NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Politik ‘Poligami’ Penyelesaian Kemelut Negara

Kemelut politik di negara ini terus berlarutan dan ketika lidah pengarang ini ditulis, masih tiada noktah siapa yang mempunyai majoriti untuk menerajui negara. Percaturan dan perbincangan terus berlangsung di belakang tabir.

Semua tahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai majoriti tipis di Parlimen. Kuasa pencetus kepada kejatuhan Pakatan Harapan (PH) lapan bulan lalu iaitu UMNO semakin berang kerana tidak menerima recognition sepatutnya dan diberikan habuan seperti budak kecil sedangkan mempunyai jumlah ahli parlimen paling besar dalam gagasan itu. Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menanti di tepi selepas pendedahan dramatik yang sinonim dengan gaya politiknya. Hanya Yang di-Pertuan Agong dapat memutuskan sama ada kerajaan sekarang telah tumbang dan

Anwar mempunyai sokongan majoriti. Bagaimanapun, dalam politik, tiada musuh abadi.

Tumpuan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan menentukan ‘dacing’ berat di sebelah mana. Orang tidak lupa Zahid adalah kroni Anwar. Dia membangkitkan isu nepotisme dan kronisme ketika Perhimpunan Agong UMNO pada 1998 yang membawa kepada tercetusnya perpecahan terbesar dalam parti Melayu itu.

Kemelut politik sekarang diburukkan lagi dengan penularan Covid-19 dengan jumlah kes mencecah rekod baru 871 kes semalam. Apa yang digeruni mengenai virus itu telah menjadi realiti. Pada masa sama terdapat saranan supaya pembubaran Parlimen, penubuhan kerajaan interim atau pengisytiharan darurat.

Cadangan kerajaan interim dan pengisytiharan darurat tidak harus dipertimbangkan kerana sejarah mengajar kita, pengakhirannya hanya membawa kepada kemusnahan sistem demokrasi.

Contohnya, Ferdinand Marcos sebelum berakhirnya terma keduanya sebagai presiden, meletakkan Filipina di bawah undang-undang tentera pada September 1972 bagi mengekalkan kuasanya.

Ketika berkuasa, dia meminda Perlembagaan, membisukan media dan terus berkuasa sehingga digulingkan pada 1986.

Di Indonesia, Sukarno mengumumkan undang-undang tentera dan membubarkan Parlimen pada 1960 dan menggantikannya dengan sistem guided democracy. Dia terus berkuasa sehingga digulingkan.

Adolf Hitler selepas berkuasa dan kebakaran bangunan parlimen Reichstag memperkenalkan enabling laws, seterusnya menjadi diktator dan membawa dunia ke kancah perang dunia kedua.

Ketika ini tiada satu parti dengan majoriti besar. Bersatu, UMNO, PKR dan DAP mempunyai paling banyak kerusi dan harus melakukan percaturan seperti ingin mendapatkan isteri tambahan.

Politik sudah sampai seperti ‘berpoligami’. Dalam poligami akan ada ‘isteri kedua, ketiga atau keempat’. Cabarannya bolehkah parti-parti ini ‘berpoligami’ dengan bahagia, menelan ego masing-masing dan berkongsi katil atau pembahagian malam berbeza atau terus bercakaran. Pilihannya adalah terhad.

Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo