NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengapa Sudan Penting Kepada Israel?

Dunia Islam masih lagi menerima kejutan daripada normalisasi yang berlaku antara UAE dan Bahrain dengan Israel. Bahkan kebanyakan umat Islam masih lagi dalam keadaan marah dengan tindak tanduk dua negara ini yang sanggup mengkhianati perjuangan pembebasan Palestin yang menjadi tunjang perjuangan Dunia Islam sejak puluhan tahun yang lalu.

Pada tanggal 23 Oktober 2020 yang lalu, Sudan pula mengisytiharkan normalisasi hubungannya dengan Israel melalui Amerika Syarikat yang menjadi ‘orang tengah’ dengan diwakili oleh Setiausaha Negaranya, Mike Pompeo.

Sudan sebenarnya adalah sebuah negara penting di Timur Tengah secara khusus dan Dunia Islam secara umumnya kerana beberapa faktor.

Pertama: Sudan terletak di lokasi yang strategik di Laut Merah yang menjadi laluan penting kapal-kapal samada ke Barat mahupun ke Timur melalui Terusan Suez di Mesir dan Bab al-Mandab di Yaman.

Di samping itu juga, kewujudan Sungai Nil turut menjadi faktor yang sangat signifikan kepada geografinya yang dianggap sebagai nadi kepada tamadun awal manusia di kawasan tersebut.

Kedua: Dengan sebahagian daripada buminya disaliri oleh Sungai Nil, ia menjadikan Sudan antara negara yang amat subur untuk pertanian kerana terdapat tanah-tanah subur di lembangan mahupun delta di sepanjang Sungai Nil.

Mengikut kajian jika sekiranya manfaat ini digunakan sebaiknya nescaya hasil pertanian di Sudan bukan sahaja boleh menampung penduduk di Timur Tengah malah mampu menjadi pengeluar penting kepada sumber makanan dunia.

Ketiga: Hasil galiannya yang kaya. Sudan mempunyai hasil-hasil galian yang begitu banyak khususnya emas dan galian-galian yang lain namun masih belum diterokai sepenuhnya malah hanya peratusan kecil sahaja diterokai seperti emas.

Mengikut kajian yang dijalankan pada tahun 2015 oleh Kerajaan Sudan, Sudan banyak mengandungi deposit mineral seperti zink, perak, tembaga, kaolin, timah, petroleum dan gas malah turut dikesan ialah uranium dalan kuantiti yang banyak yang selalunya digunakan untuk reaktor atau senjata nuklear.

Dengan ketiga - tiga faktor ini, tidak hairanlah mengapa Israel begitu bersungguh untuk menormalisasikan hubungannya dengan Sudan malah Amerika Syarikat begitu mudah sekali mengeluarkan Sudan daripada senarai hitam negara yang menyokong pengganas.

Kedudukan Sudan Di Sisi Zionis.

Jika diteliti pelan Israelraya atau The Greater Israel yang menjadi idaman kepada gerakan Zionis antarabangsa yang sedang diusahakan oleh Benjamin Netanyahu ketika ini, Sudan sudah termaktub dalam pelan tersebut menjadi sebahagian daripadanya.

Mengikut sejarah di kalangan orang Yahudi, Sudan adalah sebahagian daripada kerajaan Nabi Sulaiman AS dahulu di mana ia termasuk juga Somalia, Djibouti dan Ethopia. Bahkan mereka menganggap di wilayah ini terdapatnya lombong-lombong emas yang pernah wujud di zaman kerajaan Nabi Sulaiman AS dahulu.

Sebenarnya penjajah Barat khususnya British telah berusaha untuk menjajah Sudan demi melaksanakan agenda agung Zionis namun ia mendapat penentangan yang begitu hebat dari rakyat Sudan yang telah berjaya menggagalkan perancangan-perancangan mereka.

Muhammad Ahmad bin Abdullah atau Al-Mahdi sebagai satu contoh antara tokoh-tokoh penting penentangan terhadap penjajah British. Perjuangannya telah berjaya menyekat perancangan British dan Zionis untuk menawan Sudan sejak dari tahun 1870an lagi.

Gerakan Muhammad Ahmad atau Al-Mahdi telah berjaya menawan Khartoum dari British pada 1886 seterusnya berjaya mengekalkan penguasaannya sehingga Sudan mencapai kemerdekaan pada tahun 1955.

Perjuangan Al-Mahdi hari ini diteruskan oleh National Umma Party yang diterajui oleh keturunannya Sadiq Al-Mahdi yang baru sahaja meninggal dunia beberapa hari lalu di UAE. Hampir pasti, perjuangan Al-Mahdi bakal diteruskan oleh Mariam Al-Mahdi yang ketika ini menjadi timbalan kepada ayahandanya, Allahyarham Sadiq Al-Mahdi.

Walaupun Barat tidak berjaya menjajah Sudan mengikut perancangan asalnya namun strategi kehadapan yang diambil ialah untuk mengekalkan Sudan menjadi sebuah negara yang lemah nampaknya berhasil.

Justeru itu sepanjang empat dekad, Sudan dipimpin oleh kerajaan yang lemah mengikut telunjuk Barat. Namun keadaannya berubah apabila rampasan kuasa yang dipimpin oleh Jeneral Omar Al-Basyir berjaya mengambil tampuk pemerintahan pada awal 1990an dengan kerjasama gerakan-gerakan Islam Sudan.

Omar Al-Basyir menubuhkan Parti National Sudan setelah mengambilalih tampuk pemerintahan daripada Sadiq Al-Mahdi di mana masih kekal menjadi parti terbesar dalam politik Sudan walaupun tidak lagi dipimpin oleh beliau.

Bersama pemimpin gerakan Islam Sudan seperti Hassan Al-Turabi, Omar Al-Basyir telah berjaya meletakkan Syariah Islam sebagai undang-undang tertinggi Sudan namun dalam masa yang sama, Sudan turut menjadi negara buangan kepada tokoh-tokoh kumpulan Islam yang berseteru dengan negara-negara Arab.

Satu ketika di awal 1990an, Sudan pernah melindungi Osama bin Laden sebelum berhijrah ke Afghanistan pada 1996. Ketika berada di Sudan, beliau banyak membantu Sudan dari sudut ekonomi dan membangunkan kemudahan asas infrastruktur seperti jalanraya, sekolah, hospital dan lain-lain lagi.

Langkah-langkah yang diambil oleh Sudan ini sudah tentu tidak disenangi Barat khususnya Amerika Syarikat sehingga berlakunya sekatan ekonomi pada 1997 dan kemuncaknya ialah serangan udara dan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat pada 20 Ogos 1998 ke atas kilang farmasutikal di Khartoum yang dipercayai mengeluarkan gas saraf XV dan mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.

Serangan tersebut berlaku beberapa hari selepas selepas Kedutaan Amerika Syarikat di Nairobi, Kenya dan Dar es Salaam, Tanzania diletupkan oleh kumpulan berkaitan Al- Qaeda di mana ia mengorbankan lebih 200 orang termasuk rakyat Amerika Syarikat.

Sudan juga memainkan peranan yang sangat penting kepada perjuangan rakyat Palestin bagi membebaskannya dari cengkaman regim Israel. Kumpulan PLO, HAMAS dan Jihad Islami mendapat perlindungan yang tidak berbelah bahagi sehingga rakyat Palestin yang menghuni di Sudan diberikan warganegara dan kerakyatan.

Baru-baru ini saya sempat menonton satu dokumentari terbitan Al-Jazeera yang bertajuk “ Apa yang Tersembunyi Lebih Besar”. Dokumentari ini mendedahkan perancangan regim Israel dan negara-negara Arab dengan restu dari Amerika Syarikat bagi menghalang perjuangan rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza dengan menyekat talihayat mereka khususnya bantuan persenjataan.

HAMAS mengakui mendapat bantuan persenjataan dari Iran melalui negara Sudan sebagai orang tengah, seterusnya masuk ke Semenanjung Gaza melalui Mesir dengan jalan darat.

Justeru, terang lagi bersuluh inilah sebab mengapa Sudan menjadi sasaran utama pakatan Israel - Amerika Syarikat sepertimana negara-negara Islam lain yang menjadi ancaman terhadap Israel.

Negara-negara Islam di Timur Tengah yang pernah menggugat Israel, disembelih satu persatu dengan tidak dinafikan kezaliman pemimpin-pemimpin mereka.

Iraq, Libya, Yaman dan Syria sudah dihancurkan kekuatan ketenteraannya. Dahulu, negara-negara ini mengancam keselamatan Israel, tetapi sekarang ini tidak lagi. Kemelut dalaman yang mengorbankan ribuan nyawa menjadikan Israel dalam keadaan aman. Matlamatnya ialah untuk memastikan Israel menjadi kuasa tunggal di Timur Tengah.

Usaha Barat Untuk Menggulingkan Omar Al-Basyir

Melihat akan kepentingan Sudan bagi keselamatan Israel, maka Barat telah berusaha berkali-kali untuk menjatuhkan pemerintahan Omar Al-Basyir namun ianya menemui kegagalan sehinggalah gerakan pro-demokrasi yang berlaku baru-baru ini dengan dokongan negara-negara Teluk akhirnya berjaya menggulingkan beliau dari tampuk pemerintahan.

11 April 2019, satu rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Leftenan Jeneral Ahmed Awad Ibn Auf dan Omar Al-Basyir dikenakan tahanan di rumah sementara menunggu siasatan. Kemudiannya beliau dipindahkan ke penjara Kobar dan dibicarakan. Beliau didapati bersalah dan dihukum penjara dua tahun.

Mahkamah Sudan juga turut membicarakan kes rampasan kuasa yang beliau lakukan dahulu pada tahun 1989 serta beliau juga sedang berhadapan dengan perbicaraan jenayah perang oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa ( ICC ).

Sudan Pasca Omar Al-Basyir

Pada 23 November 2020 Israel buat pertama kali menghantar delegasi pegawai kerajaan dan pelabur ke Sudan bagi mengadakan kerjasama dan pelaburan dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, pertanian dan makanan serta sumber air.

Namun mengikut laporan Kerajaan Israel, lawatan tersebut adalah untuk perbincangan awal bagi membuka laluan delegasi besar yang akan datang ke Sudan beberapa minggu lagi bagi memperincikan perbincangan awal ini serta mewujudkan kerjasama di antara kedua-dua buah negara.

Selepas Donald Trump mengumumkan Sudan telah menormalisasikan hubungan dengan Israel, pejabat Benjamin Netanyahu telah menyatakan bahawa Israel telah menghantar sejumlah besar gandum bernilai USD 5 juta untuk membantu Sudan yang sedang berhadapan dengan masalah ekonomi.

Sekali imbas setelah Sudan menormalisasikan hubungan dengan Israel, pelbagai peluang dihidang oleh pihak Israel dan Amerika Syarikat untuk memaut hati Sudan dan rakyatnya. Namun dalam masa yang sama, majoriti rakyat Sudan mengutuk tindakan tersebut sebagaimana rakyat Bahrain yang mengecam tindakan pemerintahnya.

Parti Umma dan rakyat Sudan sudah mula menjalankan bantahan dan turun ke jalanan mengecam tindakan kerajaan sementara Sudan. Namun sebenarnya, kerajaan Sudan ketika ini belum begitu kukuh dan dengan sejarah Sudan serta kuasa yang ada pada rakyatnya, siapa tahu nasib kerajaan Sudan sekarang.

Mungkinkah tindakan kerajaan Sudan ini akan memakan dirinya sendiri ?

Sebelum Donald Trump menamatkan kerjayanya sebagai Presiden Amerika Syarikat dalam tempoh 6 - 7 minggu lagi, masa yang ada digunakan oleh Israel sebaik mungkin untuk melunaskan cita - citanya. Rumah-rumah dan tanah-tanah rakyat Palestin dicerobohi dan dirobohkan sesuka hati saat ini. Rakyat Palestin termasuk kanak-kanak dan wanitanya ditembak dan dipenjarakan.

Apa sahaja yang mampu dilakukan oleh regim Israel ketika ini untuk meluaskan kekuatan, pengaruh dan perluasannya dilakukan dengan segera saat ini kerana mereka tahu polisi bakal Presiden Amerika Syarikat Joe Biden akan berbeza samasekali dari segi pendekatan namun tetap mendokong Israel.

Walau tidak banyak beza siapa pun Presiden Amerika Syarikat dalam polisinya terhadap Israel, namun polisi luar Joe Biden adalah hampir sama dengan polisi luar era Barrack Obama ketika menjadi Presiden Amerika Syarikat. Sebelum dikekang Joe Biden, Israel berusaha sehabis mungkin mengejar impian mereka.

Kita boleh lihat dengan peristiwa yang berlaku saat ini dan masa lalu bagaiman keadaannya kalau umat Islam berpecah belah dan bagaimana pula keadaannya pula kalau bersatu padu. Tidak ada yang menguntungkan langsung jika berpecah belah kerana ia akan menguntungkan musuh Islam dan semestinya merugikan umat islam.

Itulah sebabnya PAS menekankan betapa pentingnya perpaduan dalam usaha untuk menjadikan ummah yang gemilang dan terbilang. Bersatu padu dan berkerjasama menjadikan umat dan Dunia Islam kuat dan kukuh manakala apabila berpecah ia lemah dan mudah dimanipulasi serta ditipu musuh Islam.

Jangan jadikan diri kita, keluarga, masyarakat dan ummah secara keseluruhan lemah, layu dan berpecah belah. Jadikan Islam yang sebenar yang dipandu oleh Al-Quran dan Hadis sebagai asas kehidupan, insyallah kita tidak akan ketinggalan malah bertambah maju dan kukuh seterusnya mampu memartabatkan umat dan Dunia Islam.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo