Responsive Ad Slot

Enam pelajar sekolah luar bandar di Besut menang anugerah antarabangsa

BESUT: Enam pelajar sekolah luar bandar berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa dalam penghasilan video pendek.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut itu muncul johan pertandingan akhir 'Kid Witness News (KWN) Global Summit 2020' dengan mengalahkan dua pesaing lain dari Jepun dan Vietnam.

Pengetuanya Amran Ibrahim berkata pelajar tersebut rata-ratanya anak kampung dari pelbagai latar belakang keluarga dan salah seorangnya adalah anak pemandu bot di Pulau Perhentian, malah kisah pelajar tersebut menjadi jalan cerita penghasilan video itu.

“Berkat kesungguhan pelajar yang turut disokong warga guru telah melayakkan pasukan itu mewakili negara ke pertandingan peringkat akhir yang sepatutnya berlangsung di Osaka, Jepun.

"Namun disebabkan penularan COVID-19, ia dipertandingkan secara dalam talian sahaja dan keputusannya diumumkan semalam,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Amran berkata penyediaan video telah dibuat sejak tahun lalu dan ia dipertandingkan di peringkat kebangsaan terlebih dahulu sebelum layak ke peringkat antarabangsa serta mengalahkan 150 video dari negara lain, sehinggalah ke peringkat akhir bersama Jepun dan Vietnam.

“Kami mempertaruhkan video pendek berjudul ‘Mark Roso: The Island Boy’. Mengisahkan kehidupan seorang pelajar bernama Muhammad Nasrur Afdie Marzuki, 17, yang membantu keluarganya dengan bekerja sebagai pemandu bot di pulau peranginan pada hujung minggu dan cuti sekolah.

"Walaupun dalam serba kekurangan, pasukan tersebut mampu menyiapkan video itu dalam tempoh sebulan dengan hanya menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Tambah beliau, KWN adalah program pendidikan video global yang disokong oleh Panasonic, bertujuan meningkatkan kreativiti dan kemahiran komunikasi serta memupuk kerja berpasukan melalui penghasilan video oleh pelajar sekolah menengah dan rendah.

Selain Muhammad Nasrur, pelajar lain yang menyertai pertandingan tersebut ialah tiga pelajar Tingkatan 5 iaitu Muhammad Afiq Mohd Ridzuan, Umar Hamzah dan Nik Muhammad Izzul Iman Nik Mawardi diikuti dua pelajar kembar Tingkatan 2, Mohamad Aqib Azfar Mohamad Azhar dan Mohamad Aqif Azfar.

Untuk rekod, SMK Kuala Besut sebelum ini pernah muncul johan dalam pertandingan Kempen Kesedaran Nuklear Antarabangsa di Korea Selatan dan menjadi jemputan ikon dunia di Kongres Kesedaran Nuklear di St. Petersburgh, Rusia pada 2019.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo