NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Belanjawan lulus, politik matang, rakyat menang



Oleh Dr Mohd Izani Mohd Zain

Teka-teki sama ada Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan atau Belanjawan 2021 diluluskan atau sebaliknya, terjawab semalam apabila mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menasihati Ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

Belanjawan ini sangat penting kerana ia menjadi pemangkin untuk kerajaan menjana semula ekonomi, sekali gus mengembalikan kesejahteraan rakyat tatkala negara diuji dengan penularan pandemik 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terharu dengan sokongan Ahli Parlimen kerana ia sangat penting bagi meneruskan usaha membantu rakyat dan mengembalikan ekonomi negara ke landasannya.

Keputusan undian semalam sekali gus menamatkan spekulasi pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya belanjawan kali ini tidak diluluskan.

Malah, ramai mendakwa kedudukan kerajaan hari ini umpama telur di hujung tanduk apabila pihak pembangkang memberikan sokongan bersyarat.

Selain itu, ada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang secara berterus terang tidak mahu menyokong belanjawan kali ini.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, atau lebih dikenali sebagai Ku Li misalnya, mengumumkan tidak mahu hadir ke sesi pengundian sebagai tanda protes dan tidak bersetuju dengan belanjawan.

Ahli Parlimen Pekan yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut menzahirkan BN memberi sokongan bersyarat dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran one-off hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain melanjutkan moratorium.

Polemik seperti peruntukan besar kepada Jabatan Hal Ehwal Khas atau (JASA) sebanyak RM81 juta turut menarik perhatian Ahli Parlimen dan rakyat sehingga dilihat boleh menjadi antara punca mengapa Belanjawan 2021 wajar ditolak, sekali gus tidak mendapat cukup sokongan di Parlimen.

Apabila belanjawan ini diluluskan, ia menjelaskan kepada kita beberapa perkara penting.

Pertama, sokongan Ahli Parlimen menggambarkan taat setia mereka kepada titah Yang di-Pertuan Agong. Baginda pernah bertitah sebelum ini bahawa belanjawan perlu disokong oleh ahli parlimen demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Kedua, sokongan majoriti Ahli Parlimen terhadap belanjawan kali ini membuktikan bahawa mereka lebih mengutamakan kepentingan negara berbanding politik.

Ia satu langkah yang wajar dipuji memandangkan sokongan mereka sangat kritikal. Jika belanjawan ditolak, ia mengheret negara dan rakyat ke dalam kancah politik yang berpanjangan.

Kematangan ini wajar diteruskan kerana berpolitik ada batasnya. Ahli politik perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi politik kepartian.

Rakyat akan lebih menghormati ahli politik jika bersikap terbuka dan jujur dalam memperjuangkan kesejahteraan mereka.

Ketiga, sokongan belanjawan kali ini juga bertitik tolak daripada keterbukaan pihak kerajaan untuk mendengar dan menerima cadangan Ahli Parlimen untuk menjadikan belanjawan kali ini lebih berkesan dan berjiwa rakyat.

Ini boleh dilihat apabila kerajaan bersetuju untuk membenar dan memperluaskan pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP melalui program i-Sinar.

JASA yang dikritik hebat mendapat perhatian kerajaan apabila akan dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, J-KOM akan memainkan peranan penting dengan mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dengan penyaluran maklumat tepat, sahih serta bijaksana.

Adalah diharap, J-Kom boleh membuang stigma JASA yang cukup melekat selama ini sebagai ejen propaganda kerajaan dan parti politik tertentu.

Sebaliknya, jabatan itu dapat berperanan membangunkan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan mengaplikasikan pendekatan 'penghakupayaan komuniti', seiring norma baharu.

Perkembangan ini amat sihat untuk demokrasi kerana berlaku proses semak dan imbang.

Realiti kerajaan yang mempunyai majoriti tipis tidak dinafikan mendorong proses ini berlaku dengan baik sekali kerana mereka perlu mendapatkan sokongan semua pihak termasuk pembangkang.

Keempat, perbahasan belanjawan kali ini sangat dinamik kerana setiap pihak sama ada kerajaan dan pembangkang mahu menawarkan yang terbaik untuk rakyat.

Cabaran kehidupan yang semakin getir dihadapi rakyat menjadi fokus kepada perbahasan parlimen.

Kelima, apabila semua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang mahu mencadangkan cadangan bernas untuk dimasukkan dalam belanjawan, ia sebenarnya memberi manfaat kepada rakyat.

Apabila belanjawan ini diluluskan, rakyatlah pemenang yang sebenarnya. Rakyat mendapat banyak faedah daripada pindaan belanjawan yang dilakukan.

Secara tuntasnya, Belanjawan 2021 sangat kritikal ketika negara masih menangani penularan pandemik COVID-19. Selepas belanjawan ini diluluskan, langkah seterusnya adalah memastikan peruntukan yang disediakan ini dibelanja secara berhemah dan sampai kepada kumpulan sasaran.

Sebarang ketirisan perlu dielakkan kerana setiap perbelanjaan mesti ada nilai untuk wang.

Pada masa sama, sokongan terhadap Belanjawan 2021 turut meredakan sedikit kehangatan suhu politik negara.

Walaupun ia bukan bermakna ahli politik boleh berdiam diri, sekurang-kurangnya ia memberi pengajaran kepada kita semua bahawa terdapat kepentingan lebih besar daripada politik.

Ia juga secara tidak langsung mengembalikan makna politik itu adalah khidmat.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo