NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sasar 500,000 guna platform THiJARI



LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyasarkan jumlah pendeposit yang menggunakan platform THiJARI meningkat kepada 500,000 orang menjelang akhir tahun ini berbanding kira-kira 300,000 pendeposit pada masa kini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, sasaran itu dijangka bertambah didorong oleh pelancaran aplikasi telefon pintar THiJARI oleh TH.

"Aplikasi THiJARI ini seiring dengan kecenderungan penggunaan teknologi masa kini yang membolehkan pendeposit melakukan transaksi dalam talian.

"Antara urusan yang boleh dilakukan menerusi aplikasi THiJARI ini termasuk urusan pertanyaan baki, cetak penyata, pemindahan wang, semak status haji dan pendaftaran haji," katanya selepas melancarkan THiJARI di sini, semalam.


Nik Mohd Hasyudeen berkata, penggunaan saluran dalam talian mendapat sambutan baik pendeposit dengan rekod menunjukkan 78 peratus transaksi TH dilakukan menerusi portal THiJARI, ATM dan CDM serta perbankan Internet bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Islamic.

Menurutnya, 45 peratus pendeposit TH terdiri daripada generasi muda berusia 30 tahun ke bawah dan terdedah dengan kemudahan teknologi.

Sementara itu, katanya, majoriti pendeposit TH tidak berdepan masalah dari segi urusan dengan TH sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

"Setakat ini, sejak bermula wabak Covid-19 sehingga sekarang, deposit kita makin bertambah dengan jumlah besar, secara amnya pendeposit tiada masalah cuma ada sesetengah yang memerlukan bantuan.

"Pada masa sekarang, deposit kita sudah mencecah RM75 bilion, peningkatan kira-kira RM5 bilion sepanjang tempoh Covid-19 atau lebih kurang (dari) Februari hingga sekarang," katanya. - BERNAMA


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo