Apa hubungan DAP dengan kontraktor KVDT2? – MCA


KUALA LUMPUR- Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan DAP digesa untuk tidak mempolitikkan isu tender projek Landasan Berkembar Lembah Kelang Fasa kedua (KVDT 2).

Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng berkata, tindakan Ahli Parlimen Seremban itu bersama sahabatnya, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang tiba-tiba bertindak seperti jurucakap kepada kontraktor Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. (DMIA) boleh dipersoalkan.

“Apakah DMIA dan DAP mempunyai hubungan tertentu?

“Ini kerana Anthony Loke dan Steven Sim begitu bersemangat mempertahankan kontraktor terbabit meskipun selepas Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) mendedahkan masalah-masalah yang berlaku pada projek berkenaan.

“Dalam kontroversi terbaharu berhubung projek KVDT 2, kedua-dua Ahli Parlimen DAP sanggup menjadi jurucakap kepada DMIA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Teik Cheng, apa yang lebih pelik adalah Anthony sendiri mengumumkan penenderan semula projek KVDT 2 pada September 2018 tetapi kini kenyataan beliau telah berubah sama sekali.

“Pada Julai 2019, ketika Anthony menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas daripada Pas, beliau telah mengesahkan surat yang dihantar oleh KTMB kepada Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng mengenai masalah-masalah yang dihadapi semasa pelaksanaan fasa pertama projek berkenaan.

“Jika Anthony maklum mengenai isu syarikat tersebut daripada awal, mengapa beliau tetap memberikan projek tersebut kepada mereka?” soalnya.

Tambahnya, Kementerian Pengangkutan kini telah membuka semula bidaan tender terbuka bagi memastikan projek tersebut diberikan kepada syarikat yang layak demi kepentingan rakyat.

Dua hari lepas, Anthony telah bertanyakan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sama ada benar atau tidak beliau telah mengarahkan Syarikat Dhaya Maju-LTAT Sdn. Bhd. (DM-LTAT) untuk melantik sebuah syarikat dari China sebagai sub-kontraktor bagi projek KVDT2.

Semasa sesi debat di Dewan Rakyat, Anthony sekali lagi mempersoalkan motif kerajaan untuk membatalkan kontrak DM-LTAT meskipun terpaksa membayar penyelesaian sebanyak RM1 bilion dan berhadapan dengan saman sivil. – MalaysiaGazette

Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/11/20/apa-hubungan-dap-dengan-kontraktor-kvdt2-mca/
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post