KUALA LUMPUR: UMNO seharusnya membuat keputusan yang rasional dan praktikal dalam rundingan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam menangani kemelut politik semasa negara, agar tidak dilihat bersifat beremosi kerana setiap gerak-geri mereka diperhatikan rakyat.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, apabila disentuh tentang langkah beremosi, sudah pasti ia dikaitkan dengan beberapa perkara yang dinyatakan oleh pemimpin UMNO sendiri berdasarkan kepada perjawatan dalam Kabinet dan keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.
"Saya rasakan bahawa jika keputusan itu rasional dan praktikal sudah pasti keputusan yang mahu dilihat adalah yang menang-menang untuk semua.
"Namun demikian, pada akhir percaturan politik nanti keputusan yang bakal diambil itu seharusnya menjurus kepada persoalan sejauh manakah keutamaan yang diberikan bukan sekadar kepada parti dan juga pemimpin sebaliknya lebih daripada itu, iaitu ke arah agenda keselamatan negara," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Ahad.
Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata pemimpin UMNO, Bersatu dan Pas sudah memulakan rundingan mencari penyelesaian, berhubung kerjasama tiga parti itu.
Katanya, Muafakat Nasional (MN) akan mengadakan mesyuarat Isnin ini berkaitan rundingan itu.
Mengulas lanjut Sivamurugan berkata, rundingan antara UMNO dengan beberapa pihak lain termasuk Bersatu dan Pas seharusnya menekankan nilai kompromi dan pengorbanan.
"Persoalannya, siapakah yang bersedia berkorban dan siapakah pula yang bersedia untuk berkompromi?" soalnya.
Beliau berkata, apa yang menjadi keutamaan UMNO adalah melihat pada demografi kerusi majoriti, UMNO merasakan mereka perlu diberikan keutamaan dalam apa sahaja yang cuba dilakukan oleh pihak kerajaan di bawah pentadbiran perdana mennteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, pada masa yang sama, UMNO juga harus mengambil kira percaturan di peringkat bawahan dalam kalangan ahli dan parti-parti lain supaya ia tidak menjejaskan kredibiliti, reputasi dan usaha untuk meraih sokongan semula dalam pilihan raya umum yang akan datang.
"Namun demikian dengan adanya perkara-perkara seperti ini, tuntutan atau persetujuan yang mahu diambil oleh pihak lain, UMNO juga harus melihat kepada kesan dan impak dalam keadaan COVID-19 sekarang.
"Sekarang tumpuan sewajarnya diberikan oleh pihak berwajib dalam usaha untuk menangani krisis pemulihan dan sejauh manakah UMNO sendiri memainkan peranan dalam konteks tersebut," jelasnya lagi.
#Sumber : Astro
No comments
Post a Comment