Masa Depan Ekonomi Berasaskan Pertanian


Oleh : Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil

[Pertama] Kepentingan Pertanian

1) Saya bukanlah pakar ekonomi untuk meramal suasana ekonomi pada masa depan. Sekadar nak sharing betapa pentingnya sektor pertanian, khususnya yang menjurus kepada makanan.

Banyak hadis hadis Nabi SAW menceritakan tentang sektor sektor penting, seperti pertukangan tangan, perniagaan dan pertanian. Tidak dinafikan setiap sektor, ada sandaran oleh Baginda SAW.

2) Namun, Imam Nawawi RA menyatakan bahawa pertanian adalah sektor yang terbaik, tanpa menafikan fadilat fadilat sektor yang lain. Beliau menyatakan hal ini di dalam Syarah Shahih Muslim.
Beliau menyatakan;

Dalam hadith-hadith ini terdapat keutamaan menanam pohon dan tanaman, bahawa pahala pelakunya akan terus mengalir selama mana pohon dan tanaman itu masih ada, serta sesuatu (benih) yang keluar daripadanya sampai hari kiamat masih ada. Para ulama berselisih pendapat tentang pekerjaan yang paling baik dan paling afdhal. Ada yang berpendapat bahawa yang terbaik adalah perniagaan. Ada yang menyatakan bahawa yang terbaik adalah pertukangan tangan. Ada juga yang menyatakan bahawa yang terbaik adalah bercucuk tanam. Inilah pendapat yang benar. Aku telah memaparkan penjelasannya di akhir bab al-Ath’imah dalam kitab Syarh al-Muhazzab. Dalam hadith-hadith ini terdapat keterangan bahawa pahala dan ganjaran di akhirat hanyalah khusus bagi kaum muslimin, dan bahawa seorang manusia akan diberi pahala atas sesuatu yang dicuri dari hartanya, atau dirosakkan oleh haiwan, atau burung atau sejenisnya.
3) Justeru, apa yang dapat kita fahami bahawa pertanian itu adalah satu usaha sebagai salah satu sumber hidup. Ia juga adalah sumber kepada sistem kesemulajadian alam.

[Kedua] Hukum Hakam
1) Apabila kita membincangkan tentang hukum pertanian, ia boleh menjadi Fardu Ain, iaitu kewajipan yang mesti dilakukan oleh setiap orang. Ia menjadi kewajipan setiap individu sekiranya itulah sumber pendapatan untuk dirinya dan keluarga [1]

Sama juga, sekiranya pemerintah mengeluarkan arahan kepada seseorang untuk mengusahakan pertanian disebabkan kepakarannya, maka ia menjadi wajib, kerana ia bertujuan menampung keperluan negara.

2) Pertanian boleh menjadi Fardhu Kifayah, iaitu sekiranya sudah ramai orang yang mengusahakan pertanian yang memberi hasil yang mencukupi untuk kepentingan awam [1]

Rasulullah SAW menjelaskan kepentingan pertanian di dalam sabdanya yang bermaksud:

إِنْ قامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ، فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

Maksudnya: “Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.” (Adabul Mufrad)

3) Hadis ini menggambarkan betapa pentingnya pertanian, sekalipun ketika suasana getir hampirnya dengan kiamat. Boleh fikirkan kenapakah sampai begitu sekali Nabi SAW menekankan sektor ini.

Seolah olah Nabi SAW menekankan sektor ini agar tidak terabai, kerana ia melibatkan keperluan asasi bagi manusia. Khususnya dari sudut makanan yang menjadi asas kepada kehidupan.

Makanan sangat berkaitan dengan kelangsungan hidup manusia. Manusia tak dapat hidup dalam suasana kebuluran. Sebab itulah dalam Islam meletakkan keutamaan 'menjaga nyawa' sebagai salah satu maqasid.

[Ketiga] Makanan Belum Mencukupi
1) Pertanian sesuai memberi tumpuan kepada sektor makanan, bekalan bahan mentah dan sebagainya, selain daripada perladangan atau penternakan. Ini kerana ia sudah termasuk dalam keperluan asasi.

Sama juga sektor air, atau saliran yang berkaitan dengan keperluan asasi manusia. Ia jauh lebih utama berbanding kemajuan teknologi, dan pelaburan-pelaburan yang tak membantu mengisi perut.

2) Saya menulis dari sudut keutamaan, tanpa menafikan sektor sektor lain. Bahkan keutamaan ini sentiasa berbeza mengikut peredaran zaman dan perbezaan suasana. 

Contohnya satu ketika dahulu, pertanian mungkin sektor yang memberi sumbangan besar kepada negara. Tetapi bila ada minyak, minyak lebih mengkayakan negara.

Cuma kita perlu simpan sedikit peratusan, bahawa minyak (petroleum) sedikit sebanyak mencemarkan alam. Mungkin tidak berlaku dalam skala yang besar disebabkan kemahiran pengurusan yang baik.

3) Kita perlu akui bahawa nilai import makanan kita lebih tinggi daripada nilai eksport khususnya antara 2013 hingga 2018 berdasarkan laporan buletin suku tahunan terkini (Suku Ketiga, 2019) oleh Bank Negara Malaysia [3];

a- Eksport 2013 RM26 Billion, manakala tahun 2018 RM35 Billion

b- Import 2013 RM43 Billion, manakala tahun 2018 RM54 Billion.

Ini menunjukkan bahawa kita masih terpaksa bergantung dengan negara luar dalam sektor makanan. Istilah yang digunakan dalam menggambarkan hal ini ialah self-sufficiency level (SSL)

[Keempat] Import Eksport
1) Sepertimana yang saya tulis dalam artikel lalu [2], kita dapati bahawa keperluan asasi di Malaysia tidak cukup, dan terpaksa import dari negara negara luar, contohnya laporan pada April 2019 [4].

Contohnya beras, 67% daripada 2.7 juta metrik tan daripada beras yang dimakan penduduk Malaysia adalah hasil tanaman dalam negeri manakala bakinya diimport daripada negara luar seperti Thailand, Vietnam dan Pakistan.

Beras di Malaysia masih berada pada tahap yang sama semenjak 1990. Jika dibandingkan tahap kecukupan diri (SSL), Malaysia berada pada tahap 60-70% lebih rendah berbanding negara Asean yang lain. 

2) Laporan buletin suku tahunan terkini (Suku Ketiga, 2019) oleh Bank Negara Malaysia juga memetik secara spesifik [3];

a- Ada produk pertanian yang mampu mencapai tahap SSL (mampu berdikari) yang melebihi tahap 100%, iaitu timun (118%), terung (116%), bayam (116%), telur (116%), kacang panjang (111%), bendi (107%), nanas (106%), sotong (105%), pisang (103%) dan udang (103%).
b- Ada juga yang tak cukup, dan ada yang terpaksa import dari luar, iaitu Daging, ayam dan tuna (98%), ketam (93%), ikan kembung (83%), kelapa (78%), beras (70%), kubis (42%), cili (39%), daging lembu (25%), mangga (25%) dan daging kambing (11%).
.
3) Bahasa mudahnya, kalau kita masih di takuk lama, apabila jaringan import dan eksport terhenti, bermakna orang Malaysia terpaksa makan sayur dan udang/sotong. Beras pula naik harga.
.
Sebab itu tidak dinafikan bahawa sistem import dan eksport juga selari dengan Islam, cuma yang perlu kita fikirkan ialah bilakah kita boleh hidup berdikari dengan memanfaatkan bumi sendiri?

[Kelima] Pedoman Dan Pengajaran
1) Begitulah realiti hari ini. Dalam banyak banyak kementerian, tugas yang besar terpundak di bahu menteri yang menguruskan sektor pertanian, perladangan dan air, kerana ia adalah sumber.

Iaitu sumber kepada kehidupan manusia, sumber kelangsungan manusia. Jika ia dilihat dengan sebelah mata, bimbang masa depan yang rencam tidak kita ketahui.

2) Bagaimana nak selesaikan masalah? Sepertimana artikel artikel saya sebelum ini, kita perlu menekankan aspek muafakat dan kerjasama sepertimana yang digambarkan di dalam al Quran.

Antaranya kisah Raja Zulqarnain dan kisah Nabi Yusuf AS. Kepelbagaian bangsa di Malaysia ini, perlu dijadikan sebagai satu kekuatan untuk membina permuafakatan, khususnya dalam sektor makanan.

Raja Iskandar Zulqarnain memanfaatkan sumber tenaga manusia untuk membina tembok. Manakala Nabi Yusuf AS pula berkongsi idea untuk memelihara stok makanan di masa depan.

3) Ada orang yang diberi kelebihan oleh Allah SWT untuk menjana ekonomi. Mereka ini sepatutnya bertindak sebagai pemikir untuk negara, bukan sekadar membina empayar kapitalisnya.

Kita sendiri perlu sedar bahawa sektor pertanian semakin dipandang sepi oleh generasi baru. Mereka lebih suka mencari fastfood, lebih suka memilih makanan yang berkimia berbanding khasiat.

Kita juga perlu sedar bahawa kita tidak boleh makan minyak petroleum kita. Kita cuma boleh menjual minyak untuk membeli makanan. Hari ini harga minyak runtuh, bagaimana nak beli makanan kalau kita sendiri malas usahakan tanah yang ada?

- Isnin, 20 April 2020

[4] Pautan ini terpaksa dipadamkan kerana di'block' oleh facebook
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post