Responsive Ad Slot

Kerugian Bersih Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) Syarikat Yang Ambil Alih Asset Tabung Haji..

Pendedahan Timbalan Menteri Kewangan II tentang kerugian bersih Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang bernilai RM9.95 bilion bagi tempoh kewangan 14 Disember 2018 hingga 31 Disember 2019 sememangnya membimbangkan..

Syarikat yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan dizaman kerajaan PH pada lewat 2018 untuk memulihkan Tabung Haji (TH) itu sendiri seolah-olah kecundang dalam usaha menyelamatkan TH.

Mengikut rancangan asalnya, UJSB perlu membeli aset lemah TH dengan mandat untuk meningkatkan nilai aset tersebut selama 10 tahun. Setakat sekarang, UJSB harus membayar sebanyak RM27.56 bilion kepada TH bagi baki tempoh 9 tahun.

Namun begitu, kerugian UJSB menimbulkan tanda tanya tentang kemampuan syarikat itu untuk membayar hutang TH. Apatah lagi peranan dan kecekapan UJSB dalam memulihkan situasi kewangan TH telah lama dipersoalkan.

UJSB membeli aset lemah TH dengan nilai RM19.9 bilion, sedangkan nilai pasaran aset tersebut sepatutnya RM9.7 bilion sahaja. Alasan pembelian ini dinyatakan untuk menstabilkan kewangan TH pada akhir 2018. Tetapi, jika benar Kerajaan PH ingin membantu TH, mengapa ia tidak memberikan suntikan terus kepada TH untuk memperbaiki aset lemah ini, dan bukannya menggunakan UJSB sebagai mekanisme untuk mengambil alih aset tersebut?

Tambahan pula, RM19.6 bilion daripada nilai pembelian aset TH adalah daripada sukuk. Ini bermakna TH tidak menerima apa-apa wang tunai, melainkan yang berbentuk perjanjian surat hutang dengan UJSB yang sepatutnya dibayar dalam tempoh tertentu. Ini menjadikan TH menanggung risiko yang besar jika UJSB gagal menyelesaikan bayaran terjadual tersebut.

Semenjak mengambil alih aset TH, UJSB telah menjual saham-saham aset TH dengan tujuan melabur dalam saham yang lebih berpotensi. Oleh kerana penjualan saham tersebut dilakukan ketika pasaran lemah, strategi UJSB ini akan sukar untuk mengembalikan nilai pulangan terbaik kepada TH. Ini bermakna, kedudukan kewangan TH dijangka tidak akan mengukuh untuk tahun ini.

Persoalan sekarang ialah, wajarkah kita terus memberikan kepercayaan kepada syarikat ini untuk menyelamatkan TH? Peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif UJSB pada pertengahan 2020 menggoyahkan lagi keyakinan terhadap syarikat tersebut.

Saya menyeru Kerajaan melihat semula kemampuan UJSB memenuhi mandatnya. Jika perlu penstrukturan semula dilakukan untuk meningkatkan kecekapannya dalam mengendalikan aset TH, maka ia mesti segera dilakukan. Saya juga menyeru UJSB terus telus dalam segala keputusan pelaburan dan perniagaan berkaitan harta TH dan dana kerajaan. Tabung Haji adalah institusi terpenting umat Islam dan ia tidak boleh dibiarkan terus melemah dan GAGAL

Dato Seri Utama 
Mohamad bin Haji Hasan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo