NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Henti racuni rakyat dengan sikap curiga, membenci



KENYATAAN ADUN Kepayan, Jannie Lasimbang yang disiarkan dalam MalaysiaKini menyatakan lantik wakil PAS sertai DUN Sabah memudaratkan keharmonian. Beliau mendakwa PAS adalah parti yang tidak terbuka terhadap kepercayaan lain dan kewujudan wakil PAS di dalam Kerajaan Negeri Sabah akan mengganggu keharmonian agama dan kaum adalah sangat bertentangan dengan sikap beliau ketika menjawat jawatan sebagai Pembantu Menteri Kementerian Undang-undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri.

Semasa memegang jawatan tersebut beliau telah menjemput Dewan Muslimat PAS Sabah dalam suatu perbincangan yang berkaitan isu hal ehwal anak negeri Sabah. Perbincangan berjalan harmoni. PAS bukan sahaja memberi sumbang saran malah bersikap terbuka dengan saranan-saranan dari wakil wanita parti lain yang hadir. Mengapa hari ini beliau boleh menyatakan PAS memudaratkan keharmonian?

Sekiranya PAS adalah parti yang tidak menghormati kepercayaan orang lain, sudah tentu PAS tidak akan berkembang di Sabah selama lebih 35 tahun. Tidak mungkin keahlian PAS boleh terdiri daripada warga Sabah yang pelbagai kaum seperti KDM, Berunai, Sungai, Suluk, Bajau, Cina, Bugis dan sebagainya. Malah Ahli Jawatankuasa PAS Sabah merupakan anak tempatan yang mempunyai ahli keluarga beragama Kristian atau non-Muslim dan tetap dapat hidup dengan harmoni.
Advertisemen

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri sering membuat kunjungan hormat kepada Ketua-ketua Kristian untuk memupuk persefahaman. Tidak cukup dengan itu, di dalam PAS adanya Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang memberi ruang untuk kalangan non-Muslim yang ingin berjuang bersama PAS. Mereka tidak pernah dipaksa pun untuk memeluk Islam mahupun mengubah cara hidup mereka seperti orang Islam.

PAS membawa Budaya Politik Matang dan Sejahtera, yang membawa semua pihak dalam membuat keputusan dan tindakan seterusnya membawa kepada kesejahteraan kehidupan seluruh masyarakat di negara ini. Misi PAS adalah membawa keharmonian dan kesejahteraan.

PAS sentiasa mengamalkan konsep keadilan yang sebenar, toleransi serta keharmonian antara agama dan kaum, kecekapan dan ketelusan pentadbiran serta ketenteraman awam.

Saya ingin menyarankan kepada yang saya hormati ADUN Kepayan dan pimpinan parti pembangkang yang sealiran dengannya untuk bersikap terbuka dan menghormati demokrasi.

PAS Sabah adalah milik orang Sabah. Kami juga berhak dan bertanggungjawab untuk keharmonian, pembangunan dan masa depan Sabah. Janganlah lagi meracuni rakyat Sabah dengan sikap curiga dan saling membenci.

Sentimen anti-Semenanjung ini adalah akibat dari kealpaan pemimpin yang terdahulu. Bukan untuk dinyalakan demi kepentingan politik masing-masing. Tapi perlu diperbetulkan kerana Sabah tetap sebahagian dari Malaysia dan rakyat Sabah mahukan Sabah kekal bersama Malaysia dengan wajah yang lebih hebat, maju dan terpelihara haknya.

Sudah-sudahlah bermain politik, mari kita bersama fokus perangi COVID-19 yang sedang menyelinap dalam komuniti, rakyat sedang bergelut dengan COVID-19 dan masalah kehilangan sumber pendapatan. Inilah masanya wakil-wakil rakyat yang baru dilantik turun menyantuni pengundi, memberi kata semangat kepada rakyat dan memberikan bantuan yang sepatutnya.

Apa pun, Dewan Muslimat PAS Sabah sependirian dengan Jannie Lasimbang, menyokong saranan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berhubung perlunya wanita di dalam Kabinet Negeri Sabah. Biarlah jumlahnya cukup signifikan. Tidak kira dipilih dari kalangan pimpinan parti pemerintah atau dari kalangan tokoh wanita Sabah, yang penting ianya mampu mengangkat suara wanita di dalam Dewan Undangan Negeri.

NORSAH BONGSU
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo