluluskan di dalam Dewan Rakyat. Ini menunjukan bahawa sebahagian besar ahli parlimen menyambut saranan Tuanku Yang Di Pertuan Agong dalam hadapi isu negara bersama. 

Walaupun i-Sinar kini dibuka kepada semua pencarum KWSP, saya juga menyokong penuh keputusan kerajaan ini dalam meluaskan lagi jumlah sasaran kepada 8 juta ahli yang terkesan, namun tidak semua mereka ini terkesan dan secara peribadi saya tetap mengharapkan hanya rakyat Malaysia yang benar-benar terkesan sahaja yang memohon pengeluaran i-Sinar KWSP ini. 

Kenapa saya kata begitu, pertamanya kita perlu sedar dan faham bahawa wang simpanan persaraan KWSP ini adalah untuk simpanan hari tua kita (pencen) atau ketika kita sudah tidak bekerja lagi kerana sakit kekal (pencen ilat). Maka jika tiada keperluan untuk digunakan sekarang saya nasihatkan biarlah ia disimpan disitu, kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku dikemudian hari.

Kedua adalah kekhuatiran saya apabila ramai dikalangan rakyat mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka untuk mencari "keselesaan daripada keperluan", dan saya juga berpendapat bahawa sebahagian besar mereka yang tidak terjejas akan mengambil skim ini bertujuan membeli bukan kerana keperluan tapi kemahuan, lihat sahaja jumlah kutipan jualan 11.11 dalam talian Lazada dan Shopee baru-baru ini kedua-duanya mencatatakan jumlah jualan melebihi tahun lepas walaupun negara masih dalam pandamik Covid-19.

Tambahan lagi dengan keadaan tekanan ekonomi serta harga pasaran barang dan aset yang masih tinggi ketika ini, sebilangan besar anak muda kita masih tidak memberi perhatian kepada simpanan persaraan mereka. Saya melihat golongan belia ini akan menjadi kumpulan terbesar yang membuat pengeluaran di bawah skim ini. Dalam situasi ini saya menjangkakan mereka akan kehilangan potensi pelaburan yang baik jika keluk ekonomi negara kembali pulih.

Sebagai contoh jika seorang anak muda berumur 26 tahun bekerja dibawah majikan dan di dalam akaun 1 KWSP beliau mempunyai simpanan RM12 ribu dengan purata pulangan dividen 12.8%. Selepas pengeluaran i-sinar RM10 ribu maka baki yang tinggal dalam akaun beliau hanya RM2 ribu sahaja dan beliau terpaksa menyimpan semula dengan purata dividen tahunan berkurangan kepada 3.4%.

Dengan tidak menafikan keperluan mereka yang terjejas dan memahami bahawa mereka sangat memerlukan bantuan kewangan melalui skim i-Sinar ketika ini, namun sekali lagi saya ingin mengingatkan kepada mereka yang tidak terjejas agar terus kekalkan wang simpanan persaraan untuk hari tua anda.

Kerisauan saya akhirnya nanti, daripada niat mahu menolong mereka yang kesulitan kewangan ketika ini, namun kerana "kemahuan dan bukan keperluan" sebenarnya kita mendorong penambahan kesulitan mereka ketika mereka sangat memerlukan di masa akan datang.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo