NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gencatan politik Umno-PPBM mungkin cetus PRU kilat



PETALING JAYA: Beberapa ahli Parlimen Umno sedang bekerjasama dengan pemimpin PPBM mengenai kemungkinan pilihan raya umum diadakan secara mengejut, menurut individu yang tahu rundingan itu.

Mereka memberitahu FMT, pilihan raya antara langkah yang dipertimbangkan susulan pengumuman gencatan politik oleh Umno dalam pertelingkahannya dengan PPBM.

Mereka berkata, kedua-dua pihak sedang mempertimbangkan untuk mengadakan PRU selepas kes Covid-19 menurun secara ketara.

“Rancangannya ialah mengehadkan ceramah dan menggunakan televisyen, radio serta media sosial.

“Pembangkang akan mempunyai jangkauan baik di kawasan bandar melalui media sosial, tetapi kami akan memberi saingan kepada mereka di kawasan luar bandar, di mana kami berhubung lebih baik dengan pengundi.”

Katanya, kelebihan Umno dan PPBM dengan pengundi luar bandar serta separa bandar akan berlipat ganda dengan mengehadkan ceramah akibat Covid-19 dan hubungan mereka dengan PAS.

Beliau berkata, Muhyiddin Yassin dianggap calon perdana menteri kumpulan itu, susulan kemenangan dalam pilihan raya.

Satu lagi sumber berkata, PPBM gembira dengan gencatan politik itu dan kerajaan Perikatan Nasional mungkin melantik ahli Umno sebagai timbalan perdana menteri.

“Gencatan politik itu bersifat sementara kerana Umno mahu pilihan raya kilat. Semua parti, bahkan PPBM, perlu akur supaya BN, PAS dan PPBM terus bersama sehingga PRU15.

“Tetapi, gencatan politik penting. Ia menyebabkan sokongan beralih daripada Anwar Ibrahim kepada Muhyiddin.”

Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beberapa ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar, selepas ketua pembangkang itu mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru.

Baru-baru ini, Umno mahu diberikan jawatan timbalan perdana menteri dan kuasa sama dalam gabungan parti pemerintah itu.

Satu lagi sumber Umno berkata, PN membuat keputusan berhubung gencatan politik dengan persefahaman pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, lebih mudah untuk Umno membincangkan pembahagian kerusi bagi pilihan raya kerana beberapa pemimpinnya sudah lemah.

“Ada beberapa puak dalam Umno. Ada yang menentang PPBM, ada yang sokong Zahid dan Najib Razak. Puak lain menyokong Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin.”

Merujuk Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan, sumber itu berkata, beliau kelihatan diketepikan sekarang, walaupun ramai ahli parti percaya beliau boleh mengembalikan kegemilangan kepada Umno.

Katanya, ahli Parlimen Umno akan menyokong seorang pemimpin, jika mereka yakin beliau akan menjadi perdana menteri seterusnya atau timbalan perdana menteri.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/23/gencatan-politik-umno-ppbm-mungkin-cetus-pru-kilat/


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo