Ku Nan Setuju Bayar Cukai Lebih RM40 Juta Kepada LHDN


KUALA LUMPUR, 5 Okt -- Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersetuju untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM40,358,336.61 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas kedua-dua pihak menyelesaikan kes saman itu secara baik di Mahkamah Tinggi di sini pada 23 Sept lepas.

LHDN, dalam tuntutannya sebelum ini menuntut  Ahli Parlimen Putrajaya itu membayar amaun cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Menurut draf perintah persetujuan yang diperoleh media melalui carian sistem mahkamah hari ini, Kerajaan Malaysia melalui LHDN bersetuju untuk meminda notis taksiran tambahan Tengku Adnan selaku defendan bagi Tahun Taksiran 2012, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017 yang kesemuanya bertarikh 15 Mac 2019.

"Oleh yang demikian, taksiran-taksiran tambahan dipinda yang perlu dibayar oleh defendan untuk 2012 berjumlah RM53,872; 2013 (RM4,182,392.03); 2014 (RM6,285,357.26); 2015 (RM6,537,624.73); 2016 (RM3,524,071.10) dan 2017 (RM19,775,019.49).

" Jumlah cukai tambahan yang dipinda adalah berjumlah RM40,358,336.61 termasuk penalti yang membentuk jumlah penyelesaian cukai dan penyelesaian itu dianggap sebagai penyelesaian komposit yang dibuat di bawah Seksyen 96A Akta Cukai Pendapatan 1967," menurut perintah persetujuan itu.

Perintah persetujuan itu turut menyatakan pihak-pihak akan membincangkan dalam tempoh 45 hari dari tarikh perintah persetujuan (pada 23 Sept lepas) mengenai cara pembayaran.

"Sekiranya pihak-pihak gagal mencapai kesepakatan mengenai cara pembayaran, penyelesaian ini akan dibayar sebelum 31 Dis 2020.

“Plaintif (Kerajaan Malaysia) dan Tengku Adnan dengan ini menarik balik semua permohonan interlokutari yang dibuat di bawah prosiding sivil ini dan tidak akan ada perintah mengenai kos," menurut perintah persetujuan berkenaan.

Draf perintah persetujuan bertarikh 23 Sept lepas turut ditandatangani wakil peguamcara daripada pihak plaintif dan defendan serta ditandatangani oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman terhadap Tengku Adnan pada 24 Julai tahun lepas setelah mendakwa Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai 'Ku Nan' masih terhutang cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

LHDN, dalam tuntutannya, mendakwa sehingga kini Tengku Adnan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-- BERNAMA

 

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post