NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sumber Tenaga Manusia Dan Ketidak-Seimbangannya Menurut Ibnu Khaldun


Oleh : Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil

[Pertama] Keseimbangan Masyarakat Dan Perbahasannya
Ibnu Khaldun merupakan tokoh pemikir Islam yang telah menulis kitab "Muqaddimah" yang menjadi rujukan cendekiawan Islam sejak sekian lama. Di dalam karya beliau itu, beliau ada menulis tentang keseimbangan antara Bandar dan Kampung. Dalam pada itu, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang pernah menghuraikan konsep Hadharah Islamiah (Ketamadunan Islam).

Selain itu, ramai lagi tokoh yang membahaskan tentang topik yang berkaitan hal kenegaraan, kemasyarakatan dan sebagainya. Ilmu ini hakikatnya menjadi salah satu keperluan untuk mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat. Topik yang saya tulis pada hari ini lebih kepada salah satu cabang dalam hal-hal yang berkaitan dengan kenegaraan dan kemasyarakatan.

Perbincangan tentang keseimbangan antara kampung dan bandar sangat berkaitan dengan sistem kapitalis yang diamalkan di Malaysia sejak sekian lama. Sistem ini perlu dihapuskan bagi mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat. Antara yang menjana penguasaan kapitalis adalah pemerintahan yang zalim, yang naik melalui saluran demokrasi.

Sebelum ini saya ada menghuraikan beberapa perkara berkaitan kapitalis [1] [2] [3] dan juga berkaitan demokrasi [4]. Kesan daripada kekucaran sistem kapitalis, dan keterbukaan demokrasi, boleh memberi kesan terhadap keseimbangan antara bandar dan kampung. Kita boleh lihat rancangan British mewujudkan Jus Soli 1945 satu ketika dahulu turut memberi kesan terhadap keseimbangan ini.

[Kedua] Strategi British Memecahkan Bangsa Mengikut Tempat
Antara yang diaturkan oleh British di era kemerdekaan ialah menempatkan Bangsa China yang dibawa masuk ke Tanah Melayu di kawasan perlombongan, manakala Bangsa Melayu Bumiputra diletakkan di perkampungan dan Bangsa India di kawasan ladang getah (estate). Pengkelasan seperti ini mewujudkan ketidakseimbangan dalam masyarakat.

Projek ini hakikatnya telah bermula sekitar 1880 lagi. Kemasukan buruh China seramai 213,000 pada 1893 melalui pelabuhan Singapura dan Pulau Pinang yang dikaitkan dengan perkembangan bijih timah di beberapa buah negeri di Tanah Melayu iaitu di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Antara alasan British melakukan agenda tersebut atas dakwaan Bangsa Melayu tak serajin China.

Bangsa India pula mula dimasukkan seiringan dengan ekonomi Malaysia yang menjadikan getah menjadi antara tanaman terpenting di Tanah Melayu selepas diperkenalkan HN Ridley pada era tersebut. Majoriti Bangsa India ini ditempatkan di ladang getah milik Eropah dan sengaja diasingkan daripada Melayu dan Cina. Bancian 1957 terdapat sehingga 786,000 penduduk India di Tanah Melayu termasuk Pakistan dan Sri Langka. 

Hari ini kita lihat kesan rancangan British tersebut. Apatah lagi hari ini wujudnya ketidak seimbangan. Kawasan-kawasan perlombongan dibangunkan menjadi bandar. Manakala kawasan luar bandar seolah olah terpinggir dan tidak mendapat tumpuan. Antaranya kita boleh lihat jurang besar antara value tanah bandar, dan tanah kampung. Kawasan perkampungan yang disasarkan untuk upgrade menjadi bandar, akan melambung naik harga tanahnya.

[Ketiga] Penjajah Memperguna Migran Dan Rakyat Tempatan Untuk Kaut Hasil
Apa kaitan dengan kapitalis dan demokrasi yang ingin saya lontarkan? Kita boleh lihat bagaimana hasil bumi kita dirembat oleh British. Antaranya tanah yang luas digunakan untuk penanaman getah, seterusnya hasil tersebut akan disalurkan kepada penjajah. Migran dari India "dipergunakan" untuk tujuan itu. Apabila berhadapan dengan masalah upah, British memperkenalkan arak.

Arak yang dipromosikan ini membuatkan para pekerja itu ketagihan, lantas mereka diikat dengan hutang. Hutang-hutang ini menyebabkan upah mereka boleh di"kotra"kan. Begitulah bagaimana mereka diikat. Begitulah yang terjadi di kawasan perlombongan yang banyak menghasilkan kekayaan bagi penjajah. Kawasan perlombongan menjadi tumpuan dan akhirnya bertukar menjadi bandar pada hari ini
Orang Melayu yang dipinggirkan di kawasan perkampungan seolah olah tidak perasan hasil bumi mereka sedang dikaut sesedap sedapnya. Upah yang ditawarkan oleh British sedikit sebanyak mendorong orang orang Melayu di perkampungan untuk turun ke kawasan perlombongan bekerja di sana. Sistem kapitalis seolah olah diaplikasikan tanpa sedar. 

Bayangkan, hasil bumi Melayu, British membayar upah yang sedikit kepada orang tempatan untuk menggali hasil bumi mereka untuk diberikan kepada penjajah. Sebab itulah Ibn Khaldun turut menceritakan tentang budaya masyarakat yang terjajah di dalam karya beliau yang saya nyatakan tadi. Kerana ia sangat berkaitan dengan kemasyarakatan.

Realiti hari ini kita sedang lihat bagaimana sistem penjajah ini masih dikekalkan oleh masyarakat tempatan sendiri [rujuk gambar 1]. Ia dinamakan sebagai neo-colonialism, yang juga ada saya huraikan sebelum ini [5]. Kalau dahulu kekayaan Tanah Melayu dibolot oleh penjajah, hari ini ia dibolot oleh ahli korporat. Menyebabkan mereka terus kaya, manakala orang miskin yang dahulunya dijajah terus miskin sekalipun penjajah sudah tiada.

[Keempat] Sistem Islam Menyanggah Kapitalis
Sekiranya kita merujuk kepada erti ketamadunan Islam (Hadharah Islamiah) kita akan lihat bagaimana Islam menekankan aspek "saling memerlukan" antara masyarakat. Perbezaan latar belakang masyarakat dijadikan unsur untuk saling menguatkan antara satu sama lain. Hadharah bermaksud "kehadiran". Iaitu masyarakat dari pelbagai tempat, hadir di satu kawasan untuk membina sebuah kelompok masyarakat. 

Ia jelas berbeza dengan kapitalis cara penjajah. Mereka meng"hadir"kan migran daripada luar, semata mata untuk mewujudkan ketidak seimbangan yang memberi kesan dalam jangkamasa yang panjang. Masyarakat perlu hidup dalam situasi saling memerlukan antara satu sama lain. Contohnya orang yang membuat perniagaan menjahit baju memerlukan beras dan ikan sebagai lauk. 

Beras diambil daripada petani/pesawah manakala ikan diambil dari nelayan. Manakala petani dan nelayan pula masing masing memerlukan baju yang dijahit oleh tukang jahit tadi. Petani juga memerlukan ikan daripada nelayan untuk dijadikan lauk, begitulah nelayan memerlukan petani untuk makan nasi. Siratan keperluan inilah yang membentuk satu ketamadunan (hadharah).

Kalau ikut cara penjajah British, penoreh getah dari kalangan Bangsa India akan memberi hasilnya kepada British, manakala orang China yang bekerja di kawasan lombong juga menyerahkan hasil lombongnya kepada British. Orang Melayu yang Bumiputra apa yang mereka dapat? Orang China dan India pula hanya dapat upah yang tidak berbaloi dengan hasil bumi yang diperolehi oleh British.

[Kelima] Ketidakseimbangan Bandar Dan Luar Bandar
Realiti hari ini di Malaysia, apabila kecelaruan yang dibina oleh British satu ketika dahulu membuatkan orang Melayu kekal di perkampungan dengan dihidangkan konsep "felda" yang membuka ruang orang politik membolot kekayaan. Kekayaan hasil kampung disalurkan kepada golongan korporat, manakala hasil bandar juga diserahkan kepada korporat.

Ahli korporat yang dikenali dengan geng 1% [rujuk gambar 2] menumpukan kekayaan mereka di pembangunan kawasan bandar menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan. Contoh mudah carta alir ketidakseimbangan, ahli korporat mendanai ahli ahli politik tertentu untuk menang dalam pilihanraya. Sebagai balasannya, apabila sudah menang, ahli politik itu akan meluluskan projek ladang sawit 400 hektar di hujung bandar yang dipohon oleh ahli korporat tadi. 

Ahli korporat itu menggunakan duit daripada simpanan/saham korporat sebagai modal untuk projek tersebut. Hasil kutipan sawit diproses dan dijual minyak sawit kepada rakyat marhean untuk kegunaan harian. Keuntungan jualan minyak sawit ini akan mengkayakan ahli korporat tadi untuk membangunkan bandar-bandar dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Peluang pekerjaan yang lebih tertumpu di bandar menyebabkan bandar semakin menjadi padat, manakala di kawasan kawasan perkampungan akan kekal dhaif. Mungkin boleh dikatakan bahawa kawasan perkampungan hanya dianggap sebagai kawasan menghasilkan bahan mentah kerana tanahnya yang subur, untuk digunakan oleh orang orang bandar.

Contoh lain hasilan orang kampung untuk kegunaan bandar ialah getah. Getah yang ditoreh oleh orang kampung, dibekalkan ke luar negara, diproses menjadi tayar. Setelah siap tayar, ia diimport semula masuk Malaysia dan lebih banyak digunakan di bandar-bandar berbanding kampung. Pembangunan di perkampungan mungkin tidak diberi perhatian kerana tidak begitu menguntungkan pemaju. 

[Keenam] PTPTN : Melahirkan Generasi Terpenjara
Apabila kita melihat realiti kepincangan sistem di Malaysia bermula dari pendidikan, ekonomi dan pemerintahan memerlukan kepada penyusunan semula mengikut neraca Islam. Pendidikan di Malaysia yang berteraskan sijil dan duit poket menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan. Sistem pendidikan awal awal lagi sudah membezakan antara bangsa. Mungkin meraikan sistem pengkelasan mengikut bangsa yang dihuraikan di awal tadi.

Seterusnya kecemerlangan pelajar itu hanya diukur dari segi akademiknya. Membuatkan orang yang cerdik diberi pengiktirafan sekalipun jahat. Selain itu, pendidikan yang berteraskan duit turut menjerut leher orang orang miskin untuk mendapat pendidikan [rujuk gambar 3]. Secara simplistiknya, orang yang punyai duit boleh teruskan pengajian ke peringkat tinggi. Manakala orang yang miskin tidak mampu melainkan terpaksa membuat pinjaman PTPTN yang mempunyai 'bunga' secara halus.

Kadar pelajar yang terikat dengan PTPTN seramai 2.9 juta orang yang disiarkan pada Disember 2018. Kerajaan letak kos pengajian yang tinggi, kerajaan beri pinjaman kepada pelajar. Keuntungan pinjaman itu kembali kepada kerajaan dalam keadaan pelajar pelajar berhutang. Orang yang kaya, tak perlu buat pinjaman. Manakala orang miskin terpaksa meminjam dan terus diikat dengan hutang hingga ke akhir hayat. Inilah yang saya maksudkan sebagai 'generasi terpenjara', iaitu dipenjara dengan jeriji hutang.

Sumber tenaga manusia yang terbeban dengan PTPTN tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya. Apatah lagi anak anak muda dikerah keringat mereka 'tahap gaban' untuk memperolehi secupak beras. Malam mereka dipaksa untuk cari duit sampingan seperti memandu Grab, Foodpanda dan sebagainya. Bebanan ini tidak menghasilkan sumber tenaga kerja yang baik, tetapi seperti dihamba abdikan untuk mengkayakan geng 1% [rujuk gambar 2]. 

[Ketujuh] Sumber Tenaga Manusia Yang Tidak Seimbang
Realiti yang kita lihat hari ini, anak anak muda kampung akan berhijrah ke bandar-bandar untuk mencari sumber rezeki untuk hidup. Meninggalkan keluarga tersayang rindu di perkampungan. Kesannya, kawasan kampung kekurangan sumber tenaga manusia, melainkan mereka yang punyai tanah pusaka untuk diusahakan, atau kedai bapa mereka untuk diteruskan.

Manakala di bandar, anak anak muda terlonggok di sana, menumpang sewa di bilik kecil. Atau bersesak di rumah rumah pangsa. Nilai sewa rumah yang melambung akibat sistem kapitalis, akhirnya menjahanamkan anak bangsa sendiri. Tanah tanah di bandar dan rumah rumah mewah dijual kepada bangsa asing, atas alasan rakyat Malaysia tiada kemampuan. Semenangnya tiada kemampuan selagi mana Malaysia masih amalkan kapitalis.

Ketidakseimbangan ini harus dilihat dalam jangkamasa yang panjang. Tanah di perkampungan akan semakin sempit dikerat kerat sebagai pusaka. Andai anak muda nak buka tanah baru, sudah pasti kelulusannya sangat payah apatah lagi terdapat campurtangan ahli politik. Ke mana mereka nak hidup? Pemaju yang boleh dapat tanah dengan mudah, dijadikan peluang untuk menjual rumah dengan harga berlipat kali ganda.

Anak muda yang tiada kemampuan, yang terpaksa buat pinjaman akan terikat hingga ke hujung nyawa. Manakala mereka yang tidak mampu buat loan seperti penganggur, akan merana berkongsi menumpang di rumah orang tua. Jabatan Perangkaan Malaysia menyiarkan kadar pengangguran pada Januari 2019 kekal 3.3 peratus semenjak September 2018. Bilangan penganggur yang direkodkan 
adalah seramai 515,600 orang. Kebanyakan mereka sudah pasti tidak lulus untuk buat pinjaman perumahan. Ke manakah mereka akan pergi?

- Khamis 10 Oktober 2019

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo