Adakah Mencetak Wang oleh Bank Negara Malaysia Boleh Menyelesaikan Masalah Ekonomi Negara?

Prof Mohd Nazari Ismail
Fakulti Perniagaan dan Perakaunan
Universiti Malaya

Susulan dari cadangan Timbalan Menteri Wan Ahmad Fayhsal supaya Bank Negara Malaysia (BNM) mencetak wang baru utk diberikan kepada golongan miskin dan yang terkesan teruk oleh wabak covid-19, beberapa reaksi telah diutarakan. Ada yang mengutuk dan ada yang menyokong.

Namun satu perkara yang harus disedari oleh ramai yang mengutuk beliau ialah sebenarnya pendapat beliau bukan lah sesuatu yang pelik dan bukan juga dari orang yang tidak siuman atau tidak berpelajaran. Sebenarnya pendapat beliau pernah disarankan oleh pakar ekonomi lain sebelum ini seperti yang dilaporkan oleh majalah The Economist pada tahun 2016 ((https://www.economist.com/the-economist-explains/2016/05/02/why-central-banks-are-talking-about-throwing-money-from-helicopters ) . Bahkan pada bulan Mei tahun ini, Dr. Lin Sin Yan, bekas timbalan governor BNM sendiri telah menulis berkenaannya di dalam akhbar The Star ( https://www.thestar.com.my/business/business-news/2020/05/16/helicopter-money-everywhere ). Terkini pendapat Wan Ahmad Fayhsal telah mendapat sokongan dua pakar ekonomi tempatan (https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2020/11/20/printing-money-a-good-idea-says-economist/ ).

Satu perkara yang harus disedari ialah sekarang ini, hampir 97 peratus dari wang di dalam sistem kewangan kita bukannya dicipta oleh BNM, tetapi adalah dicipta oleh bank komersil. Ini berlaku setiap kali mereka memberi pinjaman kepada pelanggan yang terdiri dari berbagai pihak termasuk kerajaan, badan korporat dan isi rumah.

Oleh kerana motif memberi pinjaman adalah untuk keuntungan, ianya adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Pada masa yang sama ia menguntungkan orang-orang kaya terutama sekali pemilik saham di dalam bank atau syarikat kewangan. Satu lagi golongan yang mendapat keuntungan adalah mereka yang mempunyai simpanan yang banyak di dalam bank atau tabung kewangan seperti EPF, Tabung Haji, PNB dan lain-lain yang memiliki saham di dalam syarikat perbankan atau memberi pinjaman secara langsung kepada kerajaan atau badan korporat.
Bagaimana pula jika wujud keadaan kadar bunga yang rendah? Di dalam keadaan tersebut, mereka yang untung juga adalah yang kaya kerana golongan ini dapat meminjam dengan banyak dari bank untuk melabur dalam saham syarikat atau hartanah. Aktiviti mereka ini adalah punca utama harga rumah melambung naik dan tidak mampu dibeli oleh rakyat biasa. Inilah yang sedang berlaku beberapa negara di Eropah.

Di Switzerland sebagai contoh, walaupun kadar bunga adalah hanya sekitar 1 peratus, namun oleh kerana harga rumah terlampau mahal, rakyat biasa masih tidak dapat memiliki rumah dan hanya boleh menyewa sahaja. Di bandar raya Zurich, 90% rakyat adalah penyewa dan hanya 10 % pemilik rumah.

Di samping itu golongan kaya akan meminjam dalam jumlah yang besar untuk membeli saham di dalam syarikat dan kemudian berusaha untuk menaikkan nilai saham syarikat sebelum menjual syarikat tersebut. Cara yang dilakukan ialah dengan mengurangkan kos operasi terutama sekali kos upah atau gaji. Oleh itu golongan pekerja bukan sahaja menghadapi keadaan harga rumah yang sentiasa meningkat, bahkan mereka juga menghadapi keadaan gaji dan upah tidak meningkat kerana pihak majikan berusaha untuk mengurangkan kos. Inilah yang dikatakan masalah kos sara hidup.

Apabila kerajaan meminjam wang dengan banyak dari institusi kewangan untuk program membantu orang miskin, golongan kaya yang memiliki saham dalam institusi kewangan akan paling banyak mendapat keuntungan, sementara beban ini akan ditanggung oleh semua rakyat termasuk golongan miskin dalam bentuk cukai yang perlu dibayar dalam jangka panjang. Jika hutang kerajaan terlampau tinggi, lambat laun kerajaan akan terpaksa menaikkan kadar cukai untuk membayar hutangnya dan yang akan paling terkesan adalah golongan berpendapatan rendah juga.

Sebenarnya sistem yang ada sekarang adalah sangat menguntungkan golongan yang kaya dan sangat membebankan golongan miskin.

Cadangan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal sebenarnya adalah bertujuan untuk membantu golongan miskin tanpa memberi keuntungan kepada golongan kaya dan menambahkan beban golongan miskin dalam jangka panjang. Namun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat risiko dengan cara yang beliau sarankan. Jika kerajaan dan parlimen terdiri dari ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan hanya memikirkan populariti mereka semata-mata, kuasa mencipta wang baru yang diberikan kepada kerajaan (melalui BNM) boleh disalahgunakan. Sebagai contoh bukan sahaja duit terlampau banyak mungkin akan dicipta, bahkan ianya mungkin akan disalurkan kepada golongan tertentu sahaja yang rapat dengan pemimpin politik yang berpengaruh.

Akibatnya ialah masalah hiperinflasi (hyper inflation). Ini telah berlaku di Zimbabwe dan juga di Venezuela. Oleh itu idea ini memerlukan beberapa pra-syarat penting yang mesti dipenuhi dahulu, terutama sekali wujudnya para pemimpin politik yang bertanggungjawab serta rakyat yang tidak oportunis, yang meminta bantuan kewangan dengan berlebih-lebihan dari pemimpin politik.

Saya berpendapat pra-syarat di atas belum dipenuhi lagi buat masa ini dalam masyarakat kita dan oleh itu kita memerlukan alternatif lain sebagai penyelesaian.

Persoalannya ialah apakah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara yang tenat sekarang di mana ramai yang sedang terbeban dengan beban kewangan dan hutang, sementara pendapatan adalah tidak mencukupi? Sebenarnya jawapan telah diberikan oleh al-Quran dalam surah Al Baqarah ayat 278-280

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”

Berdasarkan ayat di atas, sepatutnya pihak bank tidak lagi dibenarkan mengutip keuntungan (atau interest) di atas semua hutang yang diberikan. Hanya hutang pokok yang boleh dikutip, dan itu pun jika yang berhutang dalam keadaan di mana mereka mampu membayar balik. Jika mereka dalam keadaan yang tenat, pihak bank harus memberi masa kepada mereka untuk memperbaiki keadaan kewangan mereka, yakni moratorium perlu dilanjutkan.

Jika semua bank bertindak menurut saranan di atas, kadar kemelesetan ekonomi kita boleh dikurangkan. Di samping itu, ia akan memberi peluang kepada syarikat dan individu untuk merangka strategi untuk kembali kepada keadaan yang kompetitif. Sudah tentu semua ini tidak akan berlaku dalam sekelip mata kerana jumlah hutang di dalam sistem ekonomi kita terlampau tinggi sekarang dan oleh kerana itu proses pemulihan akan memakan masa. Namun sekurang-kurangnya golongan yang sengsara tidak akan dianiaya oleh pihak bank dan boleh bernafas kembali.

Sementara itu, golongan yang langsung tidak mempunyai pendapatan harus diberi bantuan oleh ahli masyarakat lain yang masih berkemampuan untuk memberi bantuan iaitu dengan cara berderma dan amalan-amalan infaq lain yang sangat disarankan oleh Islam.

Ramai yang akan bertanya, “Kalau begitu bank tidak akan mendapat keuntungan langsung?”Jawapan saya ialah menurut ajaran Islam, industri memberi hutang tidak wujud. Ini kerana Islam memang mengharamkan pihak yang memberi hutang mendapat keuntungan dari hutang yang diberikan kerana itu adalah amalan Riba. Oleh itu, pihak bank memang tidak layak pun mendapat keuntungan.

Tetapi cadangan saya di atas akan bermakna mereka yang mempunyai simpanan atau caruman di dalam beberapa tabung seperti PNB (pemilik utama Maybank), Tabung Haji (pemilik utama Bank Islam) mungkin akan mendapat keuntungan yang sangat sedikit di masa akan datang. Bagitu juga pihak Khazanah (pemilik signifikan dalam CIMB) akan juga mendapat keuntungan yang rendah dari pelaburan mereka. Pulangan kepada KWSP juga akan berkurangan kerana tidak akan mendapat keuntungan dari pelaburannya di dalam sektor kewangan.

Persoalannya ialah adakah mereka akan marah atau redha dengan keadaan di mana pelaburan dan simpanan mereka tidak mendapat sebarang pulangan atau pulangan yang kecil sahaja akibat dari saranan di atas, yang bertepatan dengan ajaran al-Quran?

Pada hemah saya ini bergantung kepada sikap dan dan kefahaman mereka tentang ajaran Islam. Jika redha Allah adalah lebih penting bagi mereka, mereka tidak akan marah dan boleh menerima keadaan ini.

Sebab itulah saya sering kali menyatakan bahawa usaha utama yang mesti juga dilakukan ialah proses dakwah dan tarbiah kepada masyarakat supaya ahli msyarakat akan dapat menghayati ajaran Islam sebenar yang lebih memberikan penekanan kepada akhirat berbanding dunia. Islam juga mengajar kita supaya lebih memikirkan bagaimana kita boleh membantu mengurangkan masalah kehidupan orang lain, dan bukan hanya memikirkan keuntungan dunia untuk diri kita sahaja semata-mata.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post