NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ADUN Ketari Bersalah Langgar PKPB, Diarah Bayar Kompaun

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman mengesahkan beliau diarah supaya menjelaskan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, baru-baru ini.

Young Syefura berkata, beliau akan menjelaskan bayaran kompaun itu dalam masa terdekat dan pihak polis memaklumkan bahawa kes terhadapnya itu dianggap selesai.

"Saya meminta maaf kerana melanggar SOP PKPB yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Saya juga memohon maaf kepada semua rakyat Pahang atas kesilapan itu," katanya.

Young Syefura berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (Belanjawan 2021) pada persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, yang dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semalam.

Sebelum ini, Young Syefura dikecam selepas memuat naik di Instagram gambar beliau bersama empat rakan menyambut ulang tahun kelahirannya di pantai Bagan Lalang, Selangor, yang kemudiannya dipadamkan daripada laman sosial tersebut.

Selangor adalah antara negeri yang dikenakan PKPB sehingga 6 Disember ini, dan orang ramai dilarang merentas daerah tanpa urusan penting sepanjang tempoh tersebut.

Sementara itu, dalam perbahasannya, Young Syefura mempersoal sama ada data yang dibentangkan pada DUN Pahang berhubung keluasan hutan di negeri itu, iaitu seluas 2.05 juta hektar iaitu 57 peratus daripada 3.59 juta hektar tanah negeri adalah sahih.

"Saya sudah membuat semakan dan mendapati jumlah hutan ini tidak berubah sejak 2017. Bolehkah keadaan ini berlaku sedangkan hasil hutan menjadi penyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri dan jumlahnya semakin meningkat," katanya.

Sementara itu, ADUN Bilut, Lee Chin Chen pula mencadangkan supaya cukai pintu dan cukai tanah dikecualikan tiga tahun kepada pengusaha hotel, inap desa dan restoran selain pengecualian bayaran lesen kepada penjaja yang kekurangan pelanggan akibat pandemik COVID-19.

Lee berkata golongan petani juga wajar mendapat perhatian khusus kerana ada dalam kalangan mereka kerugian apabila tidak sempat mengutip hasil kebun atau menjual tanaman semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya mencadangkan supaya sesi pendaftaran dijalankan terhadap mereka dan pemberian bantuan seperti subsidi baja dan racun serangga mengikut keluasan tanah, sekali gus meringankan beban petani," katanya.

Persidangan bersambung esok.

– BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo