NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mangsa banjir di Melaka meningkat 242 orang tengah hari Jumaat


MELAKA, 20 Nov -- Jumlah mangsa banjir di daerah Jasin dan Alor Gajah meningkat kepada 242 orang daripada 59 keluarga tengah hari ini, berikutan hujan lebat sejak 5 petang semalam sehingga 9 malam tadi, yang menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata terdapat dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Jasin iaitu terbaru, dibuka pada 8 pagi tadi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel menempatkan 115 mangsa daripada 26 keluarga.

"Satu lagi PPS di Jasin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum menempatkan 73 mangsa daripada 20 keluarga, manakala PPS SK Tedong telah ditutup pada 9 pagi tadi dan 11 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.


"Bagi daerah Alor Gajah pula, PPS SK Durian Tunggal menempatkan 54 mangsa daripada 13 keluarga," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata lapan kawasan di daerah Jasin terjejas iaitu Taman Merlimau Mekar, Taman Merlimau Megah, Kilang Berapi, hadapan SMK Dato' Abdul Rahman Ya'Kub, Pekan Tedong, Paya Lengkong, Seri Mendapat dan Tehel, manakala hanya dua kawasan di daerah Alor Gajah iaitu Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai.

Katanya bagaimanapun, dua jalan raya yang ditutup kerana ditenggelami air iaitu Jalan Lipat Kajang- Merlimau di Jasin dan Jalan Durian Tunggal-Simpang Gading di Alor Gajah telah dibuka laluannya kepada orang ramai, setakat 12 tengah hari ini.


Effendy, yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri turut memaklumkan keadaan cuaca semakin cerah dan paras semasa air sungai di Sungai Chohong, Sungai Melaka dan Sungai Duyong sehingga kini belum mencapai paras amaran.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo