Politik Muafakat vs Politik Perpecahan



DR ASYRAF WAJDI DUSUKI 
30 September 2020

Pilihanraya Negeri Sabah baharu sahaja selesai. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya menewaskan Parti Warisan Sabah (WARISAN) seterusnya membentuk sebuah kerajaan negeri Sabah yang baharu.

Namun PRN kali ini sangat mencabar. Latar perjuangannya dipenuhi pelbagai pengalaman baharu yang cukup sukar untuk diungkapkan dan dibayangkan lantaran inilah kali pertama satu gabungan politik besar bergerak bersama, merencana dan menyelaras gerak kerja bersama dalam suasana yang sangat mencabar.

Benar, kita boleh bergerak dari premis baharu yang mana tiada lagi pihak yang dominan, kuat dan besar. Kita bersedia menerima hakikat ini seadanya. Semuanya perlu menerima norma baharu politik secara permuafakatan.

Politik muafakat adalah berasaskan kerjasama. Kerjasama ini pula perlu memenuhi ciri-ciri asas seperti tolak ansur, hormat menghormati, saling mempercayai, jujur, ikhlas dan menampung kekurangan orang lain dengan kekuatan yang kita ada dan begitulah sebaliknya.

Akan tetapi, mengungkapkan semua ciri dan prinsip di atas bagaikan satu teori semata-mata. Kerana melaksanakannya memerlukan iltizam dan kemahuan politik yang tinggi dari semua pihak. Apabila semua ciri tersebut tidak dapat dilunaskan, maka yang ada hanyalah perasaan tidak menghormati orang lain, rasa angkuh dan ego dengan kuasa yang ada, menanam ranjau di belakang biarpun senyum dan berjanji bila berdepan, tiada kejujuran, merasakan diri kita hebat dan lebih bergaya dari orang lain dan segalanya.

Apabila kesemua pra syarat asas bagi bekerjasama tidak dapat dilunaskan maka peluang yang terhidang adalah untuk mengena dan memijak orang lain semahunya. Seterusnya melemah dan mendongak angkuh ke langit mengengam tangan dan bersumpah mahu membina kekuatan baharu di atas tapak rumah, jasa dan legasi orang lain.

Rumah, jasa dan legasi yang dahulunya mendidik, membina dan menaikkan pesona sehingga dikenali dan dihormati. Kini rumah, jasa, legasi yang ditinggalkan itu mahu dilupakan jauh sekali untuk menghargai dan berterima kasih malah merencana pula untuk ‘dimusnahkan’ secara kreatif.

Benar, kelihatannya semuanya mungkin bagai satu ungkitan bila satu persatu dilontarkan. Tapi bukankah ungkitan itu satu fakta sejarah yang benar dan perlu direnung jika mahu permuafakatan ini di bawa terus kedepan untuk menghadapi musuh di medan yang sebenar.

Sejarah adalah satu renungan dan pengajaran dan bukannya satu ungkitan. Kerana dari Sejarah itulah kita perlu belajar supaya lebih menghargai dan menghormati orang lain kerana itulah sebenar pra-syarat yang mahu dokong untuk sebuah persahabatan dan permuafakatan.

Masa masih ada, ruang juga masih terbuka untuk kita bermuhasabah. Tiada kesilapan dan kekhilafan yang tidak boleh untuk tidak dibaiki kerana perpaduan, penyatuan dan permuafakatan adalah usaha yang suci dan tulus.

Norma bersahabat ada ketika panas dan ada ketikanya sejuk. Sahabat dan teman sejati akan cuba memahami sebaiknya. Benar perlu jujur dan ikhlas, tetapi perlu juga mengambilkira dan menimbang adab dan tertib bersahabat. Secara mudah, jika tidak berselisih langsung, itu namanya kenalan, bukan sahabat.

Justeru, kembali fokus kepada objektif utama. Marilah kita sama-sama kembali merapatkan saf itu kerana tiada lain kita mahukan selain dari perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya perpecahan adalah satu yang sangat mendukacitakan dan perlu dielakkan dari berlaku.

***DR ASYRAF WAJDI DUSUKI ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia





Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post